Jumaat, 7 Februari 2020

Pengalaman: Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (Bahagian 2)

Post kali ini saya kongsikan pengalaman persiapan untuk mendaftar anak ke SBP. Kemungkinan akan berbeza untuk setiap sekolah, tetapi diharap dapat memberikan gambaran kasar untuk ibubapa lain.

Semakan Tawaran


Walaupun tidak berjaya di sesi temuduga, Alhamdulillah anak saya tetap ditawarkan ke SBP Sains yang lain. Memang berdebar-debar semasa nak klik mouse untuk buat semakan atas talian. Mak bapak lagi berdebar dari anak. Anak saya macam tak kisah jer sebab tak berminat nak ke asrama.

Jadi lepas membuat semakan keputusan dan pengesahan penerimaan, ada beberapa fail yang perlu dimuat turun. 

  1. Surat tawaran
  2. Borang kemasukan
  3. Borang pemeriksaan kesihatan
Dan ada beberapa senarai kelengkapan yang perlu dibeli.

Pemeriksaan kesihatan


Pemeriksaan kesihatan ini boleh dibuat di mana-mana klinik/hospital kerajaan ataupun swasta. Saya buat di Klinik Kesihatan kerajaan sebab untuk kemasukkan ke SBP/MRSM, hanya perlu membayar RM1 sahaja. Tetapi disarankan datang awal kerana mengambil masa yang lama sebab ramai orang menunggu giliran. Selain itu, di klinik tersebut mempunyai had masa untuk pemeriksaan kesihatan ini.
  • Sesi pagi : 8.00 - 10.00 pagi
  • Sesi petang: 2.00 - 3.30 petang
Proses nak buat pemeriksaan tidak lama tetapi proses menunggu giliran yang mengambil masa panjang. Ada beberapa pemeriksaan yang diambil seperti:
  • Berat dan tinggi
  • Ujian air kencing
  • Ujian penglihatan
  • Ujian darah (perlu bayaran RM10)
  • Ujian rabun warna
  • X-ray
  • dan lain-lain...
Apa yang perlu dibawa ke klinik:
  • MyKad anak
  • Surat tawaran SBP
  • Borang pemeriksaan kesihatan
Ada beberapa bahagian dalam borang itu perlu diisikan terlebih dahulu sebelum ke klinik.

Borang kemasukan

Untuk mengisi borang ini, ada beberapa perkara yang perlu ada. Antaranya (yang saya ingat):
  • Surat tawaran kemasukan
  • Kad pengenalan murid (asal dan sesalinan)
  • Kad pengenalan ibubapa/penjaga (asal dan sesalinan)
  • Penyata pendapatan ibubapa/penjaga
  • Slip keputusan UPSR (asal dan sesalinan)
  • Sijil berhenti sekolah (asal dan sesalinan)
  • Sijil-sijil berkaitan akademik dan koku (asal dan sesalinan)
  • Laporan pemeriksaan kesihatan (seperti yang saya tulis di atas)
  • Rekod kesihatan murid sekolah terdahulu (biasa sekolah akan bagi selepas tamat sekolah)
  • 2 keping gambar berukuran pasport ibubapa/penjaga
Ada lagi borang-borang lain tetapi tidak perlu diisikan seperti surat pengesahan pengetua SBP.

Pakaian

Senarai keperluan murid lelaki
Senarai keperluan murid perempuan

Pengalaman mencari baju untuk anak perempuan, sebab skema sangat saya cari betul-betul yang tertulis dalam senarai.
  • Baju kurung putih berbutang
  • Kasut kulit hitam tanpa tali tanpa corak dan bertumit
Puaslah mencari apa maksud baju kurung putih berbutang. Berbutang di lengan ke atau berbutang di leher?Akhirnya saya beli yang ada butang di kedua-dua tempat. Tetapi semasa pendaftaran ramai saja saya lihat pakai seragam sekolah biasa.

Kasut pula saya cari di kedai kasut kegemaran, Bata. Bukan kasut sekolah biasa tetapi yang ada tumit sedikit, ala-ala kasut ke pejabat. Kena pastikan kasut tu selesa sebab anak banyak pakai kasut ni di sepanjang waktu kelas. Anak saya komplen kasut tak selesa walaupun masa beli dah cuba banyak kali. Jadi kena tambah budget nak beli kasut baru pula.

Pakaian-pakaian lain mudah saja nak beli seperti di Ten Ten, Hari-hari tak pun di pasar malam seperti seluar track hitam.

Untuk barangan di bahagian B, batik sekolah dan t-shirt rasmi sekolah boleh dibeli di koperasi sekolah.

Pastikan semua pakaian-pakaian ni dah siap-siap tulis nama sebab banyak kes-kes pelajar-pelajar tingkatan 1 ni mengadu kehilangan pakaian.

