Memaparkan catatan dengan label heart rate. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label heart rate. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Oktober 2017

Amazfit Pace Smartwatch Review

Sudah lama tak beli gadget baru. Kali terakhir bulan Februari lepas. Kali ini dah terbeli sebuah jam pintar keluaran Huami. Huami ni adalah sebuah syarikat yang ditaja oleh Xioami. Mi Band dan Mi Scale yang aku beli sebelum ini juga adalah hasil keluaran dari syarikat Huami ini.

Sebenarnya Amazfit Pace ini telah diperkenalkan sejak Ogos 2016 lagi tetapi hanya mula dibawa masuk ke dalam pasaran Malaysia di penghujung September 2017 dengan harga RM629. Sebelum itu, pembeli boleh sahaja mendapatkan Amazfit Pace ini melalui online shop seperti Lazada dan Shopee dengan harga sekitar RM450-RM550 tetapi kebiasaannya tanpa waranti atau waranti kedai sahaja.

Aku masih pakai Mi Max yang skrin besar gedabak 6 inci ini.  Handphone ini amat sukar untuk di bawa ke workout dan berlari. Nak cari pouch yang sesuai pun susah. Jadi aku mula tercari-cari wearable yang sesuai. Nak beli Garmin, harga macam tak masuk akal sikit jadi masa tercari-cari tu terjumpa artikel berkenaan Amazfit Pace. Tetapi masa tu jam ni tidak dibawa masuk ke Malaysia oleh sesiapa pun. Kena beli secara terus dari China.

Baru-baru ni dapat tahu ada kedai di Kuantan yang jual Amazfit Pace dengan waranti satu tahun dari Xiaomi Malaysia. Jadi lepas fikir dua-tiga kali, terus beli. Lama dah tunggu...

Reka bentuk

Amazfit Pace dalam kotak
Bagi aku reka bentuk Amazfit Pace ini memang cun. Saiz jam ni memang sesuai dengan tangan aku dan talinya memang selesa dipakai. Masa aku nak beli ni, terdapat 2 warna tali (hitam dan merah) . Kalau merah nampak macam terlalu garang jadi aku beli yang hitam.
Paparan di waktu malam
Paparan di bawah cahaya matahari
Mengikut spesifikasi, Amazfit ini dilengkapi dengan paparan 1.34 inci dengan 300 x 320 pixel "transflective colour LCD Display". Skrin ini dilindungi dengan Gorilla Glass untuk tahan calar. Yang menarik tentang "transflective display" ini, dibawah cahaya matahari atau kawasan cerah, memang paparannya sangat jelas. Jadi memang sesuai untuk aktiviti luar.
Tali Amazfit Pace yang diperbuat daripada getah ini juga selesa dipakai dan senang dikenakan. Yang menariknya tali ini mudah ditukar dengan tali jam yang lain sebab menggunakan tali jam bersaiz 22m dan mempunyai "release lock". Jadi kalau rasa nak bergaya sedikit boleh gunakan tali jam yang lain yang mudah didapati di keda-kedai online. Dari segi saiz, jam ni sama besar dengan jam-jam yang lain tetapi sebab aku dah lama pakai Mi Band 2 yang besaiz kecil, terasa juga perbezaan dari segi berat dan saiznya.

GPS

Sebab utama beli jam ini adalah untuk kesan dan rakam jarak semasa berlari tanpa perlu membawa handphone, jadi fungsi ini amat penting. Ceh.. macamlah aku ni selalu lari sangat. Tak laju pun.  Jangan kecam, suka-suka jer lari ni.

Pada Sabtu lepas, aku telah mencuba fungsi GPS ini pada larian malam Hari Sukan Negara 2017. Semasa larian, aku telah hidupkan GPS di telefon bimbit dengan aplikasi Strava dan menggunakan mode Run di Amazfit Pace. Mode Run ini akan rekodkan GPS dan juga degupan jantung secara terus-menerus. 
Kanan GPS dari telefon bimbit, Kiri GPS dari Amazfit Pace
Terdapat perbezaan 100m antara GPS di telefon dan juga Amazfit Pace. Kemungkinan perbezaan ini disebabkan aku hidupkan Strava lebih awal daripada Amazfit dan tutup Strava lebih lewat daripada Amazfit Pace.

Aku juga ada buat perbandingan dengan menggunakan odometer kereta. Juga terdapat perbezaan antara 90-100 m antara Amazfit Pace dan odometer kereta. Untuk jarak 2km menggunakan kereta, Amazfit Pace hanya kesan 1.9km sahaja.
Kedua-dua ini hasil daripada data yang sama tetapi berlainan aplikasi.
Selain itu terdapat juga perbezaan bacaan antara Amazfit Pace dengan bacaan di aplikasi Strava setelah data sync. Kemungkinan setiap aplikasi menaksirkan data GPS dengan cara berbeza.

Aplikasi Amazfit Watch dan Strava

Aplikasi Amazfit Watch
Aplikasi Amazfit Watch adalah hampir sama dengan Mi Fit (Activities). Kedua-dua aplikasi ini ada tab Route, Details, Pace dan Chart. Jadi aku hairan kenapa Amazfit Pace tak boleh gunakan saja aplikasi Mi Fit? Senang satu app je... 

Di dalam aplikasi Amazfit Watch, terdapat fungsi untuk sync data kepada aplikasi Strava. Setakat ini hanya Strava sahaja yang ada. Walaupun dalam aplikasi Amazfit Watch ada paparan untuk semua maklumat yang diperlukan,  pilihan untuk sync ke Strava amat dialu-alukan.
Data Sync untuk Strava sahaja
Sebelum ini aku guna Endomondo sebab dah beli yang versi Pro, jadi untuk Amazfit ini terpaksalah aku beralih ke Strava. Kekurangan Strava ini tidak dapat sync bacaan heart rate. Kemungkinan kena langgan servis Strava dahulu baru dapat. Agak mengecewakan di sini, harap-harap lepas ini dapat sync ke Endomondo. 
Amazfit Watch dan Strava
Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, terdapat perbezaan cara taksiran data GPS jadi terdapat perbezaan bacaan akhir antara dua aplikasi ini. Kedua-dua bacaan ini hasil daripada data GPS yang sama tetapi terdapat perbezaan bacaan.

Bateri

Jumlah jam sekiranya "Sport Mode" digunakan
Untuk cas pertama, Amazing Pace mengambil masa lebih 4 hari (hampir 5 hari) dari 100% ke 8% sebelum aku perlu mengecas semula. Dalam masa 4 hari ini, 3-4 jam dalam mode Run (GPS dan heart rate dihidupkan) dan terdapat 8 jam dengan mood continous heart rate dihidupkan. Selain daripada itu Amazfit Pace ini digunakan seperti biasa dengan kadang-kadang mencuba beberapa fungsi yang ada. 
Fungsi "Continous HR" dihidupkan
Kemudian, untuk cas kedua aku hidupkan fungsi "Continous Heart Rate" sepanjang masa. Bermula dari habis cas sehingga bateri tinggal 10%, jam ini dapat bertahan sehingga 4 hari. Kemudian fungsi "continuous heart rate" akan termati dengan sendirinya. Jadi fungsi ini sebenarnya tidak banyak menggunakan bateri. Dalam masa 4 hari tu aku tak berlari jadi mode Run yang menggunakan GPS tidak dihidupkan. Tetapi fungsi "continous heart rate" yang sentiasa diaktifkan dan dapat bertahan sehingga 4 hari, memang tahan bateri Amazfit Pace ni.

Selamat untuk dikatakan setakat ini setiap kali cas Amazfit ini dapat bertahan lebih daripada 4 hari.

Setiap kali cas, ia mengambil masa 2 jam lebih untuk cas penuh (dari 4-5% ke 100%).

Kalau dibandingkan dengan Mi Band 2, memang bateri Amazfit Pace tidak tahan lama tetapi dengan fungsi GPS yang ada, ianya amat berbaloi.

Interaksi

Amazfit Pace ini adalah sebuah smartwatch jadi kalau tiada touchscreen memang tak sah. Tetapi skrin Amazfit Pace ini aku dapati kurang responsif. Biasa kena tekan dua-tiga kali untuk memastikan jam ini mendapat arahan yang diperlukan.
Butang di atas kanan
Antara kelemahan yang aku rasakan adalah apabila nak berinteraksi perlu menekan butang di bahagian tepi jam. Walaupun fungsi "Touch to wake" dihidupkan, aku masih gagal nak bangunkan Amazfit dengan menyentuh skrin. Setiap kali mesti kena tekan butang yang bagi aku sukar dicapai.

Jam Pintar

Dapat paparkan mesej lebih terperinci
Walaupun aku kurang menitik beratkan fungsi jam pintar ini, namun begitu Amazfit Pace boleh menujukkan notifikasi untuk SMS, Whatsapp, Panggilan Masuk dan beberapa notifikasi asas apabila disambungkan kepada handphone. Aku amat suka bila Amazfit ini dapat menunjukkan mesej yang aku dapat. Tidak seperti Mi Band 2 yang hanya memaparkan nama penghantaran SMS, Amazfit Pace juga dapat menunjukkan group whatsapp dan keseluruhan mesej yang dihantar (terhad untuk mesej yang pertama setiap group). Jadi kalau ada mesej what apps dari group yang penting, memang boleh baca terus dari jam.

Boleh mainkan music
Amazfit juga didatangkan dengan kapasiti storan 4GB dengan 2 GB masih kosong. Untuk 2GB ini boleh diisikan dengan MP3 dan dimainkan secara terus menggunakan Amazfit. Tetapi untuk bunyi, Amazfit Pace perlu sambungkan ke peranti Bluetooth seperti pembesar suara dan earphone.

Program "TrainingCenter"
Selain itu, Amazfit Pace juga didatangkan dengan program latihan larian yang dipanggil Training Center. Boleh pilih untuk Beginner, 5km, 10km, Half Marathon dan juga Marathon. Masih belum mencuba lagi fungsi ini.

Kesimpulan

Huami masih baru dalam pasaran wearable ini. Tetapi dengan harga yang ditawarkan, Amazfit ini amat-amat berbaloi dibeli sekiranya anda sedang mencari sport tracker dengan GPS dengan harga yang berpatutan. Kalau dibandingkan dengan jenama terkenal yang lain, dengan fungsi yang ada kemungkinan harganya melebihi RM1,000.

Setakat ini hanya Strava sahaja yang boleh di"sync"kan. Oleh kerana tidak ada data untuk heart rate apabila di"sync", ni satu kelemahan besar. Aku juga rasakan selain daripada Strava, data yang ada sepatutnya dapat dimuatnaik ke aplikasi Mi Fit. Antaramuka antara kedua-dua aplikasi ini memang sebijik sama. 

Ini sport tracker merangkap smartwatch pertama aku beli jadi sukar nak buat perbandingan. Namun begitu dari pengalaman menggunakan Garmin semasa kelas larian sebelum ini, Amazfit Pace ini lebih mudah digunakan. Maklumat seperti Pace, Jarak, Heart Rate dan masa dapat dilihat sekali imbas. Cuma satu kelemahan yang ketara apabila kena menekan butang untuk mengakses skrin. 

Namun begitu, aku rasa dengan harga yang ditawarkan memang amat berbaloi jam ini dibeli. Setakat ini memang puas hati. 

