Selasa, 3 November 2020

Projek Laman Belakang (DIY Pull-Up Bar) Part 2

 



Akhirnya selepas berbulan siap, baru berkesempatan untuk edit video ni. Projek ni dah siap bulan Ogos lepas. Tetapi sebab ada masalah komputer, jadi kerja-kerja untuk edit tertangguh sehingga sekarang. Nak buat voice over pun ambil masa sebab kurang pengalaman.

Kalau sebelum ini aku dah habis duit beli bahan-bahan ni:
2x Kayu 2x4 inci 10 kaki panjang (RM28 sebatang)
1 liter Cat varnish (Teak) (RM27 setin)
Berus cat (RM6)
Bata 25biji (RM5~6)
Tali benang (RM2.50)
Kertas pasir

Terdapat sedikit pertambahan untuk sebelum ini.

Pasir satu bucket (bucket ni satu bekas jengkaut) = RM60 (termasuk kos penghantaran)
Batu bata = RM10 (sebiji dalam RM0.20~0.30)

Penyediaan kayu

Melicinkan permukaan kayu
Melicinkan permukaan kayu

Kayu yang bersaiz 2x4 inci sebenarnya telah diketam di kilang tetapi permukaan kayu masih tidak licin sepenuhnya. Masih terdapat serpihan-serpihan kayu dan permukaan yang kurang rata. Jadi untuk menghilangkan semua ni, aku gunakan kertas pasir untuk melicinkan semua permukaan kayu. Dah lama aku beli "Sander" ni masa ada sale 2 tahun lepas, tetapi baru sekarang aku gunakan.

Ketika membeli kayu 2x4 inci juga tidak perlu berhati-hati kerana tidak semua kayu adalah benar-benar lurus. Kayu-kayu yang aku beli ini adalah yang paling lurus aku jumpa di kedai hardware. Itupun agak bengkok dan meyukarkan sedikit semasa proses menanam tiang.

Selesai cat 2 lapisan cat
Selesai mengecat 2 lapisan cat

Selepas siap licinkan, baru aku cat menggunakan cat varnish. Cat selapis disemua permukaan. Kemudian aku biarkan kering seharian sebelum guna kertas pasir lagi dan cat untuk lapisan kedua. Untuk bahagian kayu yang akan ditanam, aku cat 2-3 lapisan lagi. Disebabkan hari panas, jadi cat cepat kering.

Tanam tiang

Proses mengorek lubang 3 kaki
Proses mengorek lubang 3 kaki

Perancangan awal untuk menggali sedalam 3 kaki. Tetapi disebabkan aku korek menggunakan chop tanah saja, proses mengorek menjadi sangat lambat dan susah. Terdapat banyak batu yang terdapat dalam tanah di laman belakang ni. Baru menggali sedikit terdapat batu-batu besar. Jadi proses mengorek lubang ni mengambil masa lebih kurang seminggu (hanya mengorek disebelah petang selepas balik kerja).
92.5 inci

Plan asal 91 inci di atas tanah. Jadi 92.5 inci diatas tanah.


Tiang pertama
Tiang pertama

Daripada 3 kaki, hanya 32 inci sahaja yang terdaya aku korek untuk kedua-dua belah lubang. Makin berbatu di bahagian dalam dan semakin sukar aku nak keluarkan tanah. Kemudian baru proses membancuh simen. Aku gunakan nisbah 1:2:2 (simen:pasir:batu). Bancuh secara manual. Air aku letak sikit-sikit sehingga mudah untuk menggaul simen (lebih kurang 1 bahagian). Untuk kiraan, aku hanya mengguna baldi kuning tu. Jadi kalau guna nisbah berat seperti yang sepatutnya, memang lari jauh. Mujurlah simen jadi elok dan ikat tiang dengan baik.

Ikat tiang kedua
Ikat tiang kedua

Selepas tanam tiang pertama, baru aku perasan tiang ni mudah bergoyang-goyang di bahagian atas. Disebabkan ketebalan 2 inci agak nipis untuk dijadikan tiang yang teguh, tiang ni mudah bergerak ke kiri dan ke kanan. Jadi untuk tiang kedua aku belikan satu lagi kayu 2x4 inci. Kena buat proses awal semula iaitu melicinkan dan mengecat.

