Selasa, 21 Mac 2017

Boyai Rotary Hammer


Bila masuk rumah baru ni, banyak perkara kena buat dan antaranya kena gantung kayu langsir, pasang kipas, gantung cermin dan gambar, gantung jam, buat pendawaian elektrik dan banyak lagi kerja-kerja lain yang memerlukan gerudi untuk menebuk lubang di dinding dan siling.


Sebelum ini aku ada beli gerudi impak dari Black & Decker. Beli di Giant kira-kira 10 tahun lepas tetapi mula nyawa-nyawa ikan dan rosak terus selepas terendam dalam banjir besar 2012 dulu. Jadi disebabkan tidak ada pilihan, aku pinjam Rotary Hammer dari kawan. Bosch GBH 2-24 DRE.

Bosch GBH 2-24 DRE

Bila guna gerudi Black & Decker, kalau nak tebuk dinding akan ambil masa yang agak lama. Kalau mata gerudi tumpul, akan memerlukan tenaga untuk menekan gerudi. Jadi kerap kena beli mata gerudi dan berpeluh-peluh nak tebuk lubang lebih-lebih lagi kalau melibatkan dinding konkrit. Tetapi bila aku pakai Rotary Hammer ni, berdesup tebuk. Memang cepat dan mudah.  Tetapi sebab dah pinjam barang orang, kena pulangkan. Kerja tak siap lagi. Jadi aku buat pilihan untuk beli Rotary Hammer sendiri.

Pada awalnya, hajat di hati nak beli model yang sama tetapi bila tengok harga lebih dari RM500, tak jadi nak beli Bosch. Kalau setakat untuk rumah sendiri dan projek DIY, rasanya tak perlu nak beli yang mahal-mahal. Amat jarang akan pakai gerudi ini. Jadi aku buat pilihan nak cari yang murah-murah sahaja.

Dari survey yang aku baca dalam forum-forum dan bertanya dengan taukey-taukey kedai hardware. Ada bermacam-macam jenis dan model Rotary Hammer buatan China ini seperti Weiss, Okatz dan DeWall (bukan DeWalt). Kesemua Rotary Hammer ini aku rasa memang tiru sebijik dari Bosch sebab rupa bentuk semua sama. Bezanya hanya pada kualiti buatan yang kalau dipegang rasa tidak sekukuh Bosch, Hitachi dan jenama-jenama terkenal yang lain. Jadi sudah tentulah harganya pun jauh lebih murah.

Selepas puas memikirkan dan dengan duit dalam poket yang cukup-cukup, aku pergi kedai Mr. DIY dan beli Rotary Hammer dari Boyai. Model Z1C-ZT3-26 dengan harga lebih kurang RM200. MR DIY beri jaminan 1 minggu sahaja. Tempoh jaminan yang pendek macam tak yakin dengan produk yang dijual. Tetapi sebab dah buat perbandingan dan memikirkan kegunaan dan keperluan gerudi ini, aku beli jugak. 


Boyai Rotary Hammer (Z1C-ZT3-26)

Kotak Gerudi

Hanya gerudi yang diberikan

Gerudi Boyai ini didatangkan dalam kotak gerudi khas seperti jenama-jenama yang lain. Dengan harga RM200, aku hanya dapat gerudi semata-mata. Tidak ada mata gerudi dan pahat. Jadi walaupun dibeli dengan harga yang murah, aku kena keluarkan sedikit duit untuk beli mata gerudi baru. Mata gerudi untuk Rotary Hammer ini berlainan dari yang lain jadi mata gerudi lama aku tak boleh digunakan. Jadi tambah lagi dalam RM20 untuk mata gerudi sais 6mm dan 8mm.

Ada mode yang berlainan
Bagi aku, buatan gerudi ini agak kukuh dibandingkan dengan gerudi bawah RM300 yang lain. Tidak jauh beza pengedalian gerudi ini dengan gerudi Bosch sebab rupa bentuknya yang sama. Prestasi juga hampir sama, amat memudahkan kerja gerudi. Setelah 2 bulan menggunakanya, aku amat berpuas hati. Dari menebuk dinding biasa dan konkrit hingga menebuk lubang di kayu, memang amat laju dan mudah. Yang lecehnya, gerudi ini berat.

Pada mulanya masih tak biasa nak pasang mata gerudi sebab cara pasangnya yang berbeza dari gerudi impak Black & Decker aku dulu. Tetapi selepas beberapa kali menggunakannya tak susah mana pun, cuma kena guna teknik yang betul. Mode yang ada juga memudahkan sebab boleh pilih mengikut kesesuaian kerja. Kebiasaanya mode gerudi biasa digunakan pada permulaan dan ditukarkan ke mode gerudi+tukul untuk terus tebuk ke dalam dinding. Jika terus menggunakan mode gerudi+tukul, boleh menyebabkan dinding pecah-pecah sebab kuasa hentaman gerudi ini amat mudah menyebabkan dinding pecah jika tidak dikendalikan dengan betul.

Sepanjang 2 bulan ini, banyak kerja-kerja yang telah aku buat dan gerudi Boyai ini banyak membantu. Aku amat mengsyorkan beli Rotay Hammer dibandingkan dengan gerudi impak biasa sebab ianya jauh berbeza dari segi kelajuan proses kerja dan prestasi. Dan jangan takut untuk membeli rotary hammer Boyai ini sebab walaupun harganya yang murah, ia dapat melakukan kerja dengan baik.

Nasihat dari seorang pemilik kedai hardware di sini, untuk memastikan gerudi ini tahan lama, jangan gunakan sais mata gerudi yang lebih besar dari pada saisyang dibenarkan. Kemungkinan sebab ini gerudi lama aku rosak sebelum ini.


9 ulasan:

  1. Untuk boyai ni saiz brape dibenarkan?

    BalasPadam
  2. Terima kasih info.sedang ushar model sama di mr diy

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya punya masih berfungsi dengan baik. Tapi guna untuk sendiri sahaja, jadi tak heavy usage. Fungsi hammer drill memang memudahkan proses drill. Memang berbeza berbanding drill biasa.

      Padam
  3. skrng masih ok lg ke bro boyai ni? cadang nk angkat satu lah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, masih digunakan. Memang berbaloi kalau setakat untuk rumah dan projek DIY.

      Padam
  4. Kebetulan tadi singgah ke DIY. Mamat DIy rekemenkan jugak model ni. Insyaallah besok saya nk beli jenama BOYAI ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Untuk kegunaan rumah, sesuai sangat. Saya punya masih berfungsi dengan baik. Memang banyak berjasa untuk 4 tahun lebih guna ni.

      Padam
  5. Terbaik ulasan.. mmg tgh survey rotary hammer yg murah & tahan utk kegunaan rumah shj..

    BalasPadam