Selasa, 1 November 2016

Xiaomi Mi Band 2


Akhirnya dapat juga beli Mi Band 2 setelah mengalami 2 pengalaman yang kurang bagus sepanjang membeli secara atas talian ini. (Boleh baca pos-pos sebelum ini). Jadi apa yang best tentang Mi Band 2 ini?
Kotak (Mi Band 1, Mi Band 1s dan Mi Band 2)
Sebelum tu aku nak kongsi gambar kotak Mi Band 2. Manalah tahu ada yang tersilap beli macam aku sebelum ini. Kotak Mi Band 2 ini sama besar dengan kotak Mi band 1s. Bezanya yang aku dapat ni warna putih dan ada gambar Mi Band 2 dicetakkan di atas penutup kotak. Ada juga kotak Mi Band 2 yang sama seperti Mi Band 1s tetapi kemungkinan versi yang awal. Kandungan dalam pun sama sahaja dengan Mi Band yang lain. Ada mi band, tali dan wayar USB untuk cas. Wayar USB ini kepalanya lebih besar sebab sais Mi Band 2 lebih besar dari yang sebelumnya.
Mi Band 1, Mi Band 1s dan Mi Band 2
Charging cable (Mi Band 1s/Mi band 2)
Fungsi Mi Band 2 sama saja dengan Mi Band 1s:

Fungsi Heart Rate

Sama seperti Mi Band 1s, Mi Band 2 juga ada fungsi pengesan denyutan nadi. Untuk mendapatkan bacaan 'heart rate' ni, langkahnya sama seperti Mi Band 1s. Jadi bolehlah lawat link ini. Xiaomi Mi Band Pulse.

Tetapi dari pengalaman aku beberapa hari memakai Mi Band 2 ini, agak sukar untuk dapatkan bacaan 'heart rate' kalau tidak dipakai dengan betul. Sebelum ini aku pakai Mi Band 1s dengan cara biasa memakai jam, di mana 'sensor' di atas pergelangan tangan. Tetapi untuk Mi Band 2 ini, kadang-kala sukar untuk mendapatkan bacaan apabila dipakaikan begitu.
Kadang-kadang dapat bacaan
Pakai dibawah pergelangan tangan
Sebelum ini aku ada menggunakan aplikasi Mi Band Tools untuk mendapatkan 'continous heart rate reading'. Setiap 1 minit akan ambil bacaan. Untuk Mi Band 1s, bagi setiap 60 minit, kemungkinan tidak dapat bacaan adalah 2-3 kali sahaja. Tetapi untuk Mi Band 2 ini, jadi terbalik pula, kebarangkalian untuk mendapatkan bacaan hanya 2-3 kali sahaja. Kalau dipakai di bahagian bawah pergelangan tangan (bahagian cerah), ia akan berfungsi dengan baik seperti Mi band 1s.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah masalah besar sebab aku tak perlu selalu ambil bacaan 'heart rate' ini pun. Kebiasaannya digunakan hanya bila bersenam, berlari ataupun membuat aktiviti berat yang membuatkan jantung aku berkerja lebih. Jadi untuk masa-masa begini, aku akan pakai di bawah pergelangan tangan.

Dari segi ketetapan (accuracy) bacaan, dalam keadaan rehat kebiasaannya bacaannya hampir sama (ralat 1-5) dengan bacaan nadi yang diambil secara manual (meletakkan jari di pergelangan tangan dan kira nadi dalam 1 minit). Untuk dalam keadaan aktivit berat, aku tak dapat buat perbandingan dengan cara manual sebab bila nak ukur saja, heart rate dah jauh turun. Teringin sekali nak buat perbandingan dengan jam tangan berjenama lain seperti Garmin dan Suunto.

