Memaparkan catatan dengan label diy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label diy. Papar semua catatan

Selasa, 3 November 2020

Projek Laman Belakang (DIY Pull-Up Bar) Part 2

 



Akhirnya selepas berbulan siap, baru berkesempatan untuk edit video ni. Projek ni dah siap bulan Ogos lepas. Tetapi sebab ada masalah komputer, jadi kerja-kerja untuk edit tertangguh sehingga sekarang. Nak buat voice over pun ambil masa sebab kurang pengalaman.

Kalau sebelum ini aku dah habis duit beli bahan-bahan ni:
2x Kayu 2x4 inci 10 kaki panjang (RM28 sebatang)
1 liter Cat varnish (Teak) (RM27 setin)
Berus cat (RM6)
Bata 25biji (RM5~6)
Tali benang (RM2.50)
Kertas pasir

Terdapat sedikit pertambahan untuk sebelum ini.

Pasir satu bucket (bucket ni satu bekas jengkaut) = RM60 (termasuk kos penghantaran)
Batu bata = RM10 (sebiji dalam RM0.20~0.30)

Penyediaan kayu

Melicinkan permukaan kayu
Melicinkan permukaan kayu

Kayu yang bersaiz 2x4 inci sebenarnya telah diketam di kilang tetapi permukaan kayu masih tidak licin sepenuhnya. Masih terdapat serpihan-serpihan kayu dan permukaan yang kurang rata. Jadi untuk menghilangkan semua ni, aku gunakan kertas pasir untuk melicinkan semua permukaan kayu. Dah lama aku beli "Sander" ni masa ada sale 2 tahun lepas, tetapi baru sekarang aku gunakan.

Ketika membeli kayu 2x4 inci juga tidak perlu berhati-hati kerana tidak semua kayu adalah benar-benar lurus. Kayu-kayu yang aku beli ini adalah yang paling lurus aku jumpa di kedai hardware. Itupun agak bengkok dan meyukarkan sedikit semasa proses menanam tiang.

Selesai cat 2 lapisan cat
Selesai mengecat 2 lapisan cat

Selepas siap licinkan, baru aku cat menggunakan cat varnish. Cat selapis disemua permukaan. Kemudian aku biarkan kering seharian sebelum guna kertas pasir lagi dan cat untuk lapisan kedua. Untuk bahagian kayu yang akan ditanam, aku cat 2-3 lapisan lagi. Disebabkan hari panas, jadi cat cepat kering.

Tanam tiang

Proses mengorek lubang 3 kaki
Proses mengorek lubang 3 kaki

Perancangan awal untuk menggali sedalam 3 kaki. Tetapi disebabkan aku korek menggunakan chop tanah saja, proses mengorek menjadi sangat lambat dan susah. Terdapat banyak batu yang terdapat dalam tanah di laman belakang ni. Baru menggali sedikit terdapat batu-batu besar. Jadi proses mengorek lubang ni mengambil masa lebih kurang seminggu (hanya mengorek disebelah petang selepas balik kerja).
92.5 inci

Plan asal 91 inci di atas tanah. Jadi 92.5 inci diatas tanah.


Tiang pertama
Tiang pertama

Daripada 3 kaki, hanya 32 inci sahaja yang terdaya aku korek untuk kedua-dua belah lubang. Makin berbatu di bahagian dalam dan semakin sukar aku nak keluarkan tanah. Kemudian baru proses membancuh simen. Aku gunakan nisbah 1:2:2 (simen:pasir:batu). Bancuh secara manual. Air aku letak sikit-sikit sehingga mudah untuk menggaul simen (lebih kurang 1 bahagian). Untuk kiraan, aku hanya mengguna baldi kuning tu. Jadi kalau guna nisbah berat seperti yang sepatutnya, memang lari jauh. Mujurlah simen jadi elok dan ikat tiang dengan baik.

Ikat tiang kedua
Ikat tiang kedua

Selepas tanam tiang pertama, baru aku perasan tiang ni mudah bergoyang-goyang di bahagian atas. Disebabkan ketebalan 2 inci agak nipis untuk dijadikan tiang yang teguh, tiang ni mudah bergerak ke kiri dan ke kanan. Jadi untuk tiang kedua aku belikan satu lagi kayu 2x4 inci. Kena buat proses awal semula iaitu melicinkan dan mengecat.