Kayu yang baru dibeli ini sedikit bengkok (ini kayu yang paling lurus aku cari). Jadi nak ikat ke kayu sebelum ini ambil masa nak 'adjust'. Hujung dengan hujung dah sama, tetapi di tengah kayu agak lari sedikit. Kedua-dua kayu ini aku ikat menggunakan nut skru 5 inci. 3 tempat aku tebuk lubang dan skrukan.

Siap tiang ke-2
Siap tiang ke-2

Setelah siap proses ikat 2 kayu tu, baru proses menanam tiang ke-2. Untuk menanam tiang ke-2 ini agak rumit sebab kena selarikan dengan tiang pertama dan kedua-dua tiang perlu selaras. Itupun selepas aku ukur semua, masih berlaku kesilapan disebabkan tersalah menanda. Mujurlah batang paip untuk pull-up bar akan dipasang selepas tiang dinaikkan.

Penyediaan kawasan

Meratakan pasir
Meratakan pasir

Siap menaikkan tiang, sekarang proses nak tambah pasir ke kawasan projek. Sambil letak pasir, sambil aku ratakan kawasan. 

Sepatutnya pasir tidak dimasukkan sehingga penuh. Sepatutnya aku tinggalkan dalam 1-2 inci untuk masukkan dengan tanah biasa. Sebabnya rumput karpet yang aku akan letakkan nanti memerlukan air yang secukupnya. Kalau diletakkan pasir sahaja, kawasan ini akan mudah kering kerana semua air akan cepat mengalir kebawah.

Memasang rubber mat
Memasang rubber mat

Rubber mat ini aku beli di Lazada. Harga RM75 untuk 4 keping. Mat ni aku beli dengan ketebalan 1 inci. Kalau tak kerana mat ni, kos untuk projek kali ni tak sampai RM200 pun. Tapi sebab dah lama rancang nak letak mat macam ni, aku beli jugak. Tetapi memang puas hatilah dengan kualiti mat ni, senang nak pasang (letak je) dan senang nak potong (guna pisau).

Pasang pull-up bar

Pull-up bar
Pull-up bar

Antara penyebab lambat projek ini siap adalah mencari jalan nak pasang bar ni. Kebanyakkan DIY video di Youtube menggunakan flange untuk mengikat bar ke dinding dan tiang. Tetapi amat sukar untuk mencari flange ni Kuantan ni. Selepas mencari seluruh Kuantan (Semambu), aku jumpa flange yang untuk industri sahaja. Saiz lubang 1 inci tetapi siz keseluruhan lebih besar dari tiang 4 inci ni. Aku cari di Lazada dan Shoppee untuk local, dan bila sampai sama sahaja. 

Flange local dan China
Flange local (kiri) dan China (kanan)

Akhirnya aku order dari China. Size memang ok tapi kualiti bahan agak meragukan untuk menampung berat aku ni. Jadi dengan jarak antara dua tiang 38 inci, aku beli batang paip 1 inci dengan panjang 40 inci. Sebabnya 1 inci akan dimasukkan ke dalam kedua-dua tiang. Flange ni masih digunakan untuk mengelakkan batang paip berpusing. Jadi untuk buat alur aku minta kedai hardware buat alur sedalam 1.5 inci.

Mengecat bar

Sebelum masuk, cat dulu dengan spray tin. Beli di Mr DIY je masa ada promosi. Cat 2-3 lapisan. Kemudian baru pasang ke tiang. Mujurlah tiang pertama mudah digoyangkan sebab ini memudahkan aku memasukkan batang paip ke dalam lubang yang dibuat.

Menanam rumput

Tanam rumput

Ini antara satu lagi sebab projek lambat siap. Order rumput di Kuantan, tetapi dah 2 minggu tak sampai-sampai. Jadi masuk minggu ke-3 dan kebetulan kena pergi ke Sungai Buloh, aku beli sampai penuh kawasan projek ni. Habis dalam RM60. Sekeping dalam RM2.00 lebih (tak ingat harga tepat). Kalau yang di Kuantan tu, harga dua kali ganda.

Jadi sebelum tanam tu, aku letak dulu tanah campuran. Sekurang-kurangnya tidak beralaskan pasir sahaja.

