Memaparkan catatan dengan label larian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label larian. Papar semua catatan

Isnin, 24 Julai 2017

Uda Pekan Bridge Run 2017


Khamis, 20hb Julai. 2 hari sebelum kejadian. Aku gi ambil sendiri baju dan bib. Tak rancang pun nak ambil sendiri. Tetapi disebabkan aku mendaftar manual je, aku tak dapat slip apa-apa pun. Yang ada hanya confirmation email sahaja. Tak yakin pulak nak minta orang lain ambilkan takut tak dapat. Jadi tengahari tu kebetulan ada masa terluang jadi jam 12:30 dah bersiap nak gi Pekan. Tapi ntah macam mana ada hal pulak, sampai-sampai dah jam 2 petang di Pekan. Nasib baik tak ramai orang. Dalam masa 10 minit dah dapat baju, tapi terlupa pulak ambil pin yang ada atas meja tu. Kejar masa punya pasal.

Baju Larian, memang diorang suka warna terang kut
22hb Julai 2017. Sabtu. Hari kejadian. Jam 4.30 dah bangun nak bersiap-siap. Memang rasa mengatuk sangat sebab tak boleh nak tidur. Bukan sebab gabra tapi bila set nak bangun awal ni takut tak terbangun pulak. Lepas mandi dan minum oat sikit jam 5.20 pagi baru bertolak. Sampai Pekan dah dekat 6 pagi. Solat subuh di tempat parking kereta jer. Ada ramai jugak yang tumpang solat di situ jadi tak rasa kekok la nak solat. Sejadah dah siap awal-awal dalam kereta.

Sebelum Flag Off
Sempat buat warm-up sikit sambil cari Botak. Tapi tak nampak pulak mana dia pergi. Di tempat flag off baru jumpa.

Tepat jam 6.20 pagi, flag off (nasib baik takde senamrobik). Pergh.... semuanya lari laju masa ni. Aku yang biasa lari perlahan ni memang terikut-ikut sikit dengan pace diorang tapi baru sampai 500m aku tak larat nak ikut lagipun takut pancit awal. Sampai km ke-2 aku dah jadi antara yang di belakang. Memang masa ni rasa down jugak sebab kena tinggal sampai satu tahap kaki aku sakit rasa macam nak krem. Baru 2km dah rasa nak krem, memang mental betul. Tapi aku terus juga lari walaupun perlahan. 'Pace' masih di bawah 10 min/km lagi. Agak seksa juga lari bila rasa kaki sakit dan mental pulak tengah down. Masa ni rasa bernasib baik sebab biasa buat 3km dan 6km masa latihan jadi walaupun mental dah down tapi badan masih boleh nak maintain slow jog lagi.

Peta Larian
Masuk km ke-5, sakit kaki hilang. Jadi aku percepatkan 'pace' sikit nak kejar pelari di depan. Jauh jugak kena tinggal. Dalam 500m jugak. Tapi perlahan-lahan aku maintain pace. Sampai di jambatan baru dapat pintas 2 orang, couple tengah sibuk nak berselfie. Kemudian pintas sorang lagi. Masa ni baru ada semangat nak lari. Lepas tu aku cuba target orang yang di depan aku, sorang-sorang aku pintas. Tapi disebabkan pada awalnya memang aku dah tertinggal jauh jadi tak ramai yang aku dapat pintas. Dalam 10-15 pelari sahaja.

Sampai km ke-13, kena buat u-turn. Masa ni kalau ikut plan aku nak jalan saja sebab dah capai target 13km bawah 2 jam. Tapi rasa rugi pulak. Lagipun bila aku berhenti sahaja kaki rasa sakit. Jadi aku gagahkan diri lari perlahan dari 1km ke 1km lain sehingga lepas tahap 17km. Setiap water station aku akan berhenti untuk minum air. Takut dehydration, maklumlah tak pernah masuk event 21km ni.

