Selasa, 20 Ogos 2019

Seterika Philips Amway dan Tip penggunaan


Setelah hampir 5 tahun digunakan, akhirnya seterika wap air berjenama Philips ni rosak. Lampu biru di pemegang berkelip-kelip tak berhenti-henti dan tiada wap air yang keluar. Kemungkinan masalah pada pam air. Jadi hari ni bawa seterika ni ke Pusat Amway di Jalan Air Putih. Tetapi atas nasihat orang Amway, lebih baik hantar sendiri terus ke pusat servis khas untuk mempercepatkan proses baiki. Sebabnya Amway sendiri tidak baiki seterika ini tetapi akan hantar ke pusat servis. Jadi akan ambil masa yang lama.

Lampu biru di pemegang tak berhenti berkelip

Jadi pusing balik masuk bandar ke Jalan Bukit Ubi. Mujur di atas jalan tak banyak kenderaan. Kejap je dah jumpa kedai. Pusat servis ni kedai kecik je. Sampai-sampai tak perlu nak terang apa-apa dah, technician/tauke kedai tu terus ambil seterika dan check satu-satu bahagian yang berkemungkinan rosak. Tak sampai 5 minit pun. Selepas check, memang betul la pam air rosak.

Sumber gambar dari Shopee. Jenama yang sama digunakan dalam Philips Steam Iron ni.

Lepas habis baiki tu, sempat juga tauke tu bagi "short course" kat aku ni pasal penjagaan seterika ni. Repair dalam 10 minit tapi dia punya penerangan dalam 10 minit jugak. Antara yang aku ingat:


  1. Guna air bertapis. Jangan guna terus air paip sebab takut ada keladak yang boleh membuatkan bahagian dalam cepat rosak. Ada ditunjukkan tangki air yang gunakan air paip, memang kotor.
  2. Jangan masukkan pewangi, pelembut pakaian atau apa-apa saja ke dalam tangki air (kecuali air bertapis).
  3. Cuci seminggu sekali dengan memasukkan air melalui lubang De-Calc. Goncang beberapa kali sebelum keluarkan air yang dimasukkan tadi.
  4. Kadang-kadang ada permukaan seterika yang tak licin lagi. Boleh gunakan lilin khas yang dijual (RM38) untuk digosok di permukaan seterika.
  5. Kalau seterika dimasuki semut dan lubang wap tersumbat, isikan tangki air dengan 2-3 cm air. Hidupkan seterika sehingga wap air keluar. Baringkan tangki air ke sebelah kiri (hos penyambung dari tangki ke pemegang akan berada di sebelah bawah) dan tekan suis di pemegang sehingga air panas keluar melalui lubang-lubang di seterika. Yang ni kena lakukan di sinki sebab banyak air akan keluar.
  6. Di tangki ada butang Eco untuk mode jimat letrik. Selain tu Mod Eco ini jugak mengurangkan kepanasan menjadikan 70% daripada biasa. Jadi kalau nak guna kepanasan yang kurang, boleh gunakan mod ini.
  7. Di pemegang seterika ada butang untuk melepaskan wap air. Biasanya bila nak gosok akan tekan butang ni dan wap air akan keluar. Untuk memastikan wap air ini sentiasa keluar, tekan butang tu 2 kali dan tunggu sebentar. Wap air angin akan keluar sendiri tanpa kita perlu menekannya. Untuk berhenti, tekan butang sekali lagi.


Kali ini aku tak dapat nak baiki sendiri sebab harga sparepart pun dah sama harga dengan kedai. Di Shopee harga pam air tu RM178, kat kedai ni harga baiki RM180 (jumlah baiki termasuk harga sparepart) .

Sesiapa yang ada peralatan letrik jenama dalam gambar, boleh hantar ke kedai ni.

p/s: Sesiapa nak beli seterika camni boleh contact aku. Yang baru lebih mudah untuk di servis dan ada beberapa lagi ciri tambahan.