Jumaat, 1 Julai 2016

Panduan Qiamullail (Jakim)


Biasa selalu cerita tentang menu senaman, kali ini nak tulis tentang menu qiamullail. Boleh tulis secara ringkas sahaja sebab kalau nak terang panjang-panjang aku bukan ahlinya. Yang ini pun aku ambil dari JAKIM.

Beberapa sembahyang sunat qiamullail

Sunat Awwabin
Awwabin bererti kembali iaitu kembali mengingati Allah SWT ketika berada dalam kelalaian. Sembahyang sunat ini biasa dilakukan di antara waktu Maghrib dengan Isyak. Sembahyang ini boleh dikerjakan 20 rakaat, 4 rakaat dan 2 rakaat.

Sembahyang Sunat Tahajjud
Pengertian Tahajjud ialah sembahyang sunat apabila terjaga daripada tidur malam walaupun tidur hanya sebentar. Sembahyang ini dilakukan selepas daripada waktu Isyak sehingga terbit fajar. Sebaik-baiknya dilakukan pada waktu satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga ke fajar. Sembahyang ini dilakukan sekurangkurangnya dua rakaat secara bersendirian. Lakukanlah seberapa banyak yang termampu.

Sembahyang Sunat Hajat
Sembahyang Hajat bererti sembahyang untuk meminta sesuatu hajat yang tertentu. Ia boleh dilakukan secara bersendirian mengikut hajat masing-masing dan boleh juga dilakukan secara berjemaah jika untuk niat yang sama.

Sembahyang Sunat Taubat
Sembahyang sunat Taubat bererti sembahyang memohon keampunan dan taubat Nasuha daripada Allah SWT Sembahyang ini dilakukan sebanyak dua rakaat. Asas sembahyang ini ialah:

  1. Menyesal di atas segala perbuatan dosa yang dilakukan.
  2. Menyucikan diri daripada perbuatan dosa dan berhenti daripada melakukan maksiat serta meminta ampun di atas apa yang telah dilakukan daripada Allah SWT, memohon maaf kepada manusia terhadap dosa yang berkaitan dengan harta benda, maruah dan jiwa. Mengqadhakan segala apa yang telah terluput seperti amalan-amalan sembahyang, puasa dan lain-lain sekadar yang termampu.
  3. Berazam tidak akan melakukan lagi segala perbuatan tersebut serta menjauhkannya.

Sembahyang Sunat Tasbih
Mengenai sembahyang ini Imam Nawawi pernah berkata bahawa telah menjadi pegangan jumhur ulama syafi’iyah bahawa sembahyang Tasbih ini adalah hukumnya sunat. Terdapat hadithhadith yang menggesa supaya beramal pada setiap hari, jika tidak melakukannya hendaklah dilakukan seminggu sekali, jika tidak dapat dilakukan seminggu sekali hendaklah dilakukan sebulan sekali, jika tidak dapat dilakukan sebulan sekali, hendaklah dilakukan setahun sekali, jika tidak dapat melakukan setahun sekali hendaklah dilakukan sekali seumur hidup.

Walaupun hadith-hadith tersebut tidak kuat untuk dijadikan hujah, tapi ulama membolehkan beramal dengan fadhai’l amal. Waktu mengerjakannya ialah pada waktu siang dilakukan empat rakaat dengan satu malam.

Cara Solat Tasbih

Niat

Lafaz niat sembahyang sunat Tasbih jika dua rakaat satu salam ialah:

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ رَكَعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah ta‘ala.”
Atau jika dilakukan empat rakaat:
أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى.
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah ta‘ala.”
Bacaan Tasbih
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ

Waktu Bacaan Tasbih

  1. Selesai bacaan al-Fatihah dan surah selepasnya dan sebelum rukuk (15 kali)
  2. Selepas bacaan tasbih rukuk (10 kali)
  3. Selepas bacaan i'tidal (10 kali)
  4. Selepas bacaan tasbih sujud (10 kali)
  5. Selepas bacaan doa duduk antar dua sujud (10 kali)
  6. Selepas bacaan tasbih sujud (10 kali)
  7. Ketika duduk istirahah - duduk sebelum berdiri dan selepas bacaan tahayat (10 kali)

Bacaan yang elok dibaca

  1. Rakaat pertama - At-Takathur
  2. Rakaat kedua - Al-'Asr
  3. Rakaat ketiga - Al-Kafirun
  4. Rakaat kempat - Al-Ikhlas
Rujukan lanjut.

Sembahyang Sunat Witir
Witir ertinya ganjil, yakni tidak genap rakaatnya. Sembahyang ini boleh dilakukan secara perseorangan atau berjemaah.

Hukumnya sunat muakkad, dikerjakan sekurang-kurangnya satu rakaat dua salam dan sebanyak-banyaknya sebelas rakaat dengan tujuh salam. Waktunya selepas sembahyang Isyak.

Cara Solat Witir

Niat

Bacaan niat untuk 2 rakaat
أصلي سنة الوتر وكعتين لله تعالي
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Witir dua rakaat kerana Allah ta‘ala.”
Bacaan niat untuk 1 rakaat
أصلي سنة الوتر وكعة لله تعالي
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Witir satu rakaat kerana Allah ta‘ala.”

Bacaan yang elok dibaca

  1. Rakaat pertama - Al-'Ala
  2. Rakaat kedua - Al-Kafirun
  3. Rakaat ketiga - Al-Ikhlas, Al-Falaq, Surah An-Nas

Rujukan Lanjut

Amalan Lain Yang Disunatkan Semasa Qiamullail

Antara amalan-amalan lain yang disunatkan semasa qiamullail ialah:

Membaca al-Quran
Membaca al-Quran adalah satu ibadat yang mempunyai pahala yang besar kerana setiap huruf yang dibaca itu akan digandakan sepuluh kebajikan.

Zikir
Berzikir ialah sama ada menyebut kalimah (لآ اِلَهَ اِلّا اللّهُ ) atau (اللّهُ اللّهُ ) atau (سبحان الله ) atau
(اَللّهُ اَكْبَرُ) atau (اَلْحَمْدُلِلّهِ).

Apa yang aku tulis ini boleh didapati dalam buku "Panduan Qiamullail" yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan