Memaparkan catatan dengan label pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengalaman. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Februari 2020

Pengalaman: Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (Bahagian 2)

Post kali ini saya kongsikan pengalaman persiapan untuk mendaftar anak ke SBP. Kemungkinan akan berbeza untuk setiap sekolah, tetapi diharap dapat memberikan gambaran kasar untuk ibubapa lain.

Semakan Tawaran


Walaupun tidak berjaya di sesi temuduga, Alhamdulillah anak saya tetap ditawarkan ke SBP Sains yang lain. Memang berdebar-debar semasa nak klik mouse untuk buat semakan atas talian. Mak bapak lagi berdebar dari anak. Anak saya macam tak kisah jer sebab tak berminat nak ke asrama.

Jadi lepas membuat semakan keputusan dan pengesahan penerimaan, ada beberapa fail yang perlu dimuat turun. 

  1. Surat tawaran
  2. Borang kemasukan
  3. Borang pemeriksaan kesihatan
Dan ada beberapa senarai kelengkapan yang perlu dibeli.

Pemeriksaan kesihatan


Pemeriksaan kesihatan ini boleh dibuat di mana-mana klinik/hospital kerajaan ataupun swasta. Saya buat di Klinik Kesihatan kerajaan sebab untuk kemasukkan ke SBP/MRSM, hanya perlu membayar RM1 sahaja. Tetapi disarankan datang awal kerana mengambil masa yang lama sebab ramai orang menunggu giliran. Selain itu, di klinik tersebut mempunyai had masa untuk pemeriksaan kesihatan ini.
  • Sesi pagi : 8.00 - 10.00 pagi
  • Sesi petang: 2.00 - 3.30 petang
Proses nak buat pemeriksaan tidak lama tetapi proses menunggu giliran yang mengambil masa panjang. Ada beberapa pemeriksaan yang diambil seperti:
  • Berat dan tinggi
  • Ujian air kencing
  • Ujian penglihatan
  • Ujian darah (perlu bayaran RM10)
  • Ujian rabun warna
  • X-ray
  • dan lain-lain...
Apa yang perlu dibawa ke klinik:
  • MyKad anak
  • Surat tawaran SBP
  • Borang pemeriksaan kesihatan
Ada beberapa bahagian dalam borang itu perlu diisikan terlebih dahulu sebelum ke klinik.

Borang kemasukan

Untuk mengisi borang ini, ada beberapa perkara yang perlu ada. Antaranya (yang saya ingat):
  • Surat tawaran kemasukan
  • Kad pengenalan murid (asal dan sesalinan)
  • Kad pengenalan ibubapa/penjaga (asal dan sesalinan)
  • Penyata pendapatan ibubapa/penjaga
  • Slip keputusan UPSR (asal dan sesalinan)
  • Sijil berhenti sekolah (asal dan sesalinan)
  • Sijil-sijil berkaitan akademik dan koku (asal dan sesalinan)
  • Laporan pemeriksaan kesihatan (seperti yang saya tulis di atas)
  • Rekod kesihatan murid sekolah terdahulu (biasa sekolah akan bagi selepas tamat sekolah)
  • 2 keping gambar berukuran pasport ibubapa/penjaga
Ada lagi borang-borang lain tetapi tidak perlu diisikan seperti surat pengesahan pengetua SBP.

Pakaian

Senarai keperluan murid lelaki
Senarai keperluan murid perempuan

Pengalaman mencari baju untuk anak perempuan, sebab skema sangat saya cari betul-betul yang tertulis dalam senarai.
  • Baju kurung putih berbutang
  • Kasut kulit hitam tanpa tali tanpa corak dan bertumit
Puaslah mencari apa maksud baju kurung putih berbutang. Berbutang di lengan ke atau berbutang di leher?Akhirnya saya beli yang ada butang di kedua-dua tempat. Tetapi semasa pendaftaran ramai saja saya lihat pakai seragam sekolah biasa.

Kasut pula saya cari di kedai kasut kegemaran, Bata. Bukan kasut sekolah biasa tetapi yang ada tumit sedikit, ala-ala kasut ke pejabat. Kena pastikan kasut tu selesa sebab anak banyak pakai kasut ni di sepanjang waktu kelas. Anak saya komplen kasut tak selesa walaupun masa beli dah cuba banyak kali. Jadi kena tambah budget nak beli kasut baru pula.

Pakaian-pakaian lain mudah saja nak beli seperti di Ten Ten, Hari-hari tak pun di pasar malam seperti seluar track hitam.

