Rabu, 15 Februari 2017

Mi Max - Phablet dari Xiaomi


Satu lagi gadget dari Xiaomi yang aku beli. Dah lama tak beli handphone baru sebab handphone Redmi Note 3G aku masih bertahan sehingga sekarang. Tapi sebab tak support 4G dan setelah lama hanya guna 8GB storage dengan Redmi Note 3G, terpaksa jugak beli yang baru (hu.. hu.. terpaksa konon). 

Dengan skrin 6.44 inci, Mi Max ini adalah handphone paling besar yang dikeluarkan oleh Xiaomi. Mula diumumkan sejak pertengahan tahun 2016 jadi sudah hampir setahun di pasaran China. Tetapi baru dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia dalam penghujung tahun 2016. 

Kotak Mi Max AP set

Harga

Mi Max yang aku beli ini adalah AP set. Sebabnya kalau beli set rasmi Malaysia, harganya lebih tinggi daripada AP set. Xiaomi Malaysia meletakkan RM899 sebagai harga pasaran di Malaysia tetapi disebabkan stok yang kurang dengan permintaan yang banyak, terdapat juga penjual yang menjual pada harga RM999. Ada juga yang dijual pada harga Rm850. Jadi untuk MI Max 32GB ini harganya dalam lingkungan RM850-RM999. 

Set yang aku beli ini adalah versi Mi Max dengan 64GB storan dan 3GB RAM. Selain dari jumlah storan yang berbeza, cip pemprosesan juga berlainan iaitu Qualcomm MSM8976 Snapdragon 652 dibandingkan  dengan Snapdragon 650 untuk version 32GB. Versi ini tidak ada secara rasmi di Malaysia, jadi selain dari versi 32GB, versi Mi Max 64GB dan 128GB adalah AP set.

Harga untuk 64GB ini adalah dalam lingkungan RM900-RM1000. Harganya hampir sama seperti harga set rasmi 32GB. Tetapi untuk AP set, waranti adalah dengan kedai penjual bukannya dengan Xiaomi Malaysia. Jadi macam aku yang beli dengan Lazada ni, dalam erti kata lain, kena pandai-pandai sendirilah. Sebabnya kalau ada masalah, kedai jauh di Selangor. Sebab itu harganya lebih rendah daripada set Malaysia. 

Terdapat juga Mi Max 32GB yang di jual pada harga RM750-RM850. Tetapi ini biasanya untuk AP set. 

ROM

Kalau set Malaysia akan didatangkan dengan MIUI 8 Global ROM. Untuk AP set pula akan didatangkan dengan MIUI 8 China ROM sebab kebanyakkan AP set ini datangnya dari pasaran China. Tetapi untuk AP set ini bergantung juga dengan penjual. Ada penjual dah siap-siap flash ROM Global untuk set yang dijual seperti set yang aku beli ni. Jadi tak perlu pening-pening kepala nak flash ROM lain. 

Band 5

Antara sebab aku tukar handphone ini disebabkan aku sudah beralih ke telco Webe. Redmi Note 3G aku memang sah-sah tak support 4G jadi sebab kat rumah baru aku ni takde wired broadband (streamyx, Unifi dll) jadi aku mencari wireless broadband pulak. Alang-alang dah ada promosi, beralih juga aku ke webe setelah 13 tahun dengan Celcom.

Tetapi malangnya, tak semua handphone support 4G Webe ini sebab Webe pakai LTE Band 5 yang tidak digunakan di China. Jadi semua AP set takde Band 5 di unlock termasuklah set yang aku beli ini.

Untuk Malaysia, aku difahamkan ada set yang support dan ada set yang tak. Sebab kalau ikut laman rasmi Webe, hanya Redmi Note 3 sahaja yang "certified".

Jadi terpaksalah aku mengodek-godek lagi macam mana nak unlock tanpa root ini. Dan akhirnya berjaya juga. Kalau ada masa akan aku tulis dalam blog ini.

Selepas puas mencari jalan nak unlock

Perkakasan

Standard accessories 
Aku difahamkan untuk AP set ini, charger yang akan dapat adalah 2 pin macam aku punya ni. Untuk Malaysia set pula akan dapat standard 3-pin. Perkakasan lain adalah sama seperti buku manual, wayar USB dan pin untuk hybrid sim slot.

Pengalaman

Dah pakai screen protector dan body case
Setelah aku pakai Mi Max ini untuk beberapa hari, dari segi prestasi memang amat bagus, terbaik. Tak de nak tersekat-sekat. Kualiti kamera boleh diterima. Tak boleh komen sangat tentang kamera ini sebab dengan harga begini, tak boleh dibandingkan dengan handphone beribu ringgit.

Untuk skrin memang puas hati sebab besar. Aku memang banyak online dan membaca jadi skrin besar ini amat memudahkan dan selesa digunakan. Walaupun skrin yang besar, penggunaan bateri tidaklah membebankan sebab setelah digunakan berjam-jam, Mi Max ini hanya perlu dicas bila aku nak tidur sahaja. Itu pun ada lagi dalam 15-20%.

Tetapi saiz yang besar memang menyukarkan Mi Max ini dibawa kemana-mana. Saiz Mi Max ini muat-muat poket jadi bila duduk kena keluarkan dari poket sebab tak selesa. Penggunaan sebelah tangan juga agak sukar kalau tanpa body case sebab "all-metal body" bagi aku membuatkan Mi Max ini agak licin. Jadi takut jatuh kalau guna sebelah tangan. Aku syorkan kalau nak pakai Mi Max ini terus beli body case dan screen protector. Lepas guna screen protector dan body case baru selesa guna sebab rasa selamat sikit nak lasak. Aku difahamkan Mi Max ini juga berkemungkinan boleh bengkok sebab body metal dan besar, sama macam iPhone 6s.

Dah pakai baju

Kesimpulannya, aku memang puas hati guna Mi Max ini dan amat-amat syorkan kepada sesiapa yang tak kisah dengan saiz  Mi Max yang besar gelabak ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan