Memaparkan catatan dengan label webe. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label webe. Papar semua catatan

Jumaat, 19 April 2019

Dari Postpaid ke Prepaid....


Sudah lebih 15 tahun aku guna postpaid. Bermula dari TM Touch lagi lepas tu kekal dengan Celcom sehingga Webe/Unifi Mobile. Kali ini aku nak cuba guna prepaid. Betul ke boleh jimat?

Prepaid mana? 

Post aku ni bukan nak buat perbandingan antara mana-mana telco. Sebab kalau tidak ada pengalaman guna sekurang-kurangnya 2 bulan, sukar nak beri pendapat. Disebabkan masa yang terhad, aku pilih apa yang disyorkan oleh kawan-kawan saja. Tetapi antara perkara penting yang jadi faktor untuk aku buat pilihan adalah data internet. 

Data internet

Sekarang data internet amat penting untuk mana-mana plan telefon. Kalau tak de, memang sia-sia pakai smartphone. Tetapi disebabkan aku ni dah terbiasa dimanjakan dengan plan tanpa had dari Webe, agak sukar nak cari pengganti.

Target aku bulanan RM50 saja dan kalau boleh Rm30 lebih bagus. Sebabnya dulu Rm79 dah dapat tanpa had, jadi kalau pakai prepaid tetapi masih kena bayar lebih dari itu, maka sia-sialah aku port out dari Webe.

Banyak pilihan sekarang ini tetapi secara pukul rata, RM50 hanya boleh dapat 10GB. Caj panggilan dan sms jugak tak banyak beza antara telco. Untuk panggilan tanpa had hampir semuanya untuk plan atas daripada RM50. Memang ada telco yang tak termasuk dalam kumpulan ni tetapi atas sebab-sebab tertentu, akhirnya aku pilih prepaid dari OneXOX.

OneXOX

Jadi kenapa aku pilih OneXOX? Jawapannya sebab selalu kena racun. Memang kalau dah selalu tengok iklan akan terpengaruh jugak. Sebab ada kawan-kawan yang jadi pengedar (bukan sorang dua), aku kerap terbaca dalam Whatsapp dan Facebook info pasal OneXOX ni. Jadi bila rancang nak tukar ke prepaid, OneXOX yang aku ingat dulu.

Jadi okay ke plan data internet OneXOX ni? Ha...ha... agak kecewa sedikit. Tapi bukan sebab OneXOX tak bagus tetapi aku rasa ini masalah sama untuk hampir semua plan prepaid.

Sejak aku guna postpaid.. sejak zaman Celcom lagi, aku sudah terbiasa membuat sekali saja pembayaran setiap bulan. Kalau bil RM38, memang RM38 aku akan bayar. Tak kisah untuk data internet ataupun panggilan/sms. Kebiasaannya data internet, caj panggilan dan sms sudah termasuk sekali dalam bil. Contohnya seperti plan Celcom RM38 diberikan 3GB kuota data dan dengan RM38 itu juga boleh digunakan sepenuhnya untuk panggilan/sms atau untuk tambah kuota internet. Dengan RM38 juga aku pernah beli aplikasi dalam Google Play dan bil tak pernah melebihi RM38 tu.

Berbeza dengan prepaid, aku topup RM30 dan RM30 akan hangus sebab kena langgan untuk data internet saja. Untuk panggilan atau sms, kena top up lain. Aku tak tahu lah prepaid telco lain macam mana, tetapi macam tu la prepaid OneXOX ni. Aku rasa patut setiap plan data yang ada, patut diberikan minit dan sms percuma.

Season Pass


OneXOX ni selalu buat promosi seperti di atas. Setakat 2 bulan ini promosi banyak untuk RM50 dan seperti yang aku tulis tadi, RM50 ni akan digunakan untuk langganan promosi tersebut. Kalau dalam promosi itu tak de minit percuma, maka kena tambah top up. Tetapi mujurlah pelanggan OneXOX diberikan pilihan untuk memilih Season Pass Welcome Deal 10GB+333 minit untuk RM50. Yang ini hanya sekali saja. Bulan-bulan seterusnya tak boleh ambil Season Pass ini.

Rumit


Agak rumit jugak nak faham masa mula-mula pakai. Aku ingat top up, langgan dah boleh terus guna. Rupanya kena pula hantar kod lain untuk aktifkan internet. Sudah la RM50 habis ambil Season Pass, lepas tu kena faham beza Season Pass dengan data biasa, DA dengan MA, free sms dengan sms biasa dan lain-lai lagi... Memang cerewet betul prepaid ni dan tak mudah untuk sesiapa yang baru nak guna. Orang rumah aku tersilap ambil SP 50 dengan double data tapi takde minit masa berbual. Habis bising sebab tak boleh nak buat panggilan. Mujurlah boleh kongsi masa berbual. 

Tarikh luput yang lama

Longest prepaid validity
Disebalik komplain aku kat atas tu, ada banyak juga kebaikkan guna OneXOX ni. Paling bagus tarikh luput sangat lama. Bertahun tarikh luput dia. Kalau jenis pelupa nak top up tu memang bagus la guna prepaid ni. Tak pun kalau jenis nak simpan nombor.

Bawa ke hadapan (Carry forward)

Dalam 2 bulan ni aku hanya top up sekali sahaja. Sebabnya aku tak banyak buat panggilan dan sms. Semua tu boleh bawa ke hadapan. Dengan tarikh luput yang lama, memang makan 2, 3 bulan jugak baru aku kena top up untuk tambah minit berbual. Tapi aku tak pasti berapa lama boleh cary forward ni.

Boleh berkongsi

Plan OneXOX

Aku ada 2 line untuk OneXOX ni. Satu prepaid dan satu lagi OneXOX Black. Sebab kes orang rumah teramlbil Season Pass lain, terus upgrade line dia ke OneXOX Black. Yang OneXOX Black ni tak rumit. 

OneXOX  Black ni kena bayar bulanan RM59. Ada dapat 12GB data, unlimited call dan 100 sms. Data dari OneXOX Black ni aku boleh kongsi ke line prepaid. Jadi bila line prepaid sudah nak habis data, aku boleh ambil dari line OneXOX ni. Sebenarnya boleh ambil dari mana-mana sahaja line OneXOX, tak semestinya dari Black. Memang jimat sebab tak membazir kuota data. 

Liputan luas

OneXOX ni guna liputan Celcom. Jadi di mana ada line Celcom, di situ boleh guna. Kelajuan internet pun sama. Tetapi aku tak berani nak cuba speed test selalu sebab akan makan data pulak nanti. Sekali test berpuluh MB juga dia telan. 

Pandangan setelah 2 bulan guna..

Memang pada mula penggunaan OneXOX ni agak rumit nak guna sebab OneXOX suka pecahkan data, panggilan dan sms kepada kumpulan-kumpulan lain. Tetapi dengan pecahan begini aku memang mudah nak kawal penggunaan. Sebagai contoh, untuk data internet aku tetapkan pengambilan data dari Season Pass kepada 500mb, jadi setiap habis 500mb ni, internet akan stop. Bila nak pakai lagi aku boleh ambil lagi dari Season Pass sehingga lah habis. Bagi aku ini dapat mengelakkan daripada kesilapan terguna lebih. Kuota data juga sama seperti yang terpapar di statistic data usage di smartphone. Kalau aku download 10Mb memang 10Mb yang akan kurang dari kuota.

Jadi bagi aku kalau sesiapa nak berjimat tu memang sesuailah guna OneXOX ni. Kalau ada ramai kawan-kawan yang guna lagi bagus sebab boleh berkongsi-kongsi data. Cuma aku harap OneXOX ni kena banyakkan promosi untuk nilai RM30 dengan ada tambahan minit berbual dan sms. Sebab kalau yang jenis dan berjimat ni, top up RM30 ke bawah lebih banyak digunakan. Lagi satu kena improve aplikasi MyXOX sebab antara mukanya macam half cook dan kurang profesional. 

Kalau yang memang budget plan bawah RM50 dan tak banyak pakai data memang aku syorkan plan ni.



Rabu, 17 April 2019

Port out from Webe (Unifi Mobile)



Sebab di rumah sudah pasang Unifi, aku berkeputusan untuk port out dari Webe. Ada aku baca di sosial media yang komplen susah nak port out jadi aku agak takut-takut jugak nak port out ni. Nombor dah pakai lama jadi sayang nak terminate terus. Ini yang aku buat:

1. Bayar semua bil dengan sedikit advance.

Kebiasaannya bil Webe dikeluarkan pasa awal bulan. Jadi pada awal bulan biasanya memang aku sudah habis bayar untuk bulan tersebut. Tetapi untuk port out ni, aku lewatkan bayaran sehingga hampir hujung bulan. Aku bayar lebih kurang RM200. Untuk 2 line biasa RM157 (termasuk tax) jadi lebihan RM30-RM40.

Kenapa perlu buat lebihan bayaran?
Sebabnya kalau bayar cukup-cukup takut ada caj-caj lain yang tak sempat masuk dalam bil. Setakat yang aku baca, terdapat pengguna yang menghadapi masalah masa nak port out disebabkan masih ada lagi baki bil yang belum dilangsaikan. Kadang-kadang ada yang beli di Google Play tetapi bayarannya hanya dimasukkan di dalam bil bulan seterusnya. Jadi nak elakkan perkara ini berlaku, aku buat lebihan bayaran. Kalau ikutkan ada yang syor bayaran lebihan sebulan.

Kenapa pula aku pilih hujung bulan nak port out?
Sebabnya kalau ikut pengalaman lepas, TM akan bayar semula lebihan bayaran selepas pro-ratakan penggunaan bulanan. Jadi kalau awal bulan, aku tetap kena bayar penuh satu bulan dan kemungkinan ada RM70-RM100 lebihan bayaran. Banyak tu. Jadi sebab nak kurangkan lebihan tu, aku buat hujung bulan.

2. Isi borang pendaftaran di telco lain. Ambil sim card baru.

Dapatkan sim card untuk telco baru
Yang ni boleh pergi mana-mana kedai jual sim card tapi kena pastikan diorang boleh buat MNP ni. Paling senang pergi pejabat telco, boleh ambil sim card baru dan terus apply untuk MNP. Tapi aku minta pertolongan kawan yang jadi pengedar OneXOX. Urusan melalui Whatsapp saja. Dalam 2, 3 hari sudah dapat sim card dan buat pendaftaran terus.

