Khamis, 22 Jun 2017

Muqaddam: Rasm Majeed


Baru-baru ini aku terjumpa satu journal berkenaan perbezaan antara Rasm Uthamani dan Rasm yang lain. Boleh lihat di laman ini Mushaf Imla’i dan Implikasinya dalam Pembacaan Al-Quran. Jadi teringat pula Muqaddam.

Muqaddam

Muka depan Muqaddam

Masa kecik-kecik dulu aku mula belajar al-Quran dengan Muqaddam. Bermula dengan kenal huruf Alif, Ba, Ta sehingga dapat baca surah-surah lazim. Muqaddam ni kecik jer jadi ada yang panggil Muqaddam ni Quran Kecik dan Quran biasa tu Quran Besar.

Muqaddam ni nipis saje tapi tulisan dalamnya tebal-tebal dan rapat. Dari mula aku mengaji sampai la aku khatam Quran Besar memang mengaji dengan tulisan macam tu. Masa tu memang aku tak tahu pun Quran yang aku baca ni ikut Mushaf Majeed. 

Contoh muka dalam

Masa mengaji tu, guru yang mengajar lebih tekankan kaedah meniru bacaan. Mula dengan mendengar bacaan guru, lepas tu aku ikut. Bila dah lancar guru akan dengar dan betulkan saja. Jadi masa mengaji ni banyak tajwid selain hukum panjang pendek aku main langgar je ikut apa yang aku ingat. Mujurlah di sekolah petang ustazah ada terangkan tentang tajwid. Jadi tahulah sedikit tajwid dengan sebutan yang betul. Tapi Mushaf Majeed ini tidak ada tanda khusus untuk tajwid seperti Mushaf Uthmani. Memang perlu ingat huruf-huruf izhar dan hukum lain.

Mushaf Uthmani

Masa tu kalau gi mana-mana masjid memang masih pakai Rasm Majeed ni. Jadi sepanjang aku mengaji tu memang pakai Quran Mushaf Majeed.

Aku tak ingat bila bermula aku baca Mushaf Uthmani ni. Tetapi yang pastinya bila masuk sekolah menengah memang dah mula guna Mushaf Uthmani ni. Naskah Quran Mushaf Uthmani yang aku guna disekolah terdapat nota tanda-tanda tajwid di halaman belakang. Jadi aku belajar sendiri tanda-tanda ini. Dengan panduan dari ustaz-ustaz, memang lebih mudah baca dengan Mushaf Uthmani lebih-lebih lagi dengan tulisan yang jelas dan terdapat tanda tajwid. Tetapi akibat dari belajar sendiri-sendiri ini, ada juga tanda-tanda yang tidak terdapat dalam nota halaman belakang itu yang aku tidak mahir. Lebih-lebih lagi dari segi sebutan.

Dalam Mushaf Majeed, semua kalimah Allah ditulis sama sahaja dan bagi aku ketika itu baca ikut yang mana aku rasa betul. Kebetulan pula bila bertalaqi dengan ustaz, tidak ada pula dibetulkan jadi aku tak pernah perasan yang ada perbezaan sebutan ini.

Tiada hamzah wasal

Selain itu masalah dengan hamzah wasal. Di Mushaf Majeed, tiada hamzah wasal ini. Jadi bila dipermulaan ayat tidak berlaku masalah nak tahu baca baris atas, bawah atau hadapan sebab memang dah ada tanda baris atas. Contohnya seperti dalam surah al-Fatihah di atas. Jadi semasa mula-mula belajar baca dengan Mushaf Uthmani ni, memang semua tanda hamzah wasal saya baca baris atas.

Seingat saya, saya tidak menghadapi masalah membaca ketika menggunakan Mushaf Majeed ni walaupun tidak ada tanda tajwid khusus. Jadi kenapa perlu tukar ke Mushaf Uthmani?

Kesalahan Mushaf Quran Majeed

Dalam journal di atas disebutkan kesalahan-kesalahan dalam Mushaf Majeed ni. Antaranya dari segi Rasm di mana boleh menyebabkan kesalahan bacaan dan tidak boleh dibaca dengan pelbagai qiraat. Untuk contoh kena baca journal tu sebab aku bukan mahir sangat pun. Tapi dari contoh-contoh yang diberikan memang ketara kesalahan yang ada. Patutlah kerajaan Malaysia nak membasmi penjualan Quran Mushaf ni.

Khamis, 15 Jun 2017

Klinik al-Fatihah


Selain daripada belajar membaca al-Fatihah semasa mula-mula mengaji dulu, tak pernah lagi aku masuk kelas khas untuk al-Fatihah ini. Kebetulan pihak masjid ada anjuran kelas di setiap kulliyyah jadi amat rugi kalau tak ikut sekali. Lagipun Ramadhan ni selain daripada menguatkan jasmani, rohaniah kena jaga juga.


Hanya dapat rakam suara.
Dalam kelas ini, Ustaz mulakan dengan menyebut sanad dari mana beliau belajar bacaan al-Fatihah ini. Bermula dari tok guru di Mesir sehinggalah ke Nabi Muhammad S.A.W. Klinik ini lebih kepada pengetahuan asas bacaan al-Fatihah. Untuk pembetulan bacaan perlu dilakukkan secara bersemuka dengan ustaz di masjid. Jadi kena praktis dulu baru jumpa berdepan untuk memperdengarkan bacaan.

Dari klinik ini, alhamdulillah dapat tahu serba sedikit pembetulan yang perlu dibuat ketika pembacaan al-Fatihah. Memang kena sebut betul-betul setiap perkataan dengan makhraj yang betul. Dengar di dalam Youtube dengan dengar secara berdepan memang berbeza. Ada sebutan yang bila dengar secara rakaman berbeza sedikit dari secara terus.