Barang-barang keperluan


Senarai keperluan di asrama
Yang ni barang-barang biasa di asrama. Yang pernah masuk asrama pasti dah tahu.

Dalam bahagian C., cadar, sarung bantal adn selimut berlogo tak perlu beli dahulu, tunggu di hari pendaftaran sebab beli di koperasi sekolah. Senarai dalam Bahagian D tu barang-barang biasa saja, boleh beli kat Mydin ke, Giant ke atau mana-mana saja. Barangan bahagian E ada yang perlu dibeli di koperasi sekolah dan juga boleh beli dulu seperti lampu picit, mangga dan alat tulis.

Ada asrama yang tidak menyediakan bantal, jadi lebih baik sediakan satu.

Proses pendaftaran

Proses daftar mudah dan cepat. Sampa-sampai tu terus pergi ke kaunter dan ambil nombor. Bila nama/nombor dipanggil, guru bertugas akan minta tunjukan surat tawaran dan akan serahkan beberapa borang untuk diisikan. Pelajar akan ditanya samada untuk masuk program DLP atau tak dan aliran apa yang pelajar ingin masuk. Di sekolah anak saya tu ada:
  • Dual language program
  • Asas Sains Komputer
  • Reka Bentuk Teknolgi
Jadi mengikut mana pilihan pelajar, guru akan tetapkan kelas mana. Ibubapa akan diperkenalkan dengan abang/kakak angkat untuk membantu ibubapa sepanjang proses pendaftaran. Jadi lepas mengisi semua borang tu, saya serahkan saja ke kakak angkat.

Kemudian pergi ke kaunter guru kelas. Di sini akan dibincangkan soal yuran.

Yuran sekolah

Senarai Yuran
Bergantung kepada sekolah dan juga kategori pendapatan ibubapa, jumlah yuran yang perlu dibayar adalah berlainan. Ada sekolah perlu bayar yuran dobi dan ada sekolah yang tidak ada perkhidmatan dobi. Seperti di sekolah anak saya, tiada yuran dobi jadi hanya yuran makan.

Yuran boleh dibayar terus sekaligu ataupun ansuran kepada pihak sekolah. Semasa pendaftaran tak perlu bayar lagi yuran ni sekiranya tak mampu.

Barangan koperasi sekolah

Barangan seperti cadar, selimut, sarung bantal, baju t-shirt rasmi sekolah, baju batik dan buku-buku perlu dibeli di koperasi sekolah. Jadi senarai barangan untuk koperasi ni berbeza mengikut SBP. Untuk anak saya, saya perlu berbelanja lebih RM200.

Ke asrama

Untuk hari pendaftaran ni ibubapa boleh masuk ke asrama. Kalau tak, penat anak nak angkut semua beg. Kakak angkat tadi akan tunjukkan bilik, siap tolong angkat sikit barang. Masa ni bolehlah ibubapa tengok keadaan asrama. Keadaan locker ke, keadaan katil ke, keadaan tandas ke....

Siap kemas apa-apa yang patut, boleh je nak tinggalkan anak terus kat asrama atau bawa keluar pergi cuba 'outing' dulu. Macam saya bawa pergi keluar dulu sebab masih ada lagi jugak barang yang tak cukup. Sebelum jam 6 dah bawa balik anak masuk asrama.....

Budget

Fuh... kira-kira lebih RM1,000 juga nak hantar masuk SBP ni. Ni termasuk segala kelengkapan, pakaian dan juga barangan koperasi. Macam saya, yuran makan tu ditangguhkan dulu sebab over budget pula. Itu tak masuk yuran PIBG lagi. Yuran PIBG dalam RM250, jadi untuk yuran sahaja dah RM1,000. Itu untuk seorang anak. Kalau tambah seorang lagi, kena siapkan RM2,000 hanya untuk yuran tahunan sahaja. Nasib golongan M40 macam ni... yuran sama dengan T20 tapi pendapatan banyaklah bezanya....

5 ulasan:

  1. mari gabung bersama kami di Aj0QQ*com x-)
    BONUS CASHBACK 0.3% setiap senin
    BONUS REFERAL 20% seumur hidup. ;-)

    BalasPadam
  2. Baju cotton perlu ke pakai? Ke boleh pakai baju licin je?

    BalasPadam
  3. Tq for sharing this info. Sy pn tgh slow2 prepare utk ank nk masuk sbp lg sminggu dua ni. Mcm lencana sekolah & tndanama tu tuan/puan jahit waktu ank blk bcuti ya? Lepas hantar kali pertama waktu pndaftaran.

    BalasPadam
  4. Rekod kesihatan murid sekolah terdahulu tu yg sek menengah atau rendah?kalau yg sekolah rendah hilang dlm simpanan sek mcm mana ya?

    BalasPadam
  5. mrsm tingkatan 1...kos keseluruhan kasut baju bagai....RM1,200 tidak termasuk sewa teksi.

    BalasPadam