Kayu yang baru dibeli ini sedikit bengkok (ini kayu yang paling lurus aku cari). Jadi nak ikat ke kayu sebelum ini ambil masa nak 'adjust'. Hujung dengan hujung dah sama, tetapi di tengah kayu agak lari sedikit. Kedua-dua kayu ini aku ikat menggunakan nut skru 5 inci. 3 tempat aku tebuk lubang dan skrukan.

Siap tiang ke-2
Siap tiang ke-2

Setelah siap proses ikat 2 kayu tu, baru proses menanam tiang ke-2. Untuk menanam tiang ke-2 ini agak rumit sebab kena selarikan dengan tiang pertama dan kedua-dua tiang perlu selaras. Itupun selepas aku ukur semua, masih berlaku kesilapan disebabkan tersalah menanda. Mujurlah batang paip untuk pull-up bar akan dipasang selepas tiang dinaikkan.

Penyediaan kawasan

Meratakan pasir
Meratakan pasir

Siap menaikkan tiang, sekarang proses nak tambah pasir ke kawasan projek. Sambil letak pasir, sambil aku ratakan kawasan. 

Sepatutnya pasir tidak dimasukkan sehingga penuh. Sepatutnya aku tinggalkan dalam 1-2 inci untuk masukkan dengan tanah biasa. Sebabnya rumput karpet yang aku akan letakkan nanti memerlukan air yang secukupnya. Kalau diletakkan pasir sahaja, kawasan ini akan mudah kering kerana semua air akan cepat mengalir kebawah.

Memasang rubber mat
Memasang rubber mat

Rubber mat ini aku beli di Lazada. Harga RM75 untuk 4 keping. Mat ni aku beli dengan ketebalan 1 inci. Kalau tak kerana mat ni, kos untuk projek kali ni tak sampai RM200 pun. Tapi sebab dah lama rancang nak letak mat macam ni, aku beli jugak. Tetapi memang puas hatilah dengan kualiti mat ni, senang nak pasang (letak je) dan senang nak potong (guna pisau).

Pasang pull-up bar

Pull-up bar
Pull-up bar

Antara penyebab lambat projek ini siap adalah mencari jalan nak pasang bar ni. Kebanyakkan DIY video di Youtube menggunakan flange untuk mengikat bar ke dinding dan tiang. Tetapi amat sukar untuk mencari flange ni Kuantan ni. Selepas mencari seluruh Kuantan (Semambu), aku jumpa flange yang untuk industri sahaja. Saiz lubang 1 inci tetapi siz keseluruhan lebih besar dari tiang 4 inci ni. Aku cari di Lazada dan Shoppee untuk local, dan bila sampai sama sahaja. 

Flange local dan China
Flange local (kiri) dan China (kanan)

Akhirnya aku order dari China. Size memang ok tapi kualiti bahan agak meragukan untuk menampung berat aku ni. Jadi dengan jarak antara dua tiang 38 inci, aku beli batang paip 1 inci dengan panjang 40 inci. Sebabnya 1 inci akan dimasukkan ke dalam kedua-dua tiang. Flange ni masih digunakan untuk mengelakkan batang paip berpusing. Jadi untuk buat alur aku minta kedai hardware buat alur sedalam 1.5 inci.

Mengecat bar

Sebelum masuk, cat dulu dengan spray tin. Beli di Mr DIY je masa ada promosi. Cat 2-3 lapisan. Kemudian baru pasang ke tiang. Mujurlah tiang pertama mudah digoyangkan sebab ini memudahkan aku memasukkan batang paip ke dalam lubang yang dibuat.

Menanam rumput

Tanam rumput

Ini antara satu lagi sebab projek lambat siap. Order rumput di Kuantan, tetapi dah 2 minggu tak sampai-sampai. Jadi masuk minggu ke-3 dan kebetulan kena pergi ke Sungai Buloh, aku beli sampai penuh kawasan projek ni. Habis dalam RM60. Sekeping dalam RM2.00 lebih (tak ingat harga tepat). Kalau yang di Kuantan tu, harga dua kali ganda.

Jadi sebelum tanam tu, aku letak dulu tanah campuran. Sekurang-kurangnya tidak beralaskan pasir sahaja.

Pasang siar kaki (stepping stone)

Stepping stone

Siar kaki ini bukan dalam rancangan awal. Tetapi disebabkan banyak simen yang berbaki, aku mencuba membuat stepping stone sendiri. Secara peribadi, aku rasa baik beli je kalau harga bawah RM15 sebab penat dan kos tak padan kalau nak buat banyak-banyak. Tapi yang ni aku letak tapak semua ahli keluarga. Kira oklah jugak... cuma cat tu aku nak jimat pakai cat kapur dan spraykan dengan cat spray clear.



Siap dah

Dan akhirnya siap juga. Dari nak buat pondok kecil, jadi pull-up bar merangkap buaian saja. Okaylah....

Rabu, 1 Julai 2020

Projek Laman Belakang (DIY Pull-Up Bar) Part 1 - Penyediaan Tapak




Tahun 2019, buang semua rumput-rumpai

2019 siap tabur pasir tetapi terbengkalai

Sejak tahun lepas, aku dah bersihkan kawasan laman belakang ini. Habis dicabut semua akar-akar pokok rumpai dengan menggali sedalam 1/2 - 1 kaki dan digantikan dengan pasir. Kemudiannya rancang untuk tanam Rumput Jepun tetapi susah nak dapatkan rumput ni di sini.

Nurseri di sini kebanyakannya hanya menjual rumput Filipa sahaja. Untuk Rumput Jepun kebiasannya kena tempah terlebih dahulu dan harga agak mahal dibandingkan dengan Sg. Buloh. Jadi memang terkandaslah projek ni sehingga PKP ni. Disebabnya banyak masa, memang semangat balik nak sambung projek tetapi kedai semua tutup pulak. Jadi banyak buat pelan sahaja.

2020 Hanya mencabut rumput liar sekali-sekala

Saiz ruang laman belakang ini ada dalam 12x18 kaki dengan lebih separuhnya telah ditanam pokok-pokok buahan dan ulam. Jadi tinggal kawasan projek dalam 5x12 kaki sahaja.

Pelan awal - Pondok Kecil dengan pull-up

Pelan awal nak buat pondok/gazebo kecil tetapi dengan kawasan yang sempit, kos yang tinggi dan memerlukan kemahiran pertukangan yang lebih tinggi, jadi tukar pelan awal ke pelan kawasan untuk beriadah. Lebih-lebih lagi aku ni suka kawasan lapang, jadi memang batal niat nak buat pondok kecil.

Pelan sekarang

Untuk minggu ini, aku hanya membuat penyediaan kawasan sahaja. Disebabkan dari pengalaman tahun lepas, pasir yang diletakkan sebelum ini kebanyakan akan berpindah ke kawasan lain semasa hujan. Kawasan juga menjadi kurang rata, jadi bata-bata diletakkan tanpa diikat simen untuk menjadikan kawasan ini rata dan sekata apabila dimasukkan pasir sekali lagi. 

Bahan yang digunakan setakat ini:
2x Kayu 2x4 inci 10 kaki panjang (RM28 sebatang)
1 liter Cat varnish (Teak) (RM27 setin)
Berus cat (RM6)
Bata 25biji (RM5~6)
Tali benang (RM2.50)
Kertas pasir

Jumaat, 5 Jun 2020

DIY: Sinki dapur bocor



Sejak musim PKP ni, banyak masa terluang saya ada di rumah. Jadi dalam masa ini, banyak juga peralatan di rumah yang dapat diselenggarakan. Kebetulan juga banyak yang sudah sampai masa perlu ditukar. Masa masuk rumah dulu, guna barang yang kurang kualiti jadi tak sampai 5 tahun dah kena tukar.

Jadi kali ini saya tulis tentang sinki dapur yang bocor. Kali ini saya ada buat video.


Kedua-dua bahagian lubang sinki habis tertanggal. Kedua-duanya boleh tercabut keluar. Skru untuk pengikat dah hilang termasuk pedakap di bahagian bawah. Jadi dalam musim PKP ni memusing saya mencari barang spare-part. 