Untuk barangan di bahagian B, batik sekolah dan t-shirt rasmi sekolah boleh dibeli di koperasi sekolah.

Pastikan semua pakaian-pakaian ni dah siap-siap tulis nama sebab banyak kes-kes pelajar-pelajar tingkatan 1 ni mengadu kehilangan pakaian.

Barang-barang keperluan


Senarai keperluan di asrama
Yang ni barang-barang biasa di asrama. Yang pernah masuk asrama pasti dah tahu.

Dalam bahagian C., cadar, sarung bantal adn selimut berlogo tak perlu beli dahulu, tunggu di hari pendaftaran sebab beli di koperasi sekolah. Senarai dalam Bahagian D tu barang-barang biasa saja, boleh beli kat Mydin ke, Giant ke atau mana-mana saja. Barangan bahagian E ada yang perlu dibeli di koperasi sekolah dan juga boleh beli dulu seperti lampu picit, mangga dan alat tulis.

Ada asrama yang tidak menyediakan bantal, jadi lebih baik sediakan satu.

Proses pendaftaran

Proses daftar mudah dan cepat. Sampa-sampai tu terus pergi ke kaunter dan ambil nombor. Bila nama/nombor dipanggil, guru bertugas akan minta tunjukan surat tawaran dan akan serahkan beberapa borang untuk diisikan. Pelajar akan ditanya samada untuk masuk program DLP atau tak dan aliran apa yang pelajar ingin masuk. Di sekolah anak saya tu ada:
  • Dual language program
  • Asas Sains Komputer
  • Reka Bentuk Teknolgi
Jadi mengikut mana pilihan pelajar, guru akan tetapkan kelas mana. Ibubapa akan diperkenalkan dengan abang/kakak angkat untuk membantu ibubapa sepanjang proses pendaftaran. Jadi lepas mengisi semua borang tu, saya serahkan saja ke kakak angkat.

Kemudian pergi ke kaunter guru kelas. Di sini akan dibincangkan soal yuran.

Yuran sekolah

Senarai Yuran
Bergantung kepada sekolah dan juga kategori pendapatan ibubapa, jumlah yuran yang perlu dibayar adalah berlainan. Ada sekolah perlu bayar yuran dobi dan ada sekolah yang tidak ada perkhidmatan dobi. Seperti di sekolah anak saya, tiada yuran dobi jadi hanya yuran makan.

Yuran boleh dibayar terus sekaligu ataupun ansuran kepada pihak sekolah. Semasa pendaftaran tak perlu bayar lagi yuran ni sekiranya tak mampu.

Barangan koperasi sekolah

Barangan seperti cadar, selimut, sarung bantal, baju t-shirt rasmi sekolah, baju batik dan buku-buku perlu dibeli di koperasi sekolah. Jadi senarai barangan untuk koperasi ni berbeza mengikut SBP. Untuk anak saya, saya perlu berbelanja lebih RM200.

Ke asrama

Untuk hari pendaftaran ni ibubapa boleh masuk ke asrama. Kalau tak, penat anak nak angkut semua beg. Kakak angkat tadi akan tunjukkan bilik, siap tolong angkat sikit barang. Masa ni bolehlah ibubapa tengok keadaan asrama. Keadaan locker ke, keadaan katil ke, keadaan tandas ke....

Siap kemas apa-apa yang patut, boleh je nak tinggalkan anak terus kat asrama atau bawa keluar pergi cuba 'outing' dulu. Macam saya bawa pergi keluar dulu sebab masih ada lagi jugak barang yang tak cukup. Sebelum jam 6 dah bawa balik anak masuk asrama.....

Budget

Fuh... kira-kira lebih RM1,000 juga nak hantar masuk SBP ni. Ni termasuk segala kelengkapan, pakaian dan juga barangan koperasi. Macam saya, yuran makan tu ditangguhkan dulu sebab over budget pula. Itu tak masuk yuran PIBG lagi. Yuran PIBG dalam RM250, jadi untuk yuran sahaja dah RM1,000. Itu untuk seorang anak. Kalau tambah seorang lagi, kena siapkan RM2,000 hanya untuk yuran tahunan sahaja. Nasib golongan M40 macam ni... yuran sama dengan T20 tapi pendapatan banyaklah bezanya....

Khamis, 6 Februari 2020

Pengalaman: Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (Bahagian 1)

Kali ini saya kongsi pengalaman anak yang baru masuk ke sekolah berasrama. Bagi ibubapa yang mempunyai anak yang berada di Tahun 5 dan 6 dan berniat untuk hantar ke Sekolah Berasrama Penuh perlu tahu perkara ini.

Untuk maklumat boleh pergi ke pautan ini. https://ms.wikipedia.org/wiki/Sekolah_Berasrama_Penuh

Pilihan Sekolah

Sekarang ini ibubapa boleh membuat pemilihan penempatan anak melalui sistem pedaftaran atas talian. Ada yang memilih SBP yang terdekat dengan rumah, ada yang memilih berdasarkan prestasi sekolah dan ada yang memilih berdasarkan aliran.

Pada pandangan saya, cecara kasarnya SBP ini boleh dibahagikan kepada 3 aliran:
  1. Sains
  2. Sains Agama
  3. Ulul Albab
Sains Agama Aliran ini ditawarkan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi. Dinamakan sebagai "Intergrasi" kerana sekolah-sekolah ini menggabungkan 3 aliran iaitu Aliran Sains Tulen, Aliran Sains Tulen Agama dan Aliran Sains Teknikal.
Ulu Albab Aliran ini menyasarkan para pelajar untuk menjadi hafiz dalam tempoh 5 tahun persekolahan. Terdapat 4 sekolah sahaja yang menawarkan aliran ini.
  • SMAP Bentong
  • SBPI Rawang
  • SBPI Batu Rakit
  • SBPI Selandar
Sains Hampir kesemua SBP menawarkan aliran Sains. Jadi kepada ibubapa yang membuat pilihan berdasarkan aliran Sains mempunyai pilihan lebih luas.

Carta Aliran Pemohonan

Antara perkara yang perlu diambil perhatianadalah tarikh-tarikh penting untuk permohonan. Di sini saya senaraikan jadual permohonan secara kasar yang saya pernah lalui pada tahun lepas.



Perkara
Tarikh
Tindakan
Sistem permohonan atas talian SBP dibuka
Bulan Ogos - September
Ibubapa perlu membuat permohonan atas talian di https://sst1.moe.gov.my/spat1_mohon/aplikasi_tutup.cfm

Tarikh permohonan boleh dilihat di laman web Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ibubapa boleh membuat pemilihan penempatan anak dalam permohonan ini.
UPSR
September
Peperiksaan UPSR
Semakan keputusan kelayakan menduduki Ujian Kemasukan SBP (UKSBP)
Awal Oktober

  • Ujian ini adalah ujian khas untuk kemasukan ke SBP.
  • Ibubapa perlu menyemak tempat ujian untuk anak-anak pada tarikh yang ditetapkan. Semak tarikh dan tempat ujian akan dilaksanakan.
  • Cetak slip kelayakan


https://sst1.moe.gov.my/spat1_mohon/ujian_uksbp/semak_uksbp.cfm
Ujian UKSBP
Pertengahan Oktober
  1. Bawa MyKad
  2. Bawa slip kelayakan menduduki UKSBP.
  3. Berpakaian seragam sekolah.
  4. Bawa alat tulis.
  5. Hadir awal.
  6. 50 soalan objektif akan dijawab secara atas talian.
  7. Soalan dijana oleh komputer secara lawak.
Soalan terbahagi kepada 5 bahagian:
  • A. IQ (kemampuan intelktual, rasional dan logik) 10 soalan
  • B. EQ (kemampuan emosi terhadap diri sendiri atau orang lain) 10 soalan
  • C. SQ (kerohanian dan kemampuan jiwa menangani kehidupan seharian) 10 soalan
  • D. SSG (kemampuan atau kelebihan diri berinteraksi dengan orang lain) 10 soalan
  • E. Pengetahuan AM 10 soalan
Perkara di atas kemungkinan berubah. Tertakluk kepada perubahan semasa dari KPM.

Semakan Keputussan UPSR
Disember


  • Di sekolah – Keputusan penuh boleh diambil pada sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi.
  • Secara atas talian (Online) – Melalui laman web daripada Lembaga Peperiksaan KPM di bawah: http://sppat.moe.gov.my/semakan/
  • Secara SMS (UPSR) – Mulai pukul 10 pagi, taipkan UPSR<jarak>AngkaGiliran dan hantar SMS ke 15888.
    Contoh: UPSR AZ1211221 dan hantar SMS ke 15888.
Semakan keputusan pemohonan dan penempatan ke SBP Tingkatan 1
Selepas keputusan UPSR dikeluarkan (Disember)

  1. Pemohon yang berjaya perlu mencetak surat tawaran dan lampiran yang disertakan.
  2. Kesemua lampiran perlu diisi dengan lengkap dan diserahkan kepada pihak sekolah semasa hari pendaftaran.
Permohonan e-rayuan
Disember
Permohonan yang tidak berjaya dan pemohon yang terlepas tarikh permohonan awal.

https://sst1.moe.gov.my/spat1_mohon/index.cfm
Semakan keputusan permohonan e-rayuan
Disember
Pemohon e-rayuan
Pendaftaran ke SBP
Awal Januari
Tarikh pedaftaran berdasarkan surat tawaran.