3. Jawab sms pengesahan

SMS pengesahan
Tak sampai sehari setelah daftar dah dapat sms pengesahan untuk port out. Jawab "YES".

4. Terima sms dari telco baru

SMS dari telco baru
Lepas sehari baru aku dapat sms daripada telco baru. Itu pun lepas aku sedar sim card webe dah tak boleh guna dan aku masukkan sim card baru. Habis urusan.. tak susah pun.

Kenapa port out?

Masa mula-mula daftar Webe ni sebab rumah tak dapat masuk apa-apa line internet (berwayar). Jadi sudah ada Unifi ni aku rasa tak perlu pakai Webe dah. Selain itu sebab nak mencuba guna prepaid pulak lepas lebih 10 tahun pakai postpaid. Nak cuba boleh jimat ke dengan guna prepaid.

Tetapi sebab utamanya bila guna Webe/Unifi Mobile yang ada subline, nak port out satu nombor kena port out semua sekali. Jadi semasa ada promosi Jasa Pack (sekarang sudah ada semula), aku tak dapat nak daftar sebab kena port out ke telco lain. Jadi sekarang ni baik asingkan.

Post seterusnya kemungkinan aku cerita pasal review pasal prepaid ni...

Khamis, 13 Disember 2018

Masalah dengan Telekom Malaysia


Makin kurang post aku kat blog ni sekarang. Sebabnya tak sempat post. Lebih-lebih lagi sejak line internet takde kat rumah. Nak mengharapkan update guna mobile phone memang susah nak tekan skrin saiz kecik ni. PC pun lama dah tak on... Sekali ada banyak pulak reply dari visitor....

Sebenarnya dah 2 tahun aku apply internet kat TM Point. Sejak masuk rumah lagi. Masalah kawasan perumahan baru macam ni la. Kena tunggu permintaan banyak... baru TM akan pertimbangkan untuk tarik wayar. Masalah kat perumahan aku ni sebab tiang TM jauh jadi kena tanam tiang baru boleh tarik wayar (ikut apa yang pegawai TM cakap la..)

Dulu pernah jugak apply line streamyx semasa pindah rumah. Kawasan perumahan baru siap juga. Lepas setengah tahun baru TM datang rumah pasang interet. Ingat ke itu dah kira lama tapi kali ini lagi lama rupanya....

2-3 bulan lepas baru nampak tiang TM terpacak belakang rumah... Siap dapat brochure promote Unifi. Esoknya terus aku pergi TM Point nak apply tapi kena tunggu 2-3 bulan pulak. Ni dah bulan ke berapa pun tak tahu la... Mungkin tahun depan baru dapat...

Jasa pack
Masa kat TM Point ni aku dapat tahu plan untuk guru masih ada lagi. RM99 untuk unifi 100Mbps (lepas upgrade dari 30Mbps) dan RM59 untuk Unifi Mobile. Kalau check di https://unifi.com.my/pekjasa/index.html harga RM129. Pelik jugak mana satu betul ni. Masa pergi TM Point 2-3 bulan lepas, pegawai tu kata RM99 tak termasuk Hypptv. Aku silap faham kut...


Jadi aku nak apply la plan Jasa pack ni sebab sekarang ni pakai Webe RM79 dengan 2nd line RM69. Yang 2nd line tu nak tukar plan ke Jasa pack (nak tukar nama) tapi rupa-rupanya tak boleh. Sebab nak tukar 2nd line kena tukar yang main line jugak. Sistem TM ni tak boleh nak tukar-tukar plan macam tu jer. Diorang beri 2 pilihan:
  1. Terminate 2nd line, apply line baru dengan nombor baru. Yang ni masalah sebab aku nak kekalkan nombor lama.
  2. Port-out kedua-dua line ke telco lain kemudian baru apply semula. Nampak macam best tapi kalau nak apply semula, yang main line tu tak dapat dah line RM79 tapi kena apply plan baru RM99.
Kedua-dua pilihan macam tak best jer... Kenapalah rumit sangat nak tukar plan...

Rasanya nak tukar jer ke telco lain....

Rabu, 31 Mei 2017

Webe: 6 Bulan


Plan awal nak tulis pasal ni lepas 6 bulan tapi sebab rasa macam banyak pulak masalah pasal webe ni yang aku baca di Facebook, aku awalkan sebulan. Banner tulis lepas 6 bulan sebab aku malas nak edit.

Aku mula guna webe mobile ni sejak awal Januari. Ada post yang ditulis pada Februari lepas tentang masalah-masalah awal aku dengan webe ni. Antara yang aku sebut:

  1. Menggunakan Band 5 yang tidak disokong oleh semua handphone
  2. Bil yang rumit
  3. Tidak boleh hotspot
  4. Tidak boleh hantar sms short code
  5. Kelajuan dan liputan yang sepadan dengan 4G
  6. Akaun kena sekat (suspend)
Antara 5 ni, masalah 1 dan 2 yang aku rasa bukan masalah besar lagi.

Setelah aku unlock Mi Max, setakat ini tidak ada masalah aku nak gunakan 4G dengan sim card webe. Jadi bukanlah masalah utama untuk aku tetapi mungkin menjadi masalah untuk pengguna baru webe. Tetapi sejak awal tahun ni sudah banyak handphone baru yang murah sudah mula menyokong Band 5 dan webe juga sudah mula menaiktaraf infrastuktur untuk menampung band lain seperti Band 40. Untuk masalah bil pula, setelah bil pertama, pengguna hanya perlu membayar RM79 (tidak termasuk GST), tidak ada kiraan pro-rate. Jadi tidak rumit seperti bil pertama.

Komplain di Facebook

Kelajuan dan liputan

Ini sama seperti yang aku tulis sebelum ini. Ramai yang tidak berpuas hati dengan kelajuan dan liputan webe. Aku pun memang tak puas hati. Sejak kebelakangan ini, aku kerap menghadapi masalah drop speed. Kadang-kadang menjadi terlalu perlahan hingga nak buka whatapp pun message tak sampai. Walaupun pada kebiasaannya aku boleh dapat 3-4Mbps tetapi kelajuan ini jauh daripada kemampuan sebenar 4G.

Untuk liputan, aku juga menghadapi masalah. Kadang-kadang bila berjalan di bandar Kuantan, boleh pulak tetiba takde line. Kena tunggu sekejap, baru ada balik. Kerap berlaku. Nak kata masalah handphone, kedua-dua handphone yang ada di tangan menghadapai masalah yang sama. Pernah juga pergi ke Ampang atas urusan kerja, line internet dapat 3G saja dan kadang-kadang dapat signal E. yang tak best walaupun dapat 3G, tetapi kelajuan macam siput. Di harapkan pihak Webe perlu berusaha tingkatkan liputan webe.

P1 Rebranding

Ada jugak yang takut dengan Webe ni sebab Webe ni syarikat asalnya adalah P1 yang mempunyai rekod pelanggan yang amat buruk. Orang kata Webe ni salin baju jer dengan kepala yang sama.

Tapi bagi aku dan pengharapan aku sendiri, TM yang ambil alih syarikat ini tidak akan menjadikan Webe seperti P1. Kalau dibaca dari masalah-masalah P1 sebelum ini, kebanyakkan pengguna menghadapi masalah untuk 'terminate' plan. Walaupun sudah menamatkan langganan tetapi P1 masih terus caj pengguna sehingga ada yang kena bayar beribu-ribu. Bila tak bayar akan disenarai hitam dalam CTOS. Ada juga yang telah jelaskan semua bil-bil sebelum terminate tetapi tetap nama masuk CTOS.

Aku pernah menggunakan P1 tetapi mujurlah pada awalnya ada tempoh percubaan. Jadi dalam masa seminggu bila aku dapati kawasan rumah aku liputan P1 teruk, aku terus pulangkan modem dan tamatkan akaun. Dalam masa sebulan aku dapat balik duit deposit. Aku tak tahulah untuk pelanggan-pelanggan yang terkemudian, ada tak tempoh percubaan ini? Yang aku baca sebelum ini, bila dah langgan dan dapati coverage teruk, mereka tidak ada pilihan untuk tamatkan kontrak melainkan membayar denda 'early termination'. Terdapat jugak komplain tentang sambungan yang selalu terputus-putus dan juga khidmat pelanggan yang teruk. Pendek kata, ramai komplain P1 ni menipu pelanggan.

Kalau nak buat perbandingan dengan Webe, aku amat takut kalau Webe akan ikut rentak P1. Walaupun sekarang ini tidak ada kontrak, adakah polisi ni akan terus kekal? Tetapi sejak aku menjadi pelanggan streamyx untuk lebih 10 tahun ini, tidak ada lagi masalah besar yang aku hadapi. Baru-baru ini aku perlu tamatkan akaun sebab berpindah rumah. Atas budi bicara, aku tak perlu bayar penalti 'early termination' tu. Jadi kemungkinan Webe tidak seperti P1.

Memang ada komplain tentang TM ni tetapi langganlah perkhidmatan mana sekali pun, tetap akan ada yang tak berpuas hati. Masa aku pakai Celcom pun banyak juga baca orang komplain, masa guna Digi dan Maxis pun sama.

Hot spot atau tethering

Yang ini ada yang betul dan ada yang aku rasa tak patut nak komplain pun. Pada aku Webe patut benarkan hotspot tetapi dengan had.

Kenapa aku kata dengan "HAD" sebabnya pelanggan kena faham, ini adalah "mobile plan" yang dikhaskan untuk mobile phone bukannya untuk di rumah.

Kalau untuk kegunaan rumah dan "heavy downloader", silalah melanggan streamyx ke, unifi ker, maxis broadband atau apa saja pelan khusus untuk pengguna di rumah. Webe sendiri ada pelan khas walaupun terhad kepada 30Gb sahaja. Aku tak faham kenapa ada pelanggan yang berusaha gigih nak gunakan vpn atau apa cara 'backdoor' sekali pun untuk gunakan pelan ni untuk disambungkan ke PC. Unlimited bukanlah bermaksud pelanggan ada hak untuk download sesuka hati tetapi kena patuh terma dan syaratnya. Tujuannya adalah untuk memastikan semua pelanggan dapat menggunakan perkhidmatan ini dengan optimum. Tetapi bila line slow tahu nak komplain tapi cara guna dah salah.

Untuk kegunaan rumah seperti streamyx, paling murah adalah RM110 dengan kelajuan 1Mbps. Bandingkan dengan Webe (3-7 Mbps) dengan harga RM79. Kenapa Webe lebih murah? Sebabnya Webe khas untuk mobile yang penggunaan normalnya tidak setinggi PC.

Sekarang ini Webe dalam promosi 1Gb hotspot untuk 3 bulan. Jadi adakah lepas 3 bulan tidak ada hotspot percuma? Sepatutnya Webe kena benarkan pelanggan menggunakan hotspot dengan had 3-5 Gb. Sebabnya kadang-kadang memang perlu menggunakan hotspot di tempat-tempat yang tiada wifi percuma dan baru nak update anti-virus pun dah habis quota 1Gb tu. 

Akaun disekat

Hu...hu.... yang ni aku rasa nak gelak pun ada. Webe ni unlimited tetapi bersyarat. Jadi kenalah patuh syarat-syaratnya. Tak boleh nak bypass tethering, tak boleh guna webe di peranti selain dari yang boleh membuat panggilan, tak boleh nak guna secara ekstrem dan ada beberapa syarat lain yang perlu dipatuhi. Kalau nak tahu lebih lagi boleh lawat laman ini. Agreement.

Kalau nak ikutkan mudah saja. Tak perlulah nak buat benda yang salah, lepas tu bila kena sekat mula-mula nak bising. Nampak sangat kebodohan di situ. Tapi kalau setakat download kaw-kaw, aku rasa tak patut nak sekat sebab unlimited. Lagipun kalau macam aku ni bukan dapat download laju pun. Paling tinggi 6-7 Mbps saja. Biasa 3 Mbps saja. Tapi pasal kena sekat terus tanpa ada amaran ni memang sangat kejam. Sebab kalau beri amaran sekurang-kurangnya pelanggan dapat tahu apa yang boleh dan tak boleh. Kalau harap nak baca TnC memang susahlah. Lagipun ada pelanggan macam aku ni guna nombor yang dah berpuluh tahun guna jadi kena benarkanlah nak berpindah ke Telco lain. Dengar kata kena buat akun bersumpah. Makan duit jugak tu.

Kesimpulan

Di sebalik komplain-komplain yang ditulis ini, aku sebenarnya tidak menghadapi masalah besar sejak menggunakan Webe (kecuali handphone lama tak support webe). Aku rasa semuanya berbalik kepada pengharapan dan tanggapan pelanggan terhadap webe. Unlimited, jadi boleh download sepuas hati dan laju. Aku rasa mindset ni kena tukar.

Webe ini hanya salah satu daripada syarikat telekomunikasi yang ada di Malaysia. Sebelum ini tidak ada syarikat yang berani menawarkan pelan unlimited untuk pasaran mobile. Jadi bila Webe menawarkannya, mesti ada terma dan syarat. Kena ada tanggapan bahawa Webe ini bukan streamyx atau Unifi. TM menyasarkan Webe ini untuk pengguna mobile sahaja sebab mengikut kajian secara puratanya setiap pelanggan hanya memuat turun tidak lebih daripada 10Gb sebulan pun. Tetapi disebabkan Webe dipromosikan sebagai unlimited, ramai pelanggan yang meletakkan pelan Webe ini sebaris dengan servis streamyx dan unifi.

Selain itu, silalah buat aduan ke ke Webe atau ke SKMM. Setakat ini bila ada masalah Webe careline sentiasa menjawab pertanyaan aku. Walaupun jawapan utamanya hanyalah dengan 'reset setting' tetapi kira jawapan jugak tu.

Khamis, 16 Februari 2017

Mi Max - Unlock Band 5


Sebelum ini aku ada sebut masalah utama webe adalah sebab LTE Band 5. Untuk telefon Mi Max ni sebenarnya boleh terima LTE Band 5 tetapi tidak di"unlock". Jadi bagaimana nak unlock Band 5 ini?

Sudah puas aku cari-cari dan bertanya dan akhirnya jumpa cara paling mudah di laman ini.  Tidak perlu root. Sebagai simpanan aku sendiri dan pengkongsian, di sini aku tulis cara-cara yang diterangkan di laman tersebut.

Sebagai permulaan, sila muat turun fail-fail ini:

Peringatan : Segala masalah yang kemungkinan boleh berlaku adalah tangungan anda sendiri.

Cara-cara

1. Install Mi5 Qualcomm Driver

Mula-mula unzip/unrar dulu file yang dimuat-turun.
Mesti unrar dulu
Install driver Mi5 dengan right-click file qcmdm.inf dan pilih Install
Install qcdmdm.inf

2. Install QPST 2.7.434

Sama juga seperti Qualcomm driver kena unzip dulu kemudian double click setup.exe.
Install file setup.exe
Kemudian Run QPST Configuration.
QPST Configuration
Sebelum disambungkan kepada handphone

3. Hidupkan USB debugging pada handphone

Pada handphone, sila tekan *#*#717717#*#*. "Diag USB port enable" akan muncul. Kalau keluar "Diag USB port disable", tekan code semula untuk hidup kan fungsi tersebut.


4. Sambungkan handphone ke komputer

Amat digalakkan gunakan cable USB yang dibekalkan.

Setelah berjaya disambungkan

Note:

Jika komputer tak dapat kesan handphone, sila pergi Device Manager. Cari device yang ada tanda (!). Ada ditulis MiMax (!). Right-click dan install driver. Jangan tekan Search automatically.. tetapi pilih "Browse my computer for driver software". Cari folder Qualcomm Driver yang telah di unzip di langkah 1 tadi. Pilih qcmdm.inf .
Browse my computer

5. Software download

Sekira handphone berjaya dikesan, pada QPST Configuration, tekan Start Clients > Software Download.
Start Clients > Software Download

6. Cari file QDART_MSM8956_LTE_mimax_B8_RFNV_Test.qcn

Di kotak xQCN File, cari file QDART_MSM8956_LTE_mimax_B8_RFNV_Test.qcn.
Pastikan butang Allow phone/file ESN mismatch di tick.
Tekan Start

7. Tekan Start

Setelah selesai semua setting, tekan butang Start. Prosesnya kejap saja. Tunggu 100%. Setelah selesai boleh tekan exit dan tutup QPST Configuration.

8. Reboot handphone

Mi Max akan hilang signal. Reboot handphone anda.

9. Selesai

Dah ada 4G
Sebenarnya aku tak pandai sangat nak hack atau root handphone ni. Langkah yang aku ambil ini adalah dari laman web yang aku sebut di atas. Jadi sebarang pertanyaan boleh diajukan ke pemilik laman tersebut. Tetapi aku dah cuba cara ini dengan Windows 10 dan MI Max Miui 8. Selain daripada masalah driver tak install seperti langkah 4, yang lain-lain semua ok.

Tambahan

Sebelum ini, komputer aku ini dah biasa digunakan untuk unlock atau unroot handphone jadi kemungkinan ada step yang tertinggal. Kepada sesiapa yang hadapi masalah komputer tak dapat kesan handphone tu, cuba tips ini.

Saya bukan expert, jadi harap maaf kalau tak dapat menyelesaikan masalah.

Webe: Unlimited Internet?


Seperti yang aku tulis dalam post sebelum ini, aku dah bertukar ke telco baru webe. Nak kata telco baru pun tak boleh jugak sebab asal webe ini adalah dari syarikat P1 dan telah diambil alih oleh TM. Jadi apa yang best tentang webe ni?

Unlimited Data

Betul ke unlimited? Sejak aku pakai ni memang unlimited tetapi seperti streamyx, webe juga ada "Fair Usage Policy". Untuk download peer-to-peer seperti torrent akan dihadkan dengan kelajuan 64kbps. Plan webe ini juga tak boleh nak buat hot spot jadi memang tak boleh jadikan phone sebagai modem ataupun guna sim webe di dalam usb modem.

Setakat yang aku guna, walaupun buka Youtube 3-4 jam sehari pun memang tak perlu nak fikir data habis di tengah bulan. Nak layan internet sampai lebam pun tak pe dan kalau yang ada instagram dan whatsapp yang banyak video pun ok. Jadi untuk kegunaan biasa mobile internet memang tidak ada masalah. Aku pun biasa jer layan movie dengan Kodi, memang smooth saja.

Yang menjadi masalah bila ada yang nak buat hotspot. Kalau nak Hotspot juga kena bayar RM6 (tak termasuk GST) untuk setiap 2 jam. Bagi aku ok jer sebab kalau dibenarkan hotspot pada plan webe ni, bila ramai orang pakai untuk mendonwload akan jadi seperti streamyx, line jadi congested, slow. Lagi pun pada harga RM79 sebulan dah cukup rendah untuk data unlimited ni.

Unlimited Call and SMS

Unlimited call dan sms hanya untuk ke nombor telefon yang lain. Kalau untuk 1-300, 1-700 dan nombor-nombor yang bukan nombor telefon tetap kena bayar. Jadi kalau ada yang nak call customer service seperti Astro dan TM baik call nombor 03-... daripada call hotline 1-300.... 

Unlimited sms pun sama hanya untuk nombor telefon sahaja. Kalau nombor khas seperti 1300 / 1700 / 1600 / 1MOCC akan dicas. Selain tu, webe tak support Short Code SMS. Jadi kalau nak top up Njoi macam yang pernah aku alami sebelum ini, memang tak dapat la.... Kena pakai sim card telco lain..hu..hu.. :( .

Tapi setakat untuk kegunaan biasa memang berbaloi.

Simcard webe

RM79

Bab ni memang best. Sebab sebelum ini pakai line berbayar RM80, tapi dapat 20GB jer (tak ingat berapa). Kalau sebelum ini di rumah ada line streamyx, memang tak habis 20GB tu tapi bila dah takde dan anak-anak layan youtube, kejap jer 20GB tu habis. Jadi dengan webe ni kalau paling kurang 2 jam sehari layan youtube, memang tak habis-habis.