Lubang sinki yang dah tercabut
(Anak panah menunjukkan pelapik getah ayng biasa jadi punca bocor)

Stainless Steel
(tak tahu apa nama ni)


Akhirnya saya beli dua set stainless steel yang lebih berkualiti.

Semasa buat table top ini, kontraktor telah menyambung dengan gam semua batang paip ini. Ini menyebabkan lubang sinki (kon) di sebelah kanan tak dapat dicabut keluar. Lagipun lubang sinki yang baru saya beli ini tak sesuai dengan penyambungan yang ada sekarang. Akhirnya hampir semua batang paip perlu dibawa keluar.

Boleh tahan juga leceh baiki sinki ini. Kos baiki lebih kurang RM50. Sebabnya pilihan kedai hardware terhad. Jadi pergi kedai yang terdekat saja. Benda ad-hoc memang kos tinggi sikit sebab tak sempat nak survey. (harga lebih kurang--lupa simpan resit)

Lubang sinki ........................ RM12 x 2 = RM22
Batang Paip PVC 40mm ..... 1.5m = RM5
Pita PTFE ............................ RM0.50 x 2 = RM1.00
Gam PVC ............................ RM5.00 x 1 = RM5.00
Penyambung:
T............................................. RM2.20 x 1 = RM2.20
Siku (L) ............................... RM2.50 x 3 = RM7.50
Soket sama (terbeli).............. RM1.65 x 3 = RM4.95
Socket peyambung (benang) RM2.15 x 2 = RM4.30

Sebab ini ad-hoc dan tak planning, jadi saya buat ikut asal. Kalau tak cepat baiki, susah orang rumah nak memasak dan membasuh. Lagipun ini satu-satunya sinki di dapur jadi segala urusan dapur memang kena guna sinki ini. Nak tak nak memang kena buat cepat. Ukuran pun lebih kurang sama dengan yang asal.

Beza dengan yang lama, yang ini saya rendahkan sedikit kerana lubang sinki satu set dengan kon. Jadi set ini dan soket penyambung pvc lebih panjang/tinggi daripada set yang lama.

Pada sambungan terakhir, saya tidak gamkan batang paip supaya mudah kalau ada sebarang kerosakan pada masa akan datang.

Sambungan ini tiada perangkap sinki sebab tak terfikir nak buat masa pasang. Kemungkinan akan cuba fikirkan kalau rosak lagi.

Semoga bermanfaat.

Selasa, 3 Julai 2018

Cara menanam pisang berangan

Post kali ini aku ambil daripada pautan lain sebabnya takde pengalaman. Sebab ada tanam pokok pisang di belakang rumah, jadi carilah info yang sesuai untuk simpanan.
  1. Setiap pokok pisang hanya dikekalkan dengan 8 daun sahaja.
  2. Untuk pisang berangan, buah hanya dikekalkan 10-12 sikat sahaja, selebihnya dibuang bersama jantung. Ini penting untuk menghasilkan buah ynag besar dan berat yang maksimum.
  3. Setiap tandan pisang perlu dibungkus dengan menggunakan kertas daripada jenis kertas simen atau kertas pembungkus dedak ayam. Gunakan staple dan ditutup rapat sehingga hujung pisang.
  4. Apabila jantung keluar bilangan daun hanya dikekalkan 6 helai sahaja.
  5. Anak pisang pertama hanya dibela apabila jantung pisang sudah keluar sahaja untuk mendapatkan pokok ibu yang benar-benar subur.
  6. Apabila jantung telah keluar, berhentikan pembajaan kepada pokok bagi mengelakkan buah pisang ynag mengkal atau keras dah kualiti pisang jatuh.
  7. Pembajaan:
    a. Mula menanam - letakkan baja penggalak akar dalam lubang sebelum menanam
    b. Setelah umur 3 bulan tabur baja subur 15:15:15
    c. Telaha umur 6-7 bulan tabur baja buah 12:12:17:2
    d. Kadar baja hanya segenggam atau 250gram setiap pokok
  8. MERUMPUT: Gunakan baja sentuh ICI atau BASTA. JANGAN gunakan racun serap. Pokok tidak perlu ditajak utk merumput memadai hanya meracun sahaja. Tanah juga tidak perlu digemburkan di keliling pokok utk elakkan pokok tumbang. Untuk meracun bancuhan adalah 70ml bagi 18 liter air. Pasikan bancuhan dikacau hingga sebati sebelum digunakan bagi mendapatkan kesan ynag maksimum.
  9. PENYAKIT : Jika daun pisang berkarat kuning atau batang pisang berbintik-bintik hitam dan berlendir akibat serangan kulat sembur dengan bancuhan kapur seluruh pokok hingga pokok menjadi putih.
  10. MEMETIK BUAH. Buah boleh dipetik apabila 2-3 daun telah layu atau kering.