Pasang siar kaki (stepping stone)

Stepping stone

Siar kaki ini bukan dalam rancangan awal. Tetapi disebabkan banyak simen yang berbaki, aku mencuba membuat stepping stone sendiri. Secara peribadi, aku rasa baik beli je kalau harga bawah RM15 sebab penat dan kos tak padan kalau nak buat banyak-banyak. Tapi yang ni aku letak tapak semua ahli keluarga. Kira oklah jugak... cuma cat tu aku nak jimat pakai cat kapur dan spraykan dengan cat spray clear.



Siap dah

Dan akhirnya siap juga. Dari nak buat pondok kecil, jadi pull-up bar merangkap buaian saja. Okaylah....

Rabu, 1 Julai 2020

Projek Laman Belakang (DIY Pull-Up Bar) Part 1 - Penyediaan Tapak




Tahun 2019, buang semua rumput-rumpai

2019 siap tabur pasir tetapi terbengkalai

Sejak tahun lepas, aku dah bersihkan kawasan laman belakang ini. Habis dicabut semua akar-akar pokok rumpai dengan menggali sedalam 1/2 - 1 kaki dan digantikan dengan pasir. Kemudiannya rancang untuk tanam Rumput Jepun tetapi susah nak dapatkan rumput ni di sini.

Nurseri di sini kebanyakannya hanya menjual rumput Filipa sahaja. Untuk Rumput Jepun kebiasannya kena tempah terlebih dahulu dan harga agak mahal dibandingkan dengan Sg. Buloh. Jadi memang terkandaslah projek ni sehingga PKP ni. Disebabnya banyak masa, memang semangat balik nak sambung projek tetapi kedai semua tutup pulak. Jadi banyak buat pelan sahaja.

2020 Hanya mencabut rumput liar sekali-sekala

Saiz ruang laman belakang ini ada dalam 12x18 kaki dengan lebih separuhnya telah ditanam pokok-pokok buahan dan ulam. Jadi tinggal kawasan projek dalam 5x12 kaki sahaja.

Pelan awal - Pondok Kecil dengan pull-up

Pelan awal nak buat pondok/gazebo kecil tetapi dengan kawasan yang sempit, kos yang tinggi dan memerlukan kemahiran pertukangan yang lebih tinggi, jadi tukar pelan awal ke pelan kawasan untuk beriadah. Lebih-lebih lagi aku ni suka kawasan lapang, jadi memang batal niat nak buat pondok kecil.

Pelan sekarang

Untuk minggu ini, aku hanya membuat penyediaan kawasan sahaja. Disebabkan dari pengalaman tahun lepas, pasir yang diletakkan sebelum ini kebanyakan akan berpindah ke kawasan lain semasa hujan. Kawasan juga menjadi kurang rata, jadi bata-bata diletakkan tanpa diikat simen untuk menjadikan kawasan ini rata dan sekata apabila dimasukkan pasir sekali lagi. 

Bahan yang digunakan setakat ini:
2x Kayu 2x4 inci 10 kaki panjang (RM28 sebatang)
1 liter Cat varnish (Teak) (RM27 setin)
Berus cat (RM6)
Bata 25biji (RM5~6)
Tali benang (RM2.50)
Kertas pasir

Khamis, 11 Jun 2020

Saiz plastik sampah yang sesuai


Kali ini aku buat post sampah...Ha..ha.. Sebab selalu tak ingat saiz yang sesuai untuk tong sampah kat rumah, jadi aku buat post ni.

Plastik sampah ini biasa aku beli bila teringat je. Jadi masa tu kedai mana aku pergi, kedai itulah aku akan beli. Yang merumitkan lagi, setiap kedai akan menjual mengikut jenama-jenama yang berlainan. Jenama-jenama ini pula akan memaparkan saiz mengikut standard mereka tersendiri. Kadang-kadang ada yang tulis saiz S, M, L sahaja tanpa menulis ukuran saiz dan kadang-kadang ada juga tulis dalam unit cm dan ada juga dalam unit inci.

Selalu jugak kedai yang aku selalu pergi asyik bertukar saja jenama plastik sampah yang dijual. Jadi memang selalu juga la aku teragak-agak saiz mana nak dibeli. Walaupun setiap bulan memang kena beli, aku memang selalu lupa saiz yang sesuai untuk tong sampah kat rumah aku ni. Jadi ini aku senaraikan plastik-plastik sampah yang sempat aku survey.