Pengalaman sendiri

Terdapat beberapa SBP yang menjadi pilihan ramai ibubapa kerana mempunyai rekod prestasi yang cemerlang terutamanya SBP Premier. Jadi sudah pasti pemilihan ke sekolah-sekolah ini agak ketat berbanding dengan sekolah lain kerana menerima banyak permohon. Selain itu, kementerian juga memberikan keistimewaan kepada golongan B40 dengan memberikan kuota sehingga 60% untuk golongan tersebut. Oleh sebab itu agak sukar untuk mendapatkan tempat ke sekolah-sekolah premier ini.

Oleh sebab itu saya berkeputusan membuat pilihan berdasarkan jarak rumah ke sekolah.  Jadi selepas berbincang dengan anak, kesemua pilihan SBP yang saya masuk adalah yang berhampiran dengan rumah dan dalam daerah yang sama atau yang berdekatan.

Beberapa hari selepas keputusan UPSR diumumkan, anak saya dipanggil untuk temuduga di SBPI. SBPI ini amat berdekatan dengan rumah dan dalam laluan ke tempat kerja, jadi amat berharap temuduga akan berjaya.

Temuduga ini adalah untuk memenuhi kuota 10% untuk pengetua. Kuota ini adalah kuota khas diberikan untuk pihak sekolah memilih calon daripada M40 dan T20 untuk ditawarkan ke sekolah.  Daripada 60 orang yang dipanggil temuduga, kurang daripada 20 akan ditawarkan masuk (menurut kata pegawai yang menerangkan). Itupun senarai calon diberikan oleh KPM, bukan ditentukan oleh sekolah.

Sebenarnya di sinilah peluang untuk ibubapa untuk membuat rayuan untuk anak. Pada pandangan saya, kepada ibubapa yang ingin memasukkan anak ke SBP tertentu, tebalkan muka dan jumpalah pengetua sekolah berkenaan sebelum keputusan tawaran diumumkan. Dengan syarat pastikan anak mempunyai keputusan yang cemerlang (6 atau 5 A) dan minta pengetua membantu. Saya ada juga terdengar ada ibubapa yang sanggup mendapatkan tandatangan menteri untuk mengukuhkan lagi rayuan.

Pada ketika tu, saya tidak tahu berkenaan hal ini dan kebetulan pula sekolah berkenaan sedang menunggu pengetua yang baru jadi saya tak berkesempatan berjumpa dengan pengetua.

Sudah tidak ada rezeki di SBPi tu, anak saya tidak berjaya pada sesi temuduga tetapi Alhamdulillah menerima tawaran ke SBP yang lain. Alhamdulillah...

Dalam post akan datang saya akan cerita pengalaman membuat persiapan untuk mendaftar anak ke SBP.


Rabu, 31 Mei 2017

Webe: 6 Bulan


Plan awal nak tulis pasal ni lepas 6 bulan tapi sebab rasa macam banyak pulak masalah pasal webe ni yang aku baca di Facebook, aku awalkan sebulan. Banner tulis lepas 6 bulan sebab aku malas nak edit.

Aku mula guna webe mobile ni sejak awal Januari. Ada post yang ditulis pada Februari lepas tentang masalah-masalah awal aku dengan webe ni. Antara yang aku sebut:

  1. Menggunakan Band 5 yang tidak disokong oleh semua handphone
  2. Bil yang rumit
  3. Tidak boleh hotspot
  4. Tidak boleh hantar sms short code
  5. Kelajuan dan liputan yang sepadan dengan 4G
  6. Akaun kena sekat (suspend)
Antara 5 ni, masalah 1 dan 2 yang aku rasa bukan masalah besar lagi.