Rujukan:
Facebook Peladang Muda Johor

Isnin, 28 Ogos 2017

DIY: Baiki Mesin Basuh


Mesin basuh di rumah sudah bertahun rosak. Air tak masuk tapi dengar seperti motor berpusing. Pernah cuba nak baiki sendiri tapi lepas buka penutup belakang, rasa macam rumit nak buat jadi biar macam tu je. 

Dah lebih 10 tahun mesin basuh jenama LG  ni berkhidmat. Pernah ada masalah board dan upah orang lain untuk baiki. Sebabnya aku tak berani nak buat sendiri kalau melibatkan board ni. Lagipun susah nak cari sparepart untuk board ni. Kena bayar dalam rm100 jugak termasuk upah. Mungkin dia tukar part kecil saja. Tetapi untuk masalah air tak kuar ni, walaupun nampak rumit tapi aku rasa boleh buat sendiri. Masalahnya kemalasan yang amat tinggi menjadi penghalang. 

Sejak rosak, aku isi air dengan angkut air dalam baldi. Lepas pindah rumah, mesin basuh letak di luar rumah jadi aku pasang paip air terus ke dalam tiub. Kadang-kadang masa isi air aku boleh terlupa nak tutup sampai air melimpah. Disebabkan sejak kebelakangan ini aku asyik terlupa nak tutup, bil air meningkat mendadak. Jadi minggu lepas aku gagahkan diri nak baiki sendiri.

Mesin basuh LG (model macam ni)

Mula-mula sekali aku buka bahagian atas mesin basuh ini. Ada terbaca post di Facebook kata kemungkinan saluran air tersumbat pada filter air. Jadi lepas aku baraikan semua komponen di bahagian atas belakang, aku pasti bukan masalah filter. Filter nampak bersih je.

Tak banyak komponen dalam ni
Sebenarnya tak banyak komponen di bahagian ini. Memang senang nak cabut satu-satu. Lepas aku selidik, kemungkinan masalahnya pada water inlet valve ni. Rupa-rupanya setiap mesin basuh tak sama bentuk water inlet valve ni.Setiap jenama dan model memakai bentuk valve yang berbeza.

Ada pelbagai jenis dan bentuk
Water inlet valve LG
Untuk LG bentuknya seperti dalam gambar. Yang atas tu valve lama yang dah rosak. Komponen ini yang mengawal air masuk. Bila masa perlukan air, motor dalam valve ini akan tarik satu injap dalam komponen ini untuk membenarkan air masuk. Untuk valve yang rosak tu, injap dalam tu dah tercabut. Walaupun motor (magnet) masih berfungsi, tetapi injap tak tertarik jadi air tersekat tak dapat masuk.

Punca masalah dah dikenalpasti tetapi mana nak beli komponen ni? Mula-mula aku cari dalam Lazada. Memang ada dijual. Harga dalam RM30-RM40. Yang lecehnya kena tunggu 2-3 hari. Jadi separuh hari aku cari kedai di Kuantan yang ada jual sparepart macamni. Akhirnya atas cadangan seorang repairman, aku jumpa satu kedai di Air Putih. Memang kedai tu jual banyak sparepart mesin basuh.

Kedai di Air Putih
Sebernya banyak lagi kedai yang aku rasa ada jual sparepart ni. Di kawasan Bukit Sekilau juga ada. Jadi kepada sesiapa di Kuantan yang rasa nak buat DIY baiki mesin basuh, boleh cari sparepart di kawasan ini. Untuk water inlet valve ni harganya RM25.

Dah siap pasang
Sampai rumah, lepas cuci sedikit bahagian ni, aku terus pasang valve baru. Alhamdulillah... berjaya baiki sendiri.