Tong Sampah Saiz Ukuran (cm) Ukuran (inci) Plastik

Tong sampah kecil yang biasa ada di ofis atau di dalam bilik. Yang ni senang nak pilih sebab memang kebiasaanya saiz S.
Kapasiti <8L (~2 Gelen)
Ketinggian 26-30 cm (10-12 inci)

S 48 x 53 19 x 21

Ini yang saya letak dalam rumah.
Kapasiti 50L (~10 Gelen)
Ketinggian 40-45cm (15-18inci)
M


Banyak digunakan di rumah-rumah sebelum tong sampah hijau dibekalkan oleh Alam Flora.
Kapasiti 70L (~15 Gelen)
Ketinggian 65-70cm (25-27 inci)

66 x 90 26 x 35
71 x 91 28 x 36


Saiz kecil daripada yang dibekalkan Alam Flora. Kapasiti 100L (~22 Gelen)
Ketinggian 78-80cm (30-32 inci)

L 74 x 92 29 x 36

76 x 100 30 x 39

Tong sampah yang dibekalkan Alam Flora. Kapasiti 120L (~26 Gelen)
Ketinggian 94cm (37 inci)

XL 82 x 110 32 x 43
82 x 110 32 x 43
82 x 102 32 x 40
XXL 90 x 117 35 x 46

Jadual di atas ini hanya yang aku buat sendiri, jadi bukan saiz standard untuk saiz S,M, L ataupun XL. Segala maklumat aku dapatkan dari plastik bag itu sendiri dan ukurannya aku tukar sendiri unit kalau tidak dipaparkan.

Bila dah buat senarai ni baru nampak jelas setiap jenama ada standard saiz sendiri. Saiz S senang nak kenal tapi kalau tong sampah jenis saiz M memang susah nak kenal pasti plastik yang sesuai. Macam yang aku guna di rumah, kalau beli saiz S akan terlalu kecil dan kalau beli saiz M akan jadi terlebih besar pula. Jadi biasanya aku akan terbeli yang lebih besar.

Tapi dari pengalaman, kalau tong saiz 50L macam aku ni, beli plastik sampah saiz 70L lebih sesuai. Kalau ngam-ngam asyik kena betulkan plastik je sebab selalu termasuk dalam tong sampah.

Jumaat, 5 Jun 2020

DIY: Sinki dapur bocor



Sejak musim PKP ni, banyak masa terluang saya ada di rumah. Jadi dalam masa ini, banyak juga peralatan di rumah yang dapat diselenggarakan. Kebetulan juga banyak yang sudah sampai masa perlu ditukar. Masa masuk rumah dulu, guna barang yang kurang kualiti jadi tak sampai 5 tahun dah kena tukar.

Jadi kali ini saya tulis tentang sinki dapur yang bocor. Kali ini saya ada buat video.


Kedua-dua bahagian lubang sinki habis tertanggal. Kedua-duanya boleh tercabut keluar. Skru untuk pengikat dah hilang termasuk pedakap di bahagian bawah. Jadi dalam musim PKP ni memusing saya mencari barang spare-part. 

Lubang sinki yang dah tercabut
(Anak panah menunjukkan pelapik getah ayng biasa jadi punca bocor)

Stainless Steel
(tak tahu apa nama ni)


Akhirnya saya beli dua set stainless steel yang lebih berkualiti.

Semasa buat table top ini, kontraktor telah menyambung dengan gam semua batang paip ini. Ini menyebabkan lubang sinki (kon) di sebelah kanan tak dapat dicabut keluar. Lagipun lubang sinki yang baru saya beli ini tak sesuai dengan penyambungan yang ada sekarang. Akhirnya hampir semua batang paip perlu dibawa keluar.

Boleh tahan juga leceh baiki sinki ini. Kos baiki lebih kurang RM50. Sebabnya pilihan kedai hardware terhad. Jadi pergi kedai yang terdekat saja. Benda ad-hoc memang kos tinggi sikit sebab tak sempat nak survey. (harga lebih kurang--lupa simpan resit)

Lubang sinki ........................ RM12 x 2 = RM22
Batang Paip PVC 40mm ..... 1.5m = RM5
Pita PTFE ............................ RM0.50 x 2 = RM1.00
Gam PVC ............................ RM5.00 x 1 = RM5.00
Penyambung:
T............................................. RM2.20 x 1 = RM2.20
Siku (L) ............................... RM2.50 x 3 = RM7.50
Soket sama (terbeli).............. RM1.65 x 3 = RM4.95
Socket peyambung (benang) RM2.15 x 2 = RM4.30

Sebab ini ad-hoc dan tak planning, jadi saya buat ikut asal. Kalau tak cepat baiki, susah orang rumah nak memasak dan membasuh. Lagipun ini satu-satunya sinki di dapur jadi segala urusan dapur memang kena guna sinki ini. Nak tak nak memang kena buat cepat. Ukuran pun lebih kurang sama dengan yang asal.