Masa larian
Dalam tahap 17km ni kena lalu di sebelah jambatan. Menaik sikit jalan dia. Betul-betul depan Ancasa Royale. Kemudian ada simpang 4 yang dah mula ada banyak kenderaan, dah lebih 8 pagi masa ni. Jadi aku berhenti tunggu kereta nak lalu. Bila berhenti ni, tak sangka pulak sakit kaki yang tadi dah hilang datang balik. Nak terus jalan ada kereta jadi bila dah lama berdiri tu, mula rasa penat. Yang ini aku rasa memang sebab mental lemah betul. Lebih-lebih lagi ada 3km sahaja nak habiskan, aku pun pilih untuk berjalan-jalan saja. Jadi bermula dari depan Ancasa Royale sampai habis aku hanya berjalan santai sambil berselfie.

Selfie pertama masa lari

Last Water Station
Di Water Station terakhir ni aku saja nak selfie kenangan. Lepas habis lari baru perasan dalam gambar ada pasangan Rashidi-Vanida Imran. Aku sebenarnya tak perasan langsung ada diorang ni sebab memang fokus nak habis lari jer. Nampak jugak ada orang tahan nak selfie dengan diorang tapi memang aku tak cam langsung sebab sepanjang masa diorang ada di belakang. Dah jalan-jalan santai ni pun masih tak perasan lagi. Mula dari sini mereka dapat pintas aku dan terus menghabiskan larian. Aku mula tahu pun lepas ada runner yang sama-sama jalan santai beborak pasal artis yang lari bersama. Lepas dia tunjuk kat depan tu Rashidi, barulah aku tahu. Melepas nak berselfie...  Nak kejar memang dah tak larat dah. Padahal masa di depan pintu masuk istana ada nampak diorang berselfie tapi masa tu diorang kat belakang, tak larat nak pusing.


Last 1km
Nasib baik juga aku banyak bergambar kali ni sebab jurugambar yang terpilih tak memilih aku untuk bergambar untuk kali ini. Tahun lepas ada jugak 2-3 keping. Kali ini langsung takde. Sebab masa sampai di garisan penamat, Dato' Sri Najib dah sampai jadi semua jurugambar dah berlari ke pentas. Ceh.....

Habis pun
Last 1km ingat ke nak lari tapi tak dapat dah. Jadi berjalan sajalah. Akhirnya habis dengan cacatan masa 3 jam 10 minit. Orang yang ke 151, kat belakang aku ada 10-15 orang je lagi. Ramai yang aku pintas masa mula-mula tu dapat kejar aku masa 3km terakhir tu. Jadilah..... lepas ni kena berlatih lebih sikit.

Larian tak konsisten
Sedih bila Endomondo dan Strava terpadam masa larian. Endomondo terpadam semasa u-turn di 13km, Strava pulak terus terpadam. Nasib baik Mi Fit masih maintain.

Keputusan rasmi yang tak memberangsangkan
Kalau yang biasa lari memang gelak jerla tengok result aku ni. Tapi nak buat camna, ni jer tahap aku sekarang ni. Kalau nak dibandingkan dengan tahun lepas, aku masih berpuas hati sebab dapat habiskan 21km ni. Lagipun memang budget kalau boleh setiap km bawah 10min/km jer. Tak target nak cepat mana pun. Pace artis ni, jangan main-main. Bukan pace atlet la...

Tak tipu, betul diorang ada
Gambar selfie ngan diorang takde, tapi ni result diorang. 3 minit depan aku. Gara-gara aku bersantai terlebih-lebih. Tapi kalau tak kerana ada brother tu yang tunjuk kat aku, sampai sudah aku tak tahu ada diorang ni.

Kesimpulannya, nak lari 21km ni bukan boleh latihan sekali jer. Mungkin 2 bulan sebelum dah mula buat setiap minggu larian penuh. Makan pun kena jaga jugak. Kalau ikut pace aku ni memang dah masuk kategori berjalan dah. Untuk masuk Full Marathon kemungkinan ambil masa lagi 2-3 tahun kalau ikut disiplin aku sekarang. Memang tahun ni aku kurang senaman. Bodyweight pun ketinggalan sekarang. Harap-harap dengan 21km ni naik balik semangat.

#udapekanbridgerun2017
#21km
#road2marathon
#larianpaceartist

Isnin, 17 Julai 2017

Pre-Uda Pekan Bridge Run 2017



Sudah lama tak masuk apa-apa running event. Terakhir sekali larian Sarapan Pagi Milo. Itupun hanya santai-santai sahaja dengan anak-anak. Bila Uda umum nak buat sekali lagi Uda Pekan Bridge Run, terasa berminat pulak nak masuk. Kalau tahun lepas masuk acara 10km, kali ini nak cuba untuk 21km, Half-Marathon.

