Sabtu, 21 Oktober 2017

Amazfit Pace Smartwatch Review

Sudah lama tak beli gadget baru. Kali terakhir bulan Februari lepas. Kali ini dah terbeli sebuah jam pintar keluaran Huami. Huami ni adalah sebuah syarikat yang ditaja oleh Xioami. Mi Band dan Mi Scale yang aku beli sebelum ini juga adalah hasil keluaran dari syarikat Huami ini.

Sebenarnya Amazfit Pace ini telah diperkenalkan sejak Ogos 2016 lagi tetapi hanya mula dibawa masuk ke dalam pasaran Malaysia di penghujung September 2017 dengan harga RM629. Sebelum itu, pembeli boleh sahaja mendapatkan Amazfit Pace ini melalui online shop seperti Lazada dan Shopee dengan harga sekitar RM450-RM550 tetapi kebiasaannya tanpa waranti atau waranti kedai sahaja.

Aku masih pakai Mi Max yang skrin besar gedabak 6 inci ini.  Handphone ini amat sukar untuk di bawa ke workout dan berlari. Nak cari pouch yang sesuai pun susah. Jadi aku mula tercari-cari wearable yang sesuai. Nak beli Garmin, harga macam tak masuk akal sikit jadi masa tercari-cari tu terjumpa artikel berkenaan Amazfit Pace. Tetapi masa tu jam ni tidak dibawa masuk ke Malaysia oleh sesiapa pun. Kena beli secara terus dari China.

Baru-baru ni dapat tahu ada kedai di Kuantan yang jual Amazfit Pace dengan waranti satu tahun dari Xiaomi Malaysia. Jadi lepas fikir dua-tiga kali, terus beli. Lama dah tunggu...

Reka bentuk

Amazfit Pace dalam kotak
Bagi aku reka bentuk Amazfit Pace ini memang cun. Saiz jam ni memang sesuai dengan tangan aku dan talinya memang selesa dipakai. Masa aku nak beli ni, terdapat 2 warna tali (hitam dan merah) . Kalau merah nampak macam terlalu garang jadi aku beli yang hitam.
Paparan di waktu malam
Paparan di bawah cahaya matahari
Mengikut spesifikasi, Amazfit ini dilengkapi dengan paparan 1.34 inci dengan 300 x 320 pixel "transflective colour LCD Display". Skrin ini dilindungi dengan Gorilla Glass untuk tahan calar. Yang menarik tentang "transflective display" ini, dibawah cahaya matahari atau kawasan cerah, memang paparannya sangat jelas. Jadi memang sesuai untuk aktiviti luar.
Tali Amazfit Pace yang diperbuat daripada getah ini juga selesa dipakai dan senang dikenakan. Yang menariknya tali ini mudah ditukar dengan tali jam yang lain sebab menggunakan tali jam bersaiz 22m dan mempunyai "release lock". Jadi kalau rasa nak bergaya sedikit boleh gunakan tali jam yang lain yang mudah didapati di keda-kedai online. Dari segi saiz, jam ni sama besar dengan jam-jam yang lain tetapi sebab aku dah lama pakai Mi Band 2 yang besaiz kecil, terasa juga perbezaan dari segi berat dan saiznya.

GPS

Sebab utama beli jam ini adalah untuk kesan dan rakam jarak semasa berlari tanpa perlu membawa handphone, jadi fungsi ini amat penting. Ceh.. macamlah aku ni selalu lari sangat. Tak laju pun.  Jangan kecam, suka-suka jer lari ni.

Pada Sabtu lepas, aku telah mencuba fungsi GPS ini pada larian malam Hari Sukan Negara 2017. Semasa larian, aku telah hidupkan GPS di telefon bimbit dengan aplikasi Strava dan menggunakan mode Run di Amazfit Pace. Mode Run ini akan rekodkan GPS dan juga degupan jantung secara terus-menerus. 
Kanan GPS dari telefon bimbit, Kiri GPS dari Amazfit Pace
Terdapat perbezaan 100m antara GPS di telefon dan juga Amazfit Pace. Kemungkinan perbezaan ini disebabkan aku hidupkan Strava lebih awal daripada Amazfit dan tutup Strava lebih lewat daripada Amazfit Pace.

Aku juga ada buat perbandingan dengan menggunakan odometer kereta. Juga terdapat perbezaan antara 90-100 m antara Amazfit Pace dan odometer kereta. Untuk jarak 2km menggunakan kereta, Amazfit Pace hanya kesan 1.9km sahaja.
Kedua-dua ini hasil daripada data yang sama tetapi berlainan aplikasi.
Selain itu terdapat juga perbezaan bacaan antara Amazfit Pace dengan bacaan di aplikasi Strava setelah data sync. Kemungkinan setiap aplikasi menaksirkan data GPS dengan cara berbeza.

Aplikasi Amazfit Watch dan Strava

Aplikasi Amazfit Watch
Aplikasi Amazfit Watch adalah hampir sama dengan Mi Fit (Activities). Kedua-dua aplikasi ini ada tab Route, Details, Pace dan Chart. Jadi aku hairan kenapa Amazfit Pace tak boleh gunakan saja aplikasi Mi Fit? Senang satu app je... 

Di dalam aplikasi Amazfit Watch, terdapat fungsi untuk sync data kepada aplikasi Strava. Setakat ini hanya Strava sahaja yang ada. Walaupun dalam aplikasi Amazfit Watch ada paparan untuk semua maklumat yang diperlukan,  pilihan untuk sync ke Strava amat dialu-alukan.
Data Sync untuk Strava sahaja
Sebelum ini aku guna Endomondo sebab dah beli yang versi Pro, jadi untuk Amazfit ini terpaksalah aku beralih ke Strava. Kekurangan Strava ini tidak dapat sync bacaan heart rate. Kemungkinan kena langgan servis Strava dahulu baru dapat. Agak mengecewakan di sini, harap-harap lepas ini dapat sync ke Endomondo. 
Amazfit Watch dan Strava
Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, terdapat perbezaan cara taksiran data GPS jadi terdapat perbezaan bacaan akhir antara dua aplikasi ini. Kedua-dua bacaan ini hasil daripada data GPS yang sama tetapi terdapat perbezaan bacaan.

Bateri

Jumlah jam sekiranya "Sport Mode" digunakan
Untuk cas pertama, Amazing Pace mengambil masa lebih 4 hari (hampir 5 hari) dari 100% ke 8% sebelum aku perlu mengecas semula. Dalam masa 4 hari ini, 3-4 jam dalam mode Run (GPS dan heart rate dihidupkan) dan terdapat 8 jam dengan mood continous heart rate dihidupkan. Selain daripada itu Amazfit Pace ini digunakan seperti biasa dengan kadang-kadang mencuba beberapa fungsi yang ada. 
Fungsi "Continous HR" dihidupkan
Kemudian, untuk cas kedua aku hidupkan fungsi "Continous Heart Rate" sepanjang masa. Bermula dari habis cas sehingga bateri tinggal 10%, jam ini dapat bertahan sehingga 4 hari. Kemudian fungsi "continuous heart rate" akan termati dengan sendirinya. Jadi fungsi ini sebenarnya tidak banyak menggunakan bateri. Dalam masa 4 hari tu aku tak berlari jadi mode Run yang menggunakan GPS tidak dihidupkan. Tetapi fungsi "continous heart rate" yang sentiasa diaktifkan dan dapat bertahan sehingga 4 hari, memang tahan bateri Amazfit Pace ni.

Selamat untuk dikatakan setakat ini setiap kali cas Amazfit ini dapat bertahan lebih daripada 4 hari.

Setiap kali cas, ia mengambil masa 2 jam lebih untuk cas penuh (dari 4-5% ke 100%).

Kalau dibandingkan dengan Mi Band 2, memang bateri Amazfit Pace tidak tahan lama tetapi dengan fungsi GPS yang ada, ianya amat berbaloi.

Interaksi

Amazfit Pace ini adalah sebuah smartwatch jadi kalau tiada touchscreen memang tak sah. Tetapi skrin Amazfit Pace ini aku dapati kurang responsif. Biasa kena tekan dua-tiga kali untuk memastikan jam ini mendapat arahan yang diperlukan.
Butang di atas kanan
Antara kelemahan yang aku rasakan adalah apabila nak berinteraksi perlu menekan butang di bahagian tepi jam. Walaupun fungsi "Touch to wake" dihidupkan, aku masih gagal nak bangunkan Amazfit dengan menyentuh skrin. Setiap kali mesti kena tekan butang yang bagi aku sukar dicapai.

Jam Pintar

Dapat paparkan mesej lebih terperinci
Walaupun aku kurang menitik beratkan fungsi jam pintar ini, namun begitu Amazfit Pace boleh menujukkan notifikasi untuk SMS, Whatsapp, Panggilan Masuk dan beberapa notifikasi asas apabila disambungkan kepada handphone. Aku amat suka bila Amazfit ini dapat menunjukkan mesej yang aku dapat. Tidak seperti Mi Band 2 yang hanya memaparkan nama penghantaran SMS, Amazfit Pace juga dapat menunjukkan group whatsapp dan keseluruhan mesej yang dihantar (terhad untuk mesej yang pertama setiap group). Jadi kalau ada mesej what apps dari group yang penting, memang boleh baca terus dari jam.

Boleh mainkan music
Amazfit juga didatangkan dengan kapasiti storan 4GB dengan 2 GB masih kosong. Untuk 2GB ini boleh diisikan dengan MP3 dan dimainkan secara terus menggunakan Amazfit. Tetapi untuk bunyi, Amazfit Pace perlu sambungkan ke peranti Bluetooth seperti pembesar suara dan earphone.

Program "TrainingCenter"
Selain itu, Amazfit Pace juga didatangkan dengan program latihan larian yang dipanggil Training Center. Boleh pilih untuk Beginner, 5km, 10km, Half Marathon dan juga Marathon. Masih belum mencuba lagi fungsi ini.

Kesimpulan

Huami masih baru dalam pasaran wearable ini. Tetapi dengan harga yang ditawarkan, Amazfit ini amat-amat berbaloi dibeli sekiranya anda sedang mencari sport tracker dengan GPS dengan harga yang berpatutan. Kalau dibandingkan dengan jenama terkenal yang lain, dengan fungsi yang ada kemungkinan harganya melebihi RM1,000.

Setakat ini hanya Strava sahaja yang boleh di"sync"kan. Oleh kerana tidak ada data untuk heart rate apabila di"sync", ni satu kelemahan besar. Aku juga rasakan selain daripada Strava, data yang ada sepatutnya dapat dimuatnaik ke aplikasi Mi Fit. Antaramuka antara kedua-dua aplikasi ini memang sebijik sama. 

Ini sport tracker merangkap smartwatch pertama aku beli jadi sukar nak buat perbandingan. Namun begitu dari pengalaman menggunakan Garmin semasa kelas larian sebelum ini, Amazfit Pace ini lebih mudah digunakan. Maklumat seperti Pace, Jarak, Heart Rate dan masa dapat dilihat sekali imbas. Cuma satu kelemahan yang ketara apabila kena menekan butang untuk mengakses skrin. 

Namun begitu, aku rasa dengan harga yang ditawarkan memang amat berbaloi jam ini dibeli. Setakat ini memang puas hati.