Beza dengan yang lama, yang ini saya rendahkan sedikit kerana lubang sinki satu set dengan kon. Jadi set ini dan soket penyambung pvc lebih panjang/tinggi daripada set yang lama.

Pada sambungan terakhir, saya tidak gamkan batang paip supaya mudah kalau ada sebarang kerosakan pada masa akan datang.

Sambungan ini tiada perangkap sinki sebab tak terfikir nak buat masa pasang. Kemungkinan akan cuba fikirkan kalau rosak lagi.

Semoga bermanfaat.

Isnin, 17 Februari 2020

Tujuh Huruf Tiada Dalam Al-Fatihah


Kali ini nota pendek sahaja. Antara ilmu yang saya dapat dari kelas sebelum ini. Sekadar perkongsian.

7 huruf tiada dalam al-Fatihah

Antara 28 huruf hijaiyah, hanya 21 huruf sahaja yang terdapat di dalam al-Fatihah. Selebihnya sebanyak 7 huruf tiada di dalamnya. Huruf-huruf ini adalah:
  1. ث
  2. ج
  3. خ
  4. ز
  5. ش
  6. ظ
  7. ف
Ada yang bertanya kenapa 7 huruf ini tiada dalam al-Fatihah? Wallahu a'lam...

Tetapi kalau mengikut kata Ustaz di dalam kelas tu (tidak disebut berdasarkan hadith atau riwayat yang mana), sebabnya adalah 7 huruf ini menggambarkan 7 jenis neraka. Malangnya saya tidak sempat menyalin nama-nama tersebut kerana ustaz hanya menyatakannya sekali lalu sahaja sebagai selingan. Tetapi yang sempat saya ingat neraka paling sejuk (zamharir).

Wallahu a'lam...

Jumaat, 14 Februari 2020

Tajwid: Sifat Huruf


Baru-baru ini saya ada mengikuti kelas asas tajwid. Kelas ini lebih kepada kelas ulangkaji sebab merangkumi beberapa bab seperti kesemua hukum mad, hukum nun dan mim mati, makhraj dan sifat-sifat huruf hanya dalam masa 2 hari saja. Jadi sebelum terlupa, saya tuliskan beberapa nota yang sempat saya salin. Sepatutnya saya tulis tentang makhraj dulu baru sifat-sifat huruf. Tetapi sebab untuk mahkraj banyak memerlukan gambar, saya tulis berkenaan sifat-sifat huruf sahaja.

Sifat-sifat huruf

Terdapat 28 huruf hijaiyah dalam al-Quran (ء dan ا dikira 1 huruf). Setiap huruf mempunyai makhraj dan sifat-sifatnya sendiri. Sifat-sifat ini boleh dibahagikan kepada 2 iaitu:

  1. Sifat berlawanan
  2. Sifat tunggal

Sifat berlawanan

Jahar
Nafas tertahan ketika menyebut hurufnya
عَظُمَ وَزْنُ قَارِئٍ ذِي غَضٍّ جِدٍّ طَلَبَ
Hamas
Nafas terlepas ketika menyebut hurufnya
فَحَثَّهُ شَخْصٌ سَكَتَ

Syiddah
Suara tertahan ketika menyebut hurufnya
أَجِدْ قَطٍّ بَكَتْ
Rakhawah
Suara terlepas ketika menyebut hurufnya
خُذْ غَثَّ حَظَّ فَضَّ شَوْصٍ زَيَّ سَاهٍ
Tawassut
5 huruf ditengah-tengah antara dua sifat ini
لِنْ عُمَر

Isti’la
Terangkat pangkal lidah ke langit-langit ketika menyebut hurufnya
خُصَّ ضَغْطٍ قِظْ
Istifal
Tidak terangkat pangkal lidah ketika menyebut hurufnya
أنْشِرْ حَدِيثَ عِلْمِكَ سَوْفَ تُجَهِّزْ بِذَا

Itbaq
Terangkat lidah menutupi langitlangit ketika menyebut hurufnya
ص ,ض ,ط ,ظ
Infitah
Terbuka ruang antara lidah dan langit-langit ketika menyebut hurufnya
أنْشِرْ حَدِيثَ عِلْمِكَ سَوْفَ تُجَهِّزْمَنْ أَخَذَ وَجَدَ سَعَةً فَزَكَا حَقٌّ لَهُ شُرْبُ غَيْثٍ

Ishmat
Tertahan dari segera keluar ketika menyebut hurufnya
جَزُّ غِشٍّ سَاخِطٍ صَدَّ ثِقَةً اِذْ وَعْظُهُ يَحُضُّكَ
Izlaq
Lancar dan mudah menyebut kerana hurufnya keluar dari hujung lidah dan dua bibir
فِرَّ مِنْ لُبٍّ

Sifat Tunggal

Sofir
Menyebut hurufnya dengan bunyi desiran yang kuat menyerupai suara binatang.
ص , ز , س

Qalqalah
Lantunan suara yang kuat pada makhraj kerana tekanan yang kuat ketika menyebutnya.
Hati-hati dengan bentuk lantunan bagi 3 jenis qalqalah
قَطْبٌ جَدٍ

Inhiraf
Maksudnya huruf inhirof apabila diucapkan condongnya ke arah makhraj huruf yang lain.
ل , ر

Istitolah
Memanjang iaitu makhraj hurufnya memanjang dibahagian tepi lidah sehingga ke makhraj lam
ض

Tafassyi
Diucapkan maka bunyinya bersamaan dengan tersebarnya angin yang keras yang keluar dari dalam mulut
ش

Takrir
Bergetarnya hujung lidah
ر

No. Huruf 1 2 3 4 5 6 7
1 ء Jahar Syiddah Istifal Infitah Ishmat
2 ب Jahar Syiddah Istifal Infitah Izlaq Qalqalah
3 ت Hamas Syiddah Istifal Infitah Ishmat
4 ث Hamas Rakhawah Istifal Infitah Ishmat
5 ج Jahar Rakhawah Istifal Infitah Ishmat Qalqalah
6 ح Hamas Syiddah Istifal Infitah Ishmat
7 خ Hamas Rakhawah Isti’la Infitah Ishmat
8 د Jahar Rakhawah Istifal Infitah Ishmat Qalqalah
9 ذ Jahar Rakhawah Istifal Infitah Ishmat
10 ر Jahar Tawassut Istifal Infitah Izlaq Inhiraf Takrir
11 ز Jahar Rakhawah Istifal Infitah Ishmat Sofir
12 س Hamas Rakhawah Istifal Infitah Ishmat Sofir
13 ش Hamas Rakhawah Istifal Infitah Ishmat Tafassyi
14 ص Hamas Rakhawah Isti’la Itbaq Ishmat Sofir
15 ض Jahar Rakhawah Isti’la Itbaq Ishmat Istitolah
16 ط Jahar Syiddah Isti’la Itbaq Ishmat Qalqalah
17 ظ Jahar Rakhawah Isti’la Itbaq Ishmat
18 ع Jahar Tawassut Istifal Infitah Ishmat
19 غ Jahar Rakhawah Isti’la Infitah Ishmat
20 ف Hamas Rakhawah Istifal Infitah Izlaq
21 ق Jahar Syiddah Isti’la Infitah Ishmat Qalqalah
22 ك Hamas Syiddah Istifal Infitah Ishmat
23 ل Jahar Tawassut Istifal Infitah Izlaq Inhiraf
24 م Jahar Tawassut Istifal Infitah Izlaq Ghunnah
25 ن Jahar Tawassut Istifal Infitah Izlaq Ghunnah
26 و Jahar Rakhawah Istifal Infitah Ishmat
27 ه Hamas Rakhawah Istifal Infitah Ishmat
28 ي Jahar Rakhawah Istifal Infitah Ishmat

Semoga bermanfaat.