Kali terakhir buat larian jarak jauh ini adalah semasa kelas akhir dengan Allison Yee pada Februari lepas. Larian dari Sukpa - Kota SAS - IIUM - Sukpa. Yang lain buat Sukpa - Kota SAS - Sukpa tetapi disebabkan aku buat u-turn awal untuk solat subuh, aku buat tambahan lari dalam IIUM sebelum ke Sukpa semula. Larian biasa saja dengan 'pace' yang perlahan dan merupakan cubaan kedua aku belari melebihi 10km. Yang pertama tahun lepas, tapi lutut rasa sakit seminggu. Terus tak cuba dah sampai kelas Allison Yee tu. Jadi bila aku daftar untuk larian 21km Uda ni, aku sebenarnya memang tak fikir panjang pun. Terus nekad nak daftar. Pagi tu dalam group Whatsapp Freeletics Pahang ada sebut Uda buka kaunter pendaftaran di Widad UC, jadi tengahari tu aku terus daftar. Memang tak fikir apa-apa dah.  Nak lari tu belakang kira.

Larian Februari lepas

Kemudian tak fikir dah pasal Uda Pekan Bridge Run ni. Sampailah minggu lepas baru mula latihan. Latihan biasa sahaja, lari 3km dan 6km di sekeliling kawasan perumahan. Seminggu dalam 2-3 kali sahaja. Tetapi terfikir jugak dengan 3km dan 6km ni boleh ke nak habiskan 21km nanti? Lagipun mengikut kata Habib, kena buat latihan 80% dari jarak larian. Benda yang tak pernah buat, mana boleh nak bantai lari macam tu jer. Jadi pada 15 Julai, aku cuba nak lari lebih daripada 15km.

Pagi-pagi dah bangun. Jam 6.20 pagi aku mula lari. Larian solo sahaja sebab 'pace' aku tak sama dengan orang lain, teramat perlahan. Boleh masuk kategori orang berjalan. Takut buat orang tak puas hati pulak kena menunggu. Jadi berlarilah aku sorang-sorang di pagi hari yang gelap dan sejuk dari Sukpa ke Kota SAS.

Mula-mula memang okay jer sebab baru mula dan banyak menurun bukit. Jadi dapat kekal 'pace' bawah 8 minit/km. Tetapi habis sahaja turun bukit terus jatuh bawah 9 minit/km. Sampai penghujung jalan aku berehat sebentar dan buat u-turn pusing balik. Masa ni baru lepas naik bukit yang landai. Landai-landai pun penat juga bila dah lari jauh. Jadi larian balik ni aku banyak berhenti-henti. Berlari sikit lepas tu jalan, berlari lagi..jalan sampailah dalam 200m selepas daripada pondok pengawal, terus aku jalan saja. Pergh... tengok gaya macam tak percaya nak buat 21km. Baru 12km aku dah penat. Memang penat, jari kaki pun mula melecet. Jadi aku plan dengan keadaan sekarang ni untuk 21km nanti kalau sampai 12-13 km nak jalan sahaja yang selebihnya. Harap-haraplah tak sampai 'cut-of-time'.


Sampai kemuncak bukit, baru boleh lari sikit-sikit sampai lari satu pusingan di Taman Bandar dan balik ke Sukpa. Habis jugak larian percubaan ni. Jumlah jarak larian 17.71km. Kena lari lebih kurang lagi 3km untuk 21km. Oklah tu....

Pagi-pagi jalan lengang

Kalau tengok daripada larian percubaan ini, aku rasa tak yakin nak habiskan 21km sebab terasa penat sangat masa lari. Jari kaki pun melecet-lecet. Jadi memang rasa kurang yakin nak lari untuk Uda Pekan Bridge Run nanti. Tetapi sebab dah daftar, memang kena jugak la lari.