Setelah aku unlock Mi Max, setakat ini tidak ada masalah aku nak gunakan 4G dengan sim card webe. Jadi bukanlah masalah utama untuk aku tetapi mungkin menjadi masalah untuk pengguna baru webe. Tetapi sejak awal tahun ni sudah banyak handphone baru yang murah sudah mula menyokong Band 5 dan webe juga sudah mula menaiktaraf infrastuktur untuk menampung band lain seperti Band 40. Untuk masalah bil pula, setelah bil pertama, pengguna hanya perlu membayar RM79 (tidak termasuk GST), tidak ada kiraan pro-rate. Jadi tidak rumit seperti bil pertama.

Komplain di Facebook

Kelajuan dan liputan

Ini sama seperti yang aku tulis sebelum ini. Ramai yang tidak berpuas hati dengan kelajuan dan liputan webe. Aku pun memang tak puas hati. Sejak kebelakangan ini, aku kerap menghadapi masalah drop speed. Kadang-kadang menjadi terlalu perlahan hingga nak buka whatapp pun message tak sampai. Walaupun pada kebiasaannya aku boleh dapat 3-4Mbps tetapi kelajuan ini jauh daripada kemampuan sebenar 4G.

Untuk liputan, aku juga menghadapi masalah. Kadang-kadang bila berjalan di bandar Kuantan, boleh pulak tetiba takde line. Kena tunggu sekejap, baru ada balik. Kerap berlaku. Nak kata masalah handphone, kedua-dua handphone yang ada di tangan menghadapai masalah yang sama. Pernah juga pergi ke Ampang atas urusan kerja, line internet dapat 3G saja dan kadang-kadang dapat signal E. yang tak best walaupun dapat 3G, tetapi kelajuan macam siput. Di harapkan pihak Webe perlu berusaha tingkatkan liputan webe.

P1 Rebranding

Ada jugak yang takut dengan Webe ni sebab Webe ni syarikat asalnya adalah P1 yang mempunyai rekod pelanggan yang amat buruk. Orang kata Webe ni salin baju jer dengan kepala yang sama.

Tapi bagi aku dan pengharapan aku sendiri, TM yang ambil alih syarikat ini tidak akan menjadikan Webe seperti P1. Kalau dibaca dari masalah-masalah P1 sebelum ini, kebanyakkan pengguna menghadapi masalah untuk 'terminate' plan. Walaupun sudah menamatkan langganan tetapi P1 masih terus caj pengguna sehingga ada yang kena bayar beribu-ribu. Bila tak bayar akan disenarai hitam dalam CTOS. Ada juga yang telah jelaskan semua bil-bil sebelum terminate tetapi tetap nama masuk CTOS.

Aku pernah menggunakan P1 tetapi mujurlah pada awalnya ada tempoh percubaan. Jadi dalam masa seminggu bila aku dapati kawasan rumah aku liputan P1 teruk, aku terus pulangkan modem dan tamatkan akaun. Dalam masa sebulan aku dapat balik duit deposit. Aku tak tahulah untuk pelanggan-pelanggan yang terkemudian, ada tak tempoh percubaan ini? Yang aku baca sebelum ini, bila dah langgan dan dapati coverage teruk, mereka tidak ada pilihan untuk tamatkan kontrak melainkan membayar denda 'early termination'. Terdapat jugak komplain tentang sambungan yang selalu terputus-putus dan juga khidmat pelanggan yang teruk. Pendek kata, ramai komplain P1 ni menipu pelanggan.

Kalau nak buat perbandingan dengan Webe, aku amat takut kalau Webe akan ikut rentak P1. Walaupun sekarang ini tidak ada kontrak, adakah polisi ni akan terus kekal? Tetapi sejak aku menjadi pelanggan streamyx untuk lebih 10 tahun ini, tidak ada lagi masalah besar yang aku hadapi. Baru-baru ini aku perlu tamatkan akaun sebab berpindah rumah. Atas budi bicara, aku tak perlu bayar penalti 'early termination' tu. Jadi kemungkinan Webe tidak seperti P1.

Memang ada komplain tentang TM ni tetapi langganlah perkhidmatan mana sekali pun, tetap akan ada yang tak berpuas hati. Masa aku pakai Celcom pun banyak juga baca orang komplain, masa guna Digi dan Maxis pun sama.

Hot spot atau tethering

Yang ini ada yang betul dan ada yang aku rasa tak patut nak komplain pun. Pada aku Webe patut benarkan hotspot tetapi dengan had.

Kenapa aku kata dengan "HAD" sebabnya pelanggan kena faham, ini adalah "mobile plan" yang dikhaskan untuk mobile phone bukannya untuk di rumah.