Jadi dari pengalaman aku ni, aku rasa yang paling susah ialah nak cari kedai jual sparepart. Nak buka mesin basuh ni lagi senang (kalau model yang aku pakai ni).

Selasa, 23 Mei 2017

DIY: Dip/Parallette bar


Dah lama aku nak beli dip bar tetapi bila survey di Lazada, harga lebih daripada RM100. Disebabkan bukanlah satu keperluan jadi tinggal niat saja. Terfikir juga untuk buat sendiri guna besi tetapi bila tengok harga, jauh lebih mahal dan agak rumit kerja disebabkan tidak ada peralatan. Jadi sekali lagi tinggal niat saja.

Ahad lepas aku bawa buah hati pergi jalan-jalan mencari kabinet untuk bilik. Pergi kedai Mr. DIY, jumpa push up bar murah, dalam RM20. Rupanya push bar ni dibuat dari PVC, patutla murah dan ringan. Kecik jer. Panjang dalam sejengkal dan tinggi 3-5 inci. Jadi terfikir nak buat dip bar guna paip PVC jugak.

Jadi aku terus pergi kedai hardware yang berdekatan. Tengok-tengok ada jual batang paip PVC yang tebal. Diameter 25mm, ketebalan 3.6mm. Harga sekaki RM2. Sebab secara ad hoc, aku main kira-kira dalam kepala, ambil 4 kaki. Budget tak lebih dari RM30. Selain batang PVC tu aku beli juga penyambung T, L dan penutup (stopper). Harga anggaran aku tulis di bawah. Anggaran sebab masa tanya harga satu-satu, pekerja quote harga lain tapi harga sebenar lain.

Barang yang digunakan (kecuali gam)

Barang Harga Unit Jumlah
Paip PVC 25mm, Tebal 3.6mm
RM2/kaki
4/kaki
RM8
Penyambung T
RM2
4
RM8
Penyambung L
RM1.3
4
RM5.20
Stopper
RM0.8
4
RM3.20

Jumlah keseluruhan RM24 (taukey kedai qoute harga ni). Okay la dari beratus ringgit. Itu pun aku tak survey harga di kedai lain.

Tebal 3.6 mm
Ada yang lebih tebal tetapi di kedai hardware yang aku pergi takde stok.

Separa siap
Plan asal nak buat dip bar tapi bila balik rumah tengah-tengah potong tak cukup batang paip. Dah jadi parallette bar. Bagi aku okay je sebab dengan bar ni pun boleh buat dip.

Potongan
Ukuran panjang dalam 19 inci dan tinggi hanya 6 inci. Aku dah cuba guna beberapa kali, siap berdiri atas dip bar ni. Memang kukuh. Tak nampak melentur pun bila guna. Ringan dan senang disimpan. Kemungkinan akan hanya tambah kelebaran kaki dan guna stopper yang dibeli.

Tambah lebar kaki

Bahagian Panjang Unit Jumlah
A
17 inci
1
17 inci
B
4 inci
2
8 inci
C
3 inci
4
12 inci
D (Elbow)

2
4
E (Stopper)

4
4
F (T)

2
2

Isnin, 22 Mei 2017

DIY: Memasang kipas dinding


Setelah berbulan pindah rumah, baru minggu lepas ada semangat dan rajin nak kemas bilik stor. Alih semua barang-barang termasuk rak besi ke loteng dan jadikan bilik stor sebagai bilik pakaian. Masalahnya bilik ini tak dipasangkan kipas lagi. Kebetulan masa ada 'sales' di Lazada, aku beli 3 kipas dinding dan masih ada 2 tidak pasang (tahap kemalasan memang tinggi).

Kipas Khind
Kipas dinding ini sebenarnya sama seperti kipas diri. Kena cucuk plug ke power point dan tekan suis saja. Tetapi sebab kipas ini perlu dilekapkan di dinding, kita perlu sediakan 'power point' khas untuk kipas ini. Jadi kena buat wiring sedikit.

Power point khas
Siap pasang

Wiring telah di buat semasa buat loteng lagi. Jadi kali ini hanya perlu pasang kotak. Wayar Neutral (Hitam) dan Bumi (Hijau) diambil dari wayar neutral/bumi lampu yang lain. Sebab 'power point' ini terletak tinggi, wayar Hidup (merah) disambungkan ke suis kipas di tepi pintu.  Jadi tak perlulah kena panjat tangga setiap kali nak hidupkan kipas.