Bacaan Strava 21.1 km

Bacaan Mi Fit 17.25 km

Semasa larian percubaan ini, aku bawak 2 phone. Satu Mi Max dan satu lagi phone Yes. Disebabkan Mi Max ni besar dan berat, aku nak cuba guna phone Yes yang lebih kecil dan ringan semasa larian 21km nanti. Mi Max aku buka Mi Fit dan Endomondo dan Yes tu aku buka Strava. Ikut bacaan Strava aku dah lari 21.1km dan ikut Mi Fit dan Endomondo aku dah lari baru 17km. Jadi disebabkan tu tak jadi nak bawak phone Yes. Bacaan GPS jauh berbeza dengan jarak sebenar. 

Isnin, 24 April 2017

Larian Sarapan Pagi Milo

Larian Milo 3km

Ni larian (lebih kepada jalan) dengan anak-anak. 

Dapat 4 helai t-shirt

Pendaftaran RM60 saja untuk berkumpulan. Memang murah sebab dapat 4 helai t-shirt. Running pack tak dapat masa pendaftaran.

Sebelum lari
Puas pujuk anak-anak ikut. Disebabkan ada baju Milo, semangat nak lari. Yang kecik bertolak dengan stroller.

Semua dapat pingat
Acara larian pertama bersama anak-anak. Semua dapat pingat termasuk yang tak berlari tu. Goodies bag memang mewah, ada tin air milo, buku nota, Maggi oat, serbuk Milo 250gm dan pingat. Berbaloi la bayar RM60 tu.

Tapi anak-anak kecuali yang kecik kata tak nak ikut dah. Penat..ha..ha..

#lariansarapanpagimilo

Isnin, 5 Disember 2016

Garmin Running Clinic (Kuantan) with Allison Yee - 2nd


Kelas ke-2.

Tak banyak tip kali ini sebab trail bukit. Bila tak biasa training naik bukit ni, memang terasa sakit kaki walaupun hanya 4km. Walaupun banyak berhenti, tetapi sebab dah lama berehat aku cepat rasa penat.

Forerunner 235

Kali ini aku dapat cuba Garmin Forerunner 235 ada masa nak cuba betul-betul jam ini sebab masuk trail lambat sikit.

Skrin jam ini memang ok tapi bukan touch screen. Seperti Garmin Forerunner 980XT sebelum ini, mula-mula aku rasa agak sukar nak guna jam ini tetapi lepas lebih 10 minit, ok dah. Dibandingkan dengan Forerunner 980XT, Forerunner 235 ada fungsi heart rate. Jadi aku berkesempatan bandingkan fungsi heart rate Forerunner 235 dengan Mi Band 2.

Forerunner 235 vs Mi Band 2

Secara kesuluruhannya bacaan Mi Band kurang 20-30 daripada Forerunner 235. Memang banyak perbezaan. Jadi yang mana lebih tepat? Setelah kira secara manual, heart rate aku ketika waktu rehat (berdiri dan sedikit pergerakan) adalah dalam 70-80. Mi Band 2 mendapat bacaan dalam 70-75 dan Garmin Forerunner 235 mendapat bacaan 70-75 juga. Tetapi ketika berlari dan aktif, terdapat jauh perbezaan bacaan. Dalam keadaan ini aku tak dapat nak kira secara manual jadi tak tahu bacaan mana yang tepat. Untuk Mi Band 2, ketika aktif mendapat bacaan 110-140 dan untuk Garmin Forerunner 235 mendapat bacaan 130-170. Jadi tak pasti mana yang tepat.

Dari segi pengesan pula, Forerunner 235 lebih mudah mengesan heart rate daripada Mi Band 2. Sebelum ini aku ada terangkan Mi Band 2 ini menghadapi masalah untuk mendapatkan bacaan heart rate. Untuk Forerunner 235, tiada masalah untuk mengesan walaupun tengah berlari dan tangan berpeluh.

Dari segi harga memang seperti langit dan bumi. Mi Band 2 harga biasa adalah RM125 dibandingkan Garmin Forerunner 235 iaitu RM1,550. Tetapi fungsi GPS memang memudahkan aku untuk rekod jarak larian. Tidak perlu bawa handphone. Jadi my next wishlist, Xiami masukkan GPS pulak dalam Mi Band. Sebelum ini harap ada skrin, dah jadi kenyataan.

Harap-harap kelas seterusnya aku dapat cuba Fenix pulak.