Pedometer

Pengesan untuk Mi Band 2 ini mengikut kata Xiaomi telah ditambah-baik dan aku memang setuju. Bermula dari Mi Band 1 yang terlalu banyak ralat langkah yang diambil, Mi Band 2 ini dapat membezakan sama ada kita sedang berjalan atau sedang duduk. Sebelum ini, walaupun aku sedang duduk, tetap ada pengiraan langkah disebabkan berlaku pergerakkan tangan sewaktu berkerja. Dengan Mi Band 2 ini, pengesan akan mengesan sekiranya aku dalam keadaan duduk diam atau tidak. Sebagai contoh: kalau aku duduk selama 1 jam di depan komputer, Mi Band 2 akan bergetar dan suruh aku bangun dan berjalan sedikit. Dalam masa duduk ini, tidak ada kiraan langkah.
Sebelum ini sekejap saja untuk capai 6000 langkah

Sleep tracker

Fungsi ini juga telah ditambah-baik walaupun aku tidak ada masalah dengan Mi Band lain sebelum ini. Dengan Mi Band 2, pengguna diberi pilihan untuk menghidupkan fungsi "Heart rate sleep assistant". Dengan fungsi ini, bila Mi Band mengesan pengguna sedang tidur, secara automatik setiap 10 minit bacaan 'heart rate' akan diambil. Mengikut penerangan Xiaomi, bacaan waktu ketika tidur akan lebih tepat dengan cara ini. Aku tak tahulah di mana kebenarannya tetapi setakat ini, waktu aku tidur dan waktu aku bangun memang sama dengan apa yang dicatatkan.
Tidur agak lewat

Jam tangan

Bermula dari Mi Band 1, memang aku sangat-sangat mengharapkan ada fungsi jam. Sebabnya amat sukar bila kena pakai 2 benda di tangan. Lepas pakai jam, kena sarung Mi Band pula. Jadi dengan adanya fungsi jam ini, memang amat memudahkan. Tak perlu nak pakai jam dah.

Untuk fungsi jam ini, pada kebiasaannya skrin OLED akan terpadam untuk menjimatkan bateri. Tetapi apabila tangan diangkatkan ke posisi biasa untuk melihat jam, skrin OLED ini secara automatik akan tunjukkan masa. Superb... tak perlu nak tekan butang apa-apa pun.

Fungsi terbaik
Boleh tukar format

Fungsi lain

Paparan lain

Selain daripada fungsi jam, Mi Band ini juga boleh memaparkan beberapa maklumat yang lain. Contohnya baki bateri. Tetapi aku suka set 3 saja jadi tak perlu tekan butang banyak kali kalau nak 'check' apa-apa.

Fungsi lain
Mi Band 2 juga boleh disetkan untuk beberapa perkara lain seperti jam loceng (alarm), SMS/panggilan masuk dan paparan apabila terdapat maklumat baru dari Whatsapp, facebook dan aplikasi-aplikasi lain yang boleh disetkan di 'handphone'.

Bateri

Kalau Mi Band 1 boleh tahan sehingga 1 bulan dan Mi Band 1s sehingga 20 hari, untuk Mi Band 2 ini dengan paparan OLED hanya mampu bertahan seminggu sahaja. Itu pun sebab aku dalam tempoh eksperimentasi. Kejap-kejap aku check 'heart rate', kejap-kejap 'Step'. Lepas tu hidupkan fungsi 'continous heart rate' sampai separuh hari. Perlu diingatkan, "Continous heart rate" sebenarnya adalah "interval reading" tetapi kekerapan tinggi. Boleh guna fungsi hanya dengan 3rd party app.

Kesimpulan

Aku memang puas hati dengan Mi Band 2 ini. Kena dengan harganya. Kemungkinan kalau ada GPS memang lagi 'awesome'. Tapi pastinya harga akan melambung tinggi. Untuk permulaan, Mi Band 2 ini memang amat sesuai digunakan. Fungsi jam memang amat dialu-alukan.

Dalam pos lain aku akan terangkan cara nak gunakan Mi Band 1s dan Mi Band 2 dengan aplikasi Endomondo.