Jumaat, 7 Februari 2020

Pengalaman: Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (Bahagian 2)

Post kali ini saya kongsikan pengalaman persiapan untuk mendaftar anak ke SBP. Kemungkinan akan berbeza untuk setiap sekolah, tetapi diharap dapat memberikan gambaran kasar untuk ibubapa lain.

Semakan Tawaran


Walaupun tidak berjaya di sesi temuduga, Alhamdulillah anak saya tetap ditawarkan ke SBP Sains yang lain. Memang berdebar-debar semasa nak klik mouse untuk buat semakan atas talian. Mak bapak lagi berdebar dari anak. Anak saya macam tak kisah jer sebab tak berminat nak ke asrama.

Jadi lepas membuat semakan keputusan dan pengesahan penerimaan, ada beberapa fail yang perlu dimuat turun. 

  1. Surat tawaran
  2. Borang kemasukan
  3. Borang pemeriksaan kesihatan
Dan ada beberapa senarai kelengkapan yang perlu dibeli.

Pemeriksaan kesihatan


Pemeriksaan kesihatan ini boleh dibuat di mana-mana klinik/hospital kerajaan ataupun swasta. Saya buat di Klinik Kesihatan kerajaan sebab untuk kemasukkan ke SBP/MRSM, hanya perlu membayar RM1 sahaja. Tetapi disarankan datang awal kerana mengambil masa yang lama sebab ramai orang menunggu giliran. Selain itu, di klinik tersebut mempunyai had masa untuk pemeriksaan kesihatan ini.
  • Sesi pagi : 8.00 - 10.00 pagi
  • Sesi petang: 2.00 - 3.30 petang
Proses nak buat pemeriksaan tidak lama tetapi proses menunggu giliran yang mengambil masa panjang. Ada beberapa pemeriksaan yang diambil seperti:
  • Berat dan tinggi
  • Ujian air kencing
  • Ujian penglihatan
  • Ujian darah (perlu bayaran RM10)
  • Ujian rabun warna
  • X-ray
  • dan lain-lain...
Apa yang perlu dibawa ke klinik:
  • MyKad anak
  • Surat tawaran SBP
  • Borang pemeriksaan kesihatan
Ada beberapa bahagian dalam borang itu perlu diisikan terlebih dahulu sebelum ke klinik.

Borang kemasukan

Untuk mengisi borang ini, ada beberapa perkara yang perlu ada. Antaranya (yang saya ingat):
  • Surat tawaran kemasukan
  • Kad pengenalan murid (asal dan sesalinan)
  • Kad pengenalan ibubapa/penjaga (asal dan sesalinan)
  • Penyata pendapatan ibubapa/penjaga
  • Slip keputusan UPSR (asal dan sesalinan)
  • Sijil berhenti sekolah (asal dan sesalinan)
  • Sijil-sijil berkaitan akademik dan koku (asal dan sesalinan)
  • Laporan pemeriksaan kesihatan (seperti yang saya tulis di atas)
  • Rekod kesihatan murid sekolah terdahulu (biasa sekolah akan bagi selepas tamat sekolah)
  • 2 keping gambar berukuran pasport ibubapa/penjaga
Ada lagi borang-borang lain tetapi tidak perlu diisikan seperti surat pengesahan pengetua SBP.

Pakaian

Senarai keperluan murid lelaki
Senarai keperluan murid perempuan

Pengalaman mencari baju untuk anak perempuan, sebab skema sangat saya cari betul-betul yang tertulis dalam senarai.
  • Baju kurung putih berbutang
  • Kasut kulit hitam tanpa tali tanpa corak dan bertumit
Puaslah mencari apa maksud baju kurung putih berbutang. Berbutang di lengan ke atau berbutang di leher?Akhirnya saya beli yang ada butang di kedua-dua tempat. Tetapi semasa pendaftaran ramai saja saya lihat pakai seragam sekolah biasa.

Kasut pula saya cari di kedai kasut kegemaran, Bata. Bukan kasut sekolah biasa tetapi yang ada tumit sedikit, ala-ala kasut ke pejabat. Kena pastikan kasut tu selesa sebab anak banyak pakai kasut ni di sepanjang waktu kelas. Anak saya komplen kasut tak selesa walaupun masa beli dah cuba banyak kali. Jadi kena tambah budget nak beli kasut baru pula.

Pakaian-pakaian lain mudah saja nak beli seperti di Ten Ten, Hari-hari tak pun di pasar malam seperti seluar track hitam.