#garminmalaysiarunningclinic2016

Jumaat, 4 November 2016

Garmin Running Clinic (Kuantan) with Allison Yee - 1st


Rasa macam baru sahaja masuk KOSRUN2016. Tak sampai 2 bulan. Jadi pengalaman masih baru dan gaya larian pun rasa macam ke laut. Cepat penat dan tak boleh pergi jauh. Jadi kebetulan dari group Whatsapp Freeletics Pahang dapat tahu ada kelas larian yang dikelolakan oleh Garmin Malaysia aku pun cuba daftar. Bayaran murah sahaja, RM22 untuk 3 kelas. Jurulatih untuk klinik ini ialah Allison Yee.

Allison Yee

Allison Yee ini ialah seorang atlit larian jarak jauh yang dibiayai oleh Garmin Malaysia. Pelajar UPM, jurusan Wood Tech. Muda lagi baru 20 tahun. Masa Uda Bridge Run 2016 baru-baru ini, beliau memenangi tempat pertama kategori wanita. Memang laju Allison Yee berlari, hampir sama dengan pelari lelaki Kenya yang ikut serta bertanding dalam Uda Bridge Run tu. Kecil molek, tapi laju...

Okay, pada 7.30 malam 2hb November 2016 lepas, bertempat di KotaSAS Kuantan, aku ikut serta klinik pertama yang diketuai oleh Allison Yee. Sampai-sampai di KotaSAS, sudah ramai yang sudah ada. Terdapat lebih kurang 30 orang peserta dari pelbagai peringkat umur dan bangsa. Yang paling muda kemungkinan 19 tahun dan yang tua mungkin 50-an. Tapi hanya aku sorang lelaki Melayu yang ada. Hu..hu.. kawan-kawan lain tak berjaya nak daftar.

Setiap peserta diberi pinjam seutas jam tangan Garmin. Ada pelbagai model dan yang aku dapat adalah Garmin Forerunner 910XT. Agak besar juga jam ini dan rasa kukuh. Tetapi sebab ruang masa yang terhad, aku tak dapat nak cuba fungsi lain jam selain 'stop watch" dan "pace". Agak sukar jugak nak guna sebab tak biasa. Sebenarnya aku 'target' untuk cuba Garmin Forerunner 225 atau 235. Nak cuba bandingkan fungsi 'heart rate' jam dengan Mi Band 2.

Larian pemanas badan
Kemudian kelas dimulakan dengan lari-lari anak sejauh 0.5km. Larian menurun bukit untuk ke tempat latihan. Agak laju juga bagi aku.

Kemudian ada diajarkan 6 latihan larian:
  1. High Knee Run (lari dengan lutut diangkat tinggi ke depan setinggi yang mampu) 
  2. High Knee Kick Run (larian high knee dan menendang ke depan) 
  3. Kicking Hand (letak tangan dibelakang dan lari sambil kenakan tumit ke tapak tangan)
  4. Jump High Knee with Hand Swing (larian high knee tetapi seperti melompat dengan tangan juga dihayun tinggi) 
  5. Side Step (ni susah nak buat dan susah nak terangkan, macam menari tango pun ada, pemain bola biasa buat) 
  6. 20x Lunges Walk (ni geng-geng Freeletics Pahang mesti tahu) 

Semua latihan larian (kecuali no. 6) dibuat sejauh 20-30m.

Interval (pusingan ke-3 atau ke-4) kena tinggal dengan marker
Akhir sekali 6 kali larian pecut 150m. Aktiviti terakhir ni peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan dan setiap kumpulan ada 3 orang "marker". Para peserta perlu mengejar dan mengikut kelajuan "marker". Ada yang bawah 5 min/km, bawah 6 min/km dan atas 6 min/km.

Memang mencungap nak kejar. Pusingan pertama boleh lagi nak ikut, masuk yang ke-2 dah tak larat. Sampai yang ke-6 dah rasa kebas kaki. Sebabnya dah nama pun bawah 5 min/km, sekali marker pecut sampai bawah 2 min/km. Mencungap mengejar.

Pusingan ke-5, dah tertinggal jauh
Mengikut kata coach, interval ini memang kena paksa diri. Interval juga boleh buat untuk jarak ataupun masa. Boleh buat 1 minit : 1 minit, 2 minit : 1 minit ataupun 100m:100m. Kalau untuk 'endurance', kenalah kekalkan pace. Caranya? Di jam Garmin ada ditunjukkan bacaan 'pace', jadi cuba kekalkan mengikut bacaan tu. Selain itu kalau pakai aplikasi dalam handphone seperti Endomondo juga ada fungsi ini, cuma susah nak tengok handphone semasa berlari.