Kalau untuk kegunaan rumah dan "heavy downloader", silalah melanggan streamyx ke, unifi ker, maxis broadband atau apa saja pelan khusus untuk pengguna di rumah. Webe sendiri ada pelan khas walaupun terhad kepada 30Gb sahaja. Aku tak faham kenapa ada pelanggan yang berusaha gigih nak gunakan vpn atau apa cara 'backdoor' sekali pun untuk gunakan pelan ni untuk disambungkan ke PC. Unlimited bukanlah bermaksud pelanggan ada hak untuk download sesuka hati tetapi kena patuh terma dan syaratnya. Tujuannya adalah untuk memastikan semua pelanggan dapat menggunakan perkhidmatan ini dengan optimum. Tetapi bila line slow tahu nak komplain tapi cara guna dah salah.

Untuk kegunaan rumah seperti streamyx, paling murah adalah RM110 dengan kelajuan 1Mbps. Bandingkan dengan Webe (3-7 Mbps) dengan harga RM79. Kenapa Webe lebih murah? Sebabnya Webe khas untuk mobile yang penggunaan normalnya tidak setinggi PC.

Sekarang ini Webe dalam promosi 1Gb hotspot untuk 3 bulan. Jadi adakah lepas 3 bulan tidak ada hotspot percuma? Sepatutnya Webe kena benarkan pelanggan menggunakan hotspot dengan had 3-5 Gb. Sebabnya kadang-kadang memang perlu menggunakan hotspot di tempat-tempat yang tiada wifi percuma dan baru nak update anti-virus pun dah habis quota 1Gb tu. 

Akaun disekat

Hu...hu.... yang ni aku rasa nak gelak pun ada. Webe ni unlimited tetapi bersyarat. Jadi kenalah patuh syarat-syaratnya. Tak boleh nak bypass tethering, tak boleh guna webe di peranti selain dari yang boleh membuat panggilan, tak boleh nak guna secara ekstrem dan ada beberapa syarat lain yang perlu dipatuhi. Kalau nak tahu lebih lagi boleh lawat laman ini. Agreement.

Kalau nak ikutkan mudah saja. Tak perlulah nak buat benda yang salah, lepas tu bila kena sekat mula-mula nak bising. Nampak sangat kebodohan di situ. Tapi kalau setakat download kaw-kaw, aku rasa tak patut nak sekat sebab unlimited. Lagipun kalau macam aku ni bukan dapat download laju pun. Paling tinggi 6-7 Mbps saja. Biasa 3 Mbps saja. Tapi pasal kena sekat terus tanpa ada amaran ni memang sangat kejam. Sebab kalau beri amaran sekurang-kurangnya pelanggan dapat tahu apa yang boleh dan tak boleh. Kalau harap nak baca TnC memang susahlah. Lagipun ada pelanggan macam aku ni guna nombor yang dah berpuluh tahun guna jadi kena benarkanlah nak berpindah ke Telco lain. Dengar kata kena buat akun bersumpah. Makan duit jugak tu.

Kesimpulan

Di sebalik komplain-komplain yang ditulis ini, aku sebenarnya tidak menghadapi masalah besar sejak menggunakan Webe (kecuali handphone lama tak support webe). Aku rasa semuanya berbalik kepada pengharapan dan tanggapan pelanggan terhadap webe. Unlimited, jadi boleh download sepuas hati dan laju. Aku rasa mindset ni kena tukar.

Webe ini hanya salah satu daripada syarikat telekomunikasi yang ada di Malaysia. Sebelum ini tidak ada syarikat yang berani menawarkan pelan unlimited untuk pasaran mobile. Jadi bila Webe menawarkannya, mesti ada terma dan syarat. Kena ada tanggapan bahawa Webe ini bukan streamyx atau Unifi. TM menyasarkan Webe ini untuk pengguna mobile sahaja sebab mengikut kajian secara puratanya setiap pelanggan hanya memuat turun tidak lebih daripada 10Gb sebulan pun. Tetapi disebabkan Webe dipromosikan sebagai unlimited, ramai pelanggan yang meletakkan pelan Webe ini sebaris dengan servis streamyx dan unifi.

Selain itu, silalah buat aduan ke ke Webe atau ke SKMM. Setakat ini bila ada masalah Webe careline sentiasa menjawab pertanyaan aku. Walaupun jawapan utamanya hanyalah dengan 'reset setting' tetapi kira jawapan jugak tu.