Sambungan wayar hidup ke suis

Suis pada power point ini akan sentiasa dalam keadaan hidup. Jadi yang mengawal kipas ini semua di suis bawah.

Penyangkut disediakan
Siap dipasang

Setelah siapkan 'power point', kena pasang penyangkut untuk kipas pula. Setiap kipas dinding akan disediakan penyangkut sendiri. Untuk model yang aku guna ini telah disediakan sekali skru dan juga wall plug. Jadi kena 'drill' dinding lagi. Rotary hammer aku masih boleh digunakan jadi senang kerja.

Sangkut je
Cara nak pasangkan kipas ni tersangat senang. Dah pasang penyangkut tu, sangkut je kipas. Beres... Pasangkan kipas dan penutup, lepas tu sambungkan plug kipas ke power point. Habis kerja...

Habis kerja

Selasa, 21 Februari 2017

DIY: Pasang paip air luar rumah


Baru-baru ini aku ada tanya tukang paip, berapa harga dia ambil kalau pasang kepala paip untuk luar rumah? Lepas kira-kira, dia sebut lebih RM100. Terdiam juga aku sebab nampak macam sikit saja. Jadi dengan perasaan nak buat sendiri tu datang, aku pergi survey harga besi.

Barang-barang yang aku beli
Mula-mula hajat nak survey tapi aku terus beli. Beli di kedai lain-lain. Nama-nama aku tak tahu sebab bukan tukang paip pun.
  1. Kepala paip
  2. Penyambung
  3. Batang paip 2 kaki
  4. Siku 90° sama
  5. Batang paip 6 inci
  6. Tee sama
  7. Adapter pengecil (antara f dan e)
  8. Pita PTFE x 3
Jumlah semua anggaran dalam RM60-70. Bahagian d, e, f dan g harga dalam RM32 (beli satu kedai). a, b dan c harga RM30 (kurang ingat yang ini).

Dah beli barang aku pun cuba pasang tapi tak cukup peralatan. Pakai spanar boleh laras mana boleh nak cengkam batang paip. Pinjam pipe wrench dari jiran tapi tak cukup sebab kena ada dua, satu untuk pegang, satu lagi untuk pusing/ketat. Jadi aku pergi Mr. DIY, beli satu pipe wrench 14" dengan harga RM25. Baru dapat buka siku 90° asal.

Mula pemasangan aku balut pita PTFE kurang tebal. Dah siap pasang, ada leaking. Kena buka balik semua dan balut tebal-tebal. Sebagai nota: balut ikut arah jam. Kalau balut ikut lawan jam, pita tu akan terbuka sedikit semasa penyambungan.

Dalam setengah jam siap. Tak banyak gambar aku ambil sebab kerja dengan air ni takut handphone terkena air. Lagi pun tangan basah. Kena lap kering baru boleh nak snap gambar. Jadi ada gambar dah siap buat saja.

Kos aku buat sendiri ini di bawah RM100. Itu pun setelah termasuk harga pipe wrench. Nak kata susah tak de pulak, tapi kudrat kena ada sebab nak buka paip masa mula-mula memang ketat. Rumah masih baru tapi tengok dalam paip banyak keladak. Masa ketatkan pun kena pakai tenaga. Tapi dengan kos RM 70 tu, memang berbaloi buat sendiri. Puas hati.

Kemaskini tahun 2020

Nampaknya yang ramai menulis di ruangan komen agak tidak bersetuju aku kedekut nak bayar upah RM30-RM80 (RM100-RM150 upah pasang dan alat) tukang paip untuk pasang kepala paip ni. Mungkin diorang rasa RM30-RM80 tu sikit agaknya. 

Yang aku tulis dalam blog ni adalah yang biasanya aku buat sendiri. Dari kepala paip sehinggalah wiring rumah. Sebabnya... berjimat... Bukan tidak ada yang aku upah tukang buat tetapi untuk pengalaman sendiri dan memudahkan di kemudian hari, tidak salah nak cuba sendiri.

Lagipun yang aku buat ni lepas tanya jiran-jiran. Diorang siap kata buat sendiri jer...