Untuk barangan di bahagian B, batik sekolah dan t-shirt rasmi sekolah boleh dibeli di koperasi sekolah.

Pastikan semua pakaian-pakaian ni dah siap-siap tulis nama sebab banyak kes-kes pelajar-pelajar tingkatan 1 ni mengadu kehilangan pakaian.

Barang-barang keperluan


Senarai keperluan di asrama
Yang ni barang-barang biasa di asrama. Yang pernah masuk asrama pasti dah tahu.

Dalam bahagian C., cadar, sarung bantal adn selimut berlogo tak perlu beli dahulu, tunggu di hari pendaftaran sebab beli di koperasi sekolah. Senarai dalam Bahagian D tu barang-barang biasa saja, boleh beli kat Mydin ke, Giant ke atau mana-mana saja. Barangan bahagian E ada yang perlu dibeli di koperasi sekolah dan juga boleh beli dulu seperti lampu picit, mangga dan alat tulis.

Ada asrama yang tidak menyediakan bantal, jadi lebih baik sediakan satu.

Proses pendaftaran

Proses daftar mudah dan cepat. Sampa-sampai tu terus pergi ke kaunter dan ambil nombor. Bila nama/nombor dipanggil, guru bertugas akan minta tunjukan surat tawaran dan akan serahkan beberapa borang untuk diisikan. Pelajar akan ditanya samada untuk masuk program DLP atau tak dan aliran apa yang pelajar ingin masuk. Di sekolah anak saya tu ada:
  • Dual language program
  • Asas Sains Komputer
  • Reka Bentuk Teknolgi
Jadi mengikut mana pilihan pelajar, guru akan tetapkan kelas mana. Ibubapa akan diperkenalkan dengan abang/kakak angkat untuk membantu ibubapa sepanjang proses pendaftaran. Jadi lepas mengisi semua borang tu, saya serahkan saja ke kakak angkat.

Kemudian pergi ke kaunter guru kelas. Di sini akan dibincangkan soal yuran.

Yuran sekolah

Senarai Yuran
Bergantung kepada sekolah dan juga kategori pendapatan ibubapa, jumlah yuran yang perlu dibayar adalah berlainan. Ada sekolah perlu bayar yuran dobi dan ada sekolah yang tidak ada perkhidmatan dobi. Seperti di sekolah anak saya, tiada yuran dobi jadi hanya yuran makan.

Yuran boleh dibayar terus sekaligu ataupun ansuran kepada pihak sekolah. Semasa pendaftaran tak perlu bayar lagi yuran ni sekiranya tak mampu.

Barangan koperasi sekolah

Barangan seperti cadar, selimut, sarung bantal, baju t-shirt rasmi sekolah, baju batik dan buku-buku perlu dibeli di koperasi sekolah. Jadi senarai barangan untuk koperasi ni berbeza mengikut SBP. Untuk anak saya, saya perlu berbelanja lebih RM200.

Ke asrama

Untuk hari pendaftaran ni ibubapa boleh masuk ke asrama. Kalau tak, penat anak nak angkut semua beg. Kakak angkat tadi akan tunjukkan bilik, siap tolong angkat sikit barang. Masa ni bolehlah ibubapa tengok keadaan asrama. Keadaan locker ke, keadaan katil ke, keadaan tandas ke....

Siap kemas apa-apa yang patut, boleh je nak tinggalkan anak terus kat asrama atau bawa keluar pergi cuba 'outing' dulu. Macam saya bawa pergi keluar dulu sebab masih ada lagi jugak barang yang tak cukup. Sebelum jam 6 dah bawa balik anak masuk asrama.....

Budget

Fuh... kira-kira lebih RM1,000 juga nak hantar masuk SBP ni. Ni termasuk segala kelengkapan, pakaian dan juga barangan koperasi. Macam saya, yuran makan tu ditangguhkan dulu sebab over budget pula. Itu tak masuk yuran PIBG lagi. Yuran PIBG dalam RM250, jadi untuk yuran sahaja dah RM1,000. Itu untuk seorang anak. Kalau tambah seorang lagi, kena siapkan RM2,000 hanya untuk yuran tahunan sahaja. Nasib golongan M40 macam ni... yuran sama dengan T20 tapi pendapatan banyaklah bezanya....