Masalah

Band 5

Masalah utama untuk plan webe ini adalah nak dapatkan certified phone. Line LTE 4G webe menggunakan LTE Band 5. Jadi kena cari phone yang support frekuensi ini. Buat masa ini tak banyak phone yang support, hanya sedikit phone yang dapat certified dari webe. Nak tahu phone certified webe atau tak, sila lawat link ini. Certified Phone.

Mi Max aku kalau ikut dalam list itu memang ada, tapi sebab aku punya AP set, jadi memang tak unlock lagi.

Bil yang susah nak faham

Apalah motif nak buat bil komplikated macam tu.?Pengguna ni hanya faham bil RM79 (tak termasuk GST). Jadi bila bayar hanya RM79 saja. Tapi bila cukup sebulan, tengok bil sampai RM200 lebih. Memang ramai yang mengelabah.

Dari app webe self care
Aku ada 2 sim card webe jadi kalau kiraan matematik mudah RM79+RM69 = RM148 sahaja ataupun (RM156.88 termasuk GST). Ini sampai RM283.40. Itu pun dah tolak RM106 duit pendahuluan masa daftar hari tu. Jadi mana datangnya RM283.40 tu?

Ok, kepada pengguna webe jangan mengelabah. Sebenarnya untuk bil yang pertama ini kita perlu bayar untuk bulan sebelum dan bulan terkini. Macam aku register pada awal bulan Januari jadi untuk bil pertama aku perlu bayar pro-rate bulan Januari dan bil penuh untuk bulan Februari. Jadi RM63+RM79 = RM142 dan untuk satu lagi sim card RM142+RM142 = RM284 (kiraan kasar). Jumlah ini ditolak dengan RM106 duit pendahuluan jadi RM178.

Jadi nak senang faham, sebenarnya untuk bil pertama ini kena bayar untuk 2 bulan dan bil kedua dan seterusnya bayar untuk sebulan saja. Sebenarnya tidak ada istilah kena bayar dulu baru pakai sebab due date untuk bil pertama ini adalah pada penghujung bulan iaitu 28hb. Yang aku faham, kalau lewat bayar 2-3 hari dari due date masih diterima. Ada juga aku terbaca yang terlewat sebulan masih boleh guna sim card dan tidak kena denda.

Untuk dapatkan bacaan bil terperinci
Bil terperinci

Hot spot

Sebelum ini takde pun pakai hotspot tapi bila dah pakai unlimited data ni memang rasa nak pakai jer hot spot. Bagi aku hot spot ini bukanlah masalah besar sebab kalau nak tonton movie dari internet boleh saja guna fungsi Mirror Screen yang ada pada telefon. Tetapi mesti pastikan TV ada fungsi ini. Kalau takde, bolehlah beli peranti Ezcast dengan harga RM50-RM80.

Ezcast

Short Code SMS

Masalah ini baru saja aku tahu. Sebabnya aku nak top up prepaid Njoi tapi tak dapat hantar sms ke nombor 33310. Pakai phone dengan sim card lain ok jer jadi terpaksa la juga ada sim card lain. 

Kelajuan dan liputan

Speed test webe

Untuk internet 4G, kelajuan data internet webe ini adalah perlahan. Secara keseluruhannya aku dapat dalam lingkungan 4-7 Mbps sahaja. Tetapi yang peliknya, untuk upload boleh mencapai 11 Mbps.

Kelajuan 4G ini juga amat bergantung dengan liputan 4G webe. Seperti di rumah aku,  penerimaan signal tak kuat jadi kadang-kadang dapat 4G dan kadang-kadang hanya 3G. Jadi dari segi liputan 4G, webe kena luaskan lagi. 

Kesimpulan

Setelah hampir 2 bulan pakai webe, aku takde menghadapi masalah besar. Cuma sebab baru layan Njoi ni, agak sukar kalau tak boleh nak guna short code SMS. Tak nak bayar bil bulan-bulan jadi tak nak pasang Astro.  Jadi terpaksa juga ada phone dengan sim card telco lain.

Bagi aku lah... kalau anda menetap di kawasan 4G webe, memang digalakkan guna webe. Tapi disebabkan beberapa masalah di atas, kena juga ada nombor prepaid lain. :(

Rabu, 15 Februari 2017

Mi Max - Phablet dari Xiaomi


Satu lagi gadget dari Xiaomi yang aku beli. Dah lama tak beli handphone baru sebab handphone Redmi Note 3G aku masih bertahan sehingga sekarang. Tapi sebab tak support 4G dan setelah lama hanya guna 8GB storage dengan Redmi Note 3G, terpaksa jugak beli yang baru (hu.. hu.. terpaksa konon). 

Dengan skrin 6.44 inci, Mi Max ini adalah handphone paling besar yang dikeluarkan oleh Xiaomi. Mula diumumkan sejak pertengahan tahun 2016 jadi sudah hampir setahun di pasaran China. Tetapi baru dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia dalam penghujung tahun 2016. 