Ada beberapa tip lain tetapi aku kurang dengar sebab masa ni rasa macam kurang oksigen dah. Dengar tak dengar saja apa yang coach terangkan. Ini antara 'moment' yang buat aku fikir "Kenapalah buat benda ni?"

Warmin down
Acara wajib
Kelas berakhir dengan "warming down" dan sesi bergambar. 

Kesimpulannya, memang bagus kelas begini walaupun ada banyak soalan tentang teknik larian yang nak ditanya. Tetapi memandangkan kelas kali ini lebih fokus kepada pemanas badan, aku diamkan dulu. Semasa dipenghujung kelas ada berbual dengan Allison Yee tetapi masa tu memang aku sangat penat dan telinga pula berdengung. Terlalu penat dan sakit kaki.

Klinik seterunya pada 4hb Disember 2016 di Teluk Chempedak.

#garminmalaysiarunningclinic2016

Selasa, 25 Oktober 2016

Freeletics (Minggu #26)




Log Minggu #26

Tarikh
(Hari)
Jogging
 Workout
(Masa)
 24/10/2016
(Isnin)
2km Bukit Pelindung
(00:45:00) 
-
25/10/2016
(Selasa)
3.12 km
(00:21:51)
1 min jalan/ 1 min lari
-
26/10/2016
(Rabu)
-
-
27/10/2016
(Khamis)
-
-
28/10/2016
(Jumaat)
-
-
29/10/2016
(Sabtu)
 -
-
30/10/2016
(Ahad)
-
25 Burpees
(01:19)
10 Pistols
(00:32)
10 Pullups
(00:53)

Dah masuk minggu ke-2 tak buat workout apa-apa. Tapi senaman seperti pushups, pullups dan straigth leg ada buat tanpa aplikasi Freeletics. Lebih-lebih lagi bahu sakit. Orang kata salah bantal tapi dah masuk hari 3 bantal mana yang bersalah?

Berat badan masa weight in untuk IIUM Biggest Loser 2016 = 65.1kg. Tak banyak turun sebab kurang jaga makan. Dah la kurang bersenam, makan pun kurang berjaga. Nasib baik ada penurun 1kg dari bulan lepas.

#freeleticspahang
#freeleticskuantan
#freeleticsmalaysia
#aok2fitker

Selasa, 18 Oktober 2016

UDA Pekan Bridge Run 2016


Habis pun Uda Pekan Bridge Run 2016. Acara larian terakhir untuk bulan Oktober 2016. Target sebulan 1 acara sahaja. Jumlah jarak larian untuk kali ini, 8.88 km. Cantik nombor.

Kali ni memang takde training langsung, tetapi banyak berehat. Dari Rabu sampai ke Ahad tak buat workout apa-apa pun kecuali senaman ringan seperti pushups, squats dan pullups. Itu pun buat tanpa aplikasi Freeletics.

Yuran penyertaan untuk UDA Pekan Bridge Run 2016 ni hanya RM10. Dalam masa 2 hari sahaja dah tutup. Rasa rugi pulak tak masukkan nama anak-anak sekali. Boleh dapat baju cantik.

Sebab nak ke Pekan ambil 'race kit' agak jauh dan ada kekangan masa, terpaksa minta tolong Kak Nor dari geng Freeletics Pahang. Terima kasih banyak-banyak. Memang sporting habislah...

Warna "striking"

Pagi tu sebab terlewat bangun, agak lewat sampai ke Pekan. Bertolak dari rumah hampir jam 7 pagi dan sampai di Pekan jam 7.30, orang dah ramai. Tunggu sekejap, dalam jam 7.35 pagi ada senamrobik. Kali ni memang laju punya senamrobik dan agak-agak lembut sikit.... memang kekok nak buat. Jadi buat jer la yang termampu..ha..ha...


Flag off 8:05 pagi. Matahari dah terik.
Photo credit to ActionPix Malaysia
Jumlah penyertaan lebih 1000 (mengikut kata penganjur). Jadi memang ramai dan meriah. Tapi aku rasa yang datang tak sampai 1000 pun. Mungkin dalam 600-700 saja.

Kali ini masa flag off aku tak mula di hadapan. Sebab kali ini sedar diri sikit. Tapi sebab nak bergambar punya pasal, aku berdiri 2-3 barisan dari hadapan. Tepat 8:05 pagi, flag off. Dari barisan 3 di hadapan, aku terus berada di kelompok akhir peserta, tapi kali ini dah bersedia dari segi mental. Jadi, biarlah....

Memang kali ini 'aim' nak cuba kekalkan 'pace' saja. Tak kisah ramai yang memotong. Dan yang lari laju dari awal, sampai di atas jambatan (lepas 1km) aku dah berjaya pintas diorang. Memang maintain 'pace' saja.

3km pertama memang ok sebab biasa latihan di stadium selalu buat 3km ni. Lepas tu mula perlahan. Rasa penat dah mula datang. Lebih-lebih lagi matahari memang terik. Tapi sepanjang 8 km ni, aku tak berhenti kecuali untuk ambil air dan riben.

Disebabkan aku pakai baju hitam Freeletics Pahang yang lain dari peserta lain, aku ni macam jadi kayu pengukur pulak. Ada beberapa peserta yang lain akan lari laju pintas aku, lepas tu akan berjalan. Bila aku pintas balik, diorang pecut balik. Sampailah habis 8 km. Memang mental betul. Tapi maintain....

3km saja bawah 7 min/km

Route 8 km
Secara keseluruhannya sebab takde berhenti lama, aku berjaya habiskan 8 km di bawah 1 jam, 56:59 minit untuk 8 km dan 1:03:24 untuk 8.88km. Purata kelajuan pun di bawah 8 min/km. Memang lebih baik daripada IIUM Run. Lagipun 'route' kali ini landai dan tidak berbukit. Jadi bolehlah buat personal best (PB).

Disebabkan aku simpan handphone di dalam pouch, aku cuma tahu jumlah jarak lepas berhenti di garisan penamat. Kalau tahu lagi 1km lebih untuk sampai 10km, memang aku akan terus saja lari. Boleh buat PB baru untuk 10km.

Tengah tunggu politikus berucap, medal pun tak dapat lagi.

Geng Freeletics Pahang
Kalau dibandingkan dengan IIUM Run, kali ini penganjur lebih terurus. Keselamatan jalan-raya memang tip-top. Polis trafik dan petugas memang ramai. Setiap kilometer ada ditunjukkan jarak jadi memang dapat kawal masa nak rehat (slow jog). Water stop juga memang sesuai dengan tempatnya dan route pun senang. Jadi, memang terbaiklah. Tetapi sebab program ini ada melibatkan VIP (Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak), pembahagian medal diberikan hampir di akhir program untuk mengelakkan peserta pulang awal. Hampir jam 11 pagi baru dapat ambil medal. Penat nak menunggu. Nasib baik Ancasa Royale ni ada pemandangan cantik. Nasib baik juga proses pembahagian medal cepat.

Ni di Finishing Line. Basah jeruk.
Photo credit to ActionPix Malaysia

Lepas ambil medal, aku terus balik. Cuaca panas sangat. Tak sempat bergambar dengan medal.

Keseluruhannya memang berpuasa hati tapi yang kurang puas hatinya, ActionPix letak harga sekeping gambar RM10. Pergh... sama harga dengan yuran penyertaan larian UDA Bridge Run 2016 ni. Patut letak jer murah-murah... kos bukan tinggi pun.

#udapekanbridgerun2016

Isnin, 10 Oktober 2016

IIUM 10km Run - Batik Edition

Posting khas untuk IIUM 10km Run - Batik Edition.
Tak sempat nak posing

Latihan
Kombinasi senaman yang kerap dan tidur yang tidak cukup memang tidak baik untuk badan. Badan rasa lemah sebab kurang waktu rehat. Sebab pada hari Ahad ada acara lain Batik Run IIUM 2016 sempena hari terbuka IIUM Kuantan Campus (#ikod2016), aku cuba buat larian latihan di awal pagi. Sabtu lepas ada buat larian percubaan 10km, tetapi tidak memuaskan jadi cuba nak biasakan diri minggu ini. Tetapi sebab kekangan masa, agak terkejar-kejar untuk dapatkan masa sejam sebelum masuk waktu kerja. Fuh...penat.

Pada hari pertama, buat 10 pusingan trek tetapi aplikasi Endomondo di handphone terpadam di pertengahan larian jadi hanya rekod 3.41 km (sepatutnya 4km lebih). Sebab tak biasa berlari di awal pagi, sepanjang hari rasa letih dan kaki lenguh. Jadi petang tak mampu nak buat senaman Freeletics 3x Morpheus.

Hari ke-2, kali ini nekad habiskan 5 km. Berlari di trek balapan memang memerlukan motivasi yang tinggi sebab cepat rasa bosan dan letih bila berulang-ulang mengelilingi trek. Dalam setiap 450 m pusingan (laluan paling luar), di 100 m terakhir aku cuba pecut dan baki 350 m akan berlari-lari anak (memang perlahan sangat). Hari ke-2 ni kaki masih lenguh tapi badan tak rasa selemah hari pertama. Jadi selepas subuh buat 3x Morpheus dan petang Aphrodite - Standard. Burpees masih lagi masalah utama.

Hari ke-3, mungkin kerana kombinasi dari hari-hari sebelum ini dan tidur agak lewat, badan rasa sangat lemah. Dapat buat 6 pusingan sahaja, betis sakit. Tapi badan tidak rasa sepenat hari-hari sebelumnya. Sebelah petang tambah lagi menu Khamis Freeletics Pahang, 2x Athena - Strength. Tapi aku buat satu-satu sebab lupa nak tetapkan pada aplikasi.

Jumaat - follow geng Freeletics Pahang buat Apollon tetapi mampu buat separuh saja sebab kesuntukan masa.

Sabtu - Fuh...Hari sukan Negara. Semata-mata nak t-shirt free (memang catik t-shirt tu), bangun awal sebab nak ikut program Euro Zumba di Mini Stadium, IIUM Kuantan. Ramai yang datang perempuan jadi yang lelaki senang dapat t-shirt. Boleh tahan jugak berpeluh.

Mega Zumba 2016
IIUM 10km Run
Akhirnya, Ahad - 10km Batik Run. Sebab takut tak terbangun, tidur tak lena. kejap-kejap terbangun. Akhirnya bangun jam 4:30. Basuh baju dulu, solat, terus pergi IIUM. 6 pagi dah terpacak di depan bangunan OCD. Memang 'nervous' semacam.

Jam 7.00, masih tak berlepas lagi. Matahari dah naik. Geng-geng FL Pahang dah berkumpul.
Bergambar dulu sebelum lari

Jam 7.22, baru berlepas. Starting di barisan depan.
Biggest mistake, bermula di hadapan.
Untuk yang baru-baru nak berlari dan 'pace' tu kurang lagi, tak payah la nak mimpi duduk di barisan depan masa nak berlepas. Sebab mental memang kena kuat duduk depan ni sebab ramai yang akan memotong. 'Pace' memang dah maintain macam biasa tapi ramai yang memotong jadi ter'saiko' diri sendiri ingat aku lari perlahan dari biasa.


Route 10.4 km
Memang slow runner jer
Biasa 'pace' bawah 8 min/km. Tapi untuk kilometer pertama terlaju sikit sampai 6:00 min/km. Jadi pancit awal. Masuk 4 km dah mula goyang sebab ramai asyik potong saja. Sampai pintu masuk IIUM memang dah penat, lepas tu route berbukit di SUKPA, pergh... memang banyak berjalan saja sampai kembali ke garisan penamat.

Kalau nak difikirkan balik, sepatutnya boleh maintain 7:00 min/km tetapi mental tak kuat. Rupa-rupanya walaupun dah ramai yang potong, masih ramai yang ada di belakang (hampir 100). Berbeza dengan KOSRun2016, aku mula di tengah-tengah jadi sebab maintain jer 'pace' biasa dan ada motivasi sikit bila dapat potong orang lain, dapat purata laju 6:50 min/km.

Tetapi bagi aku okla untuk masa ni. Baru start berlari, tunggu 6 bulan lagi.

Baru habis lari. Berpeluh-peluh.
Ni power ni.

#freeleticspahang
#iium10kmrun

Next run 8km Uda Bridge Run - 15/10/2016.