Kotak Mi Max AP set

Harga

Mi Max yang aku beli ini adalah AP set. Sebabnya kalau beli set rasmi Malaysia, harganya lebih tinggi daripada AP set. Xiaomi Malaysia meletakkan RM899 sebagai harga pasaran di Malaysia tetapi disebabkan stok yang kurang dengan permintaan yang banyak, terdapat juga penjual yang menjual pada harga RM999. Ada juga yang dijual pada harga Rm850. Jadi untuk MI Max 32GB ini harganya dalam lingkungan RM850-RM999. 

Set yang aku beli ini adalah versi Mi Max dengan 64GB storan dan 3GB RAM. Selain dari jumlah storan yang berbeza, cip pemprosesan juga berlainan iaitu Qualcomm MSM8976 Snapdragon 652 dibandingkan  dengan Snapdragon 650 untuk version 32GB. Versi ini tidak ada secara rasmi di Malaysia, jadi selain dari versi 32GB, versi Mi Max 64GB dan 128GB adalah AP set.

Harga untuk 64GB ini adalah dalam lingkungan RM900-RM1000. Harganya hampir sama seperti harga set rasmi 32GB. Tetapi untuk AP set, waranti adalah dengan kedai penjual bukannya dengan Xiaomi Malaysia. Jadi macam aku yang beli dengan Lazada ni, dalam erti kata lain, kena pandai-pandai sendirilah. Sebabnya kalau ada masalah, kedai jauh di Selangor. Sebab itu harganya lebih rendah daripada set Malaysia. 

Terdapat juga Mi Max 32GB yang di jual pada harga RM750-RM850. Tetapi ini biasanya untuk AP set. 

ROM

Kalau set Malaysia akan didatangkan dengan MIUI 8 Global ROM. Untuk AP set pula akan didatangkan dengan MIUI 8 China ROM sebab kebanyakkan AP set ini datangnya dari pasaran China. Tetapi untuk AP set ini bergantung juga dengan penjual. Ada penjual dah siap-siap flash ROM Global untuk set yang dijual seperti set yang aku beli ni. Jadi tak perlu pening-pening kepala nak flash ROM lain. 

Band 5

Antara sebab aku tukar handphone ini disebabkan aku sudah beralih ke telco Webe. Redmi Note 3G aku memang sah-sah tak support 4G jadi sebab kat rumah baru aku ni takde wired broadband (streamyx, Unifi dll) jadi aku mencari wireless broadband pulak. Alang-alang dah ada promosi, beralih juga aku ke webe setelah 13 tahun dengan Celcom.

Tetapi malangnya, tak semua handphone support 4G Webe ini sebab Webe pakai LTE Band 5 yang tidak digunakan di China. Jadi semua AP set takde Band 5 di unlock termasuklah set yang aku beli ini.

Untuk Malaysia, aku difahamkan ada set yang support dan ada set yang tak. Sebab kalau ikut laman rasmi Webe, hanya Redmi Note 3 sahaja yang "certified".

Jadi terpaksalah aku mengodek-godek lagi macam mana nak unlock tanpa root ini. Dan akhirnya berjaya juga. Kalau ada masa akan aku tulis dalam blog ini.

Selepas puas mencari jalan nak unlock

Perkakasan

Standard accessories 
Aku difahamkan untuk AP set ini, charger yang akan dapat adalah 2 pin macam aku punya ni. Untuk Malaysia set pula akan dapat standard 3-pin. Perkakasan lain adalah sama seperti buku manual, wayar USB dan pin untuk hybrid sim slot.

Pengalaman

Dah pakai screen protector dan body case
Setelah aku pakai Mi Max ini untuk beberapa hari, dari segi prestasi memang amat bagus, terbaik. Tak de nak tersekat-sekat. Kualiti kamera boleh diterima. Tak boleh komen sangat tentang kamera ini sebab dengan harga begini, tak boleh dibandingkan dengan handphone beribu ringgit.

Untuk skrin memang puas hati sebab besar. Aku memang banyak online dan membaca jadi skrin besar ini amat memudahkan dan selesa digunakan. Walaupun skrin yang besar, penggunaan bateri tidaklah membebankan sebab setelah digunakan berjam-jam, Mi Max ini hanya perlu dicas bila aku nak tidur sahaja. Itu pun ada lagi dalam 15-20%.

Tetapi saiz yang besar memang menyukarkan Mi Max ini dibawa kemana-mana. Saiz Mi Max ini muat-muat poket jadi bila duduk kena keluarkan dari poket sebab tak selesa. Penggunaan sebelah tangan juga agak sukar kalau tanpa body case sebab "all-metal body" bagi aku membuatkan Mi Max ini agak licin. Jadi takut jatuh kalau guna sebelah tangan. Aku syorkan kalau nak pakai Mi Max ini terus beli body case dan screen protector. Lepas guna screen protector dan body case baru selesa guna sebab rasa selamat sikit nak lasak. Aku difahamkan Mi Max ini juga berkemungkinan boleh bengkok sebab body metal dan besar, sama macam iPhone 6s.

Dah pakai baju

Kesimpulannya, aku memang puas hati guna Mi Max ini dan amat-amat syorkan kepada sesiapa yang tak kisah dengan saiz  Mi Max yang